'Pilihan raya kecil paling dikagumi SPR' (PRK Kuala Terengganu)

Di sebalik kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu yang 'sepi' kerana dibayangi sentimen kebencian teramat rakyat Malaysia terhadap kekejaman Israel di Palestin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa sama menyuarakan kekaguman dengan perjalanan pilihan raya itu yang lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

''Saya amat gembira kerana parti-parti yang bertanding terutama para penyokong mereka memberi kerjasama yang cukup baik," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengambil contoh terdekat bagaimana proses pengundian secara pos semalam yang disifatkan oleh semua ejen Barisan Nasional (BN), Pas dan calon bebas sebagai telus dari sebarang tindak tanduk mencurigakan.

Tidak seperti pilihan raya-pilihan raya kecil lepas yang menyaksikan keributan dicetuskan para pengikut parti tertentu, Abdul Aziz yang pertama kali mengendalikan satu pilihan raya kecil sejak dilantik mengetuai SPR pada 31 Disember tahun lalu tidak dapat menyembunyikan rasa cukup puas ke atas perjalanan kempen pilihan raya di Kuala Terengganu.

''Saya ada dihubungi oleh beberapa pemimpin parti tertentu yang turut mahu meletakkan poster parti-parti lain di kawasan itu. Tetapi saya menyatakan ia tidak boleh dilakukan kerana peraturan SPR tidak membenarkan.

''Dia tidak boleh gantung poster DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melainkan Pas dan BN sahaja sebab undang-undang kata begitu. Macam BN tidak mengapalah, boleh gantung bendera UMNO, MIC dan MCA sebab parti-parti berkenaan bergabung di bawah lambang BN yang didaftarkan. Dan Alhamdulillah, mereka memahami dan saya bersyukur," katanya.

Pilihan raya kecil itu menemukan persaingan antara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari BN, Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas) dan calon bebas, Azharudin Mamat. Setakat ini polis menerima 40 permohonan permit ceramah sejak hari penamaan calon iaitu BN (10), Pas (26) dan PKR (4). Kesemua permit diluluskan kecuali permohonan PKR kerana parti itu tidak terlibat dalam pilihan raya kecil itu.

Abdul Aziz memberitahu, yang paling beliau kagumi adalah semasa hari penamaan calon 6 Januari yang mana tidak ada satu pun kejadian buruk berlaku.

Juga, kata beliau, tidak ada kedengaran dakwaan atau tuduhan kad pengenalan penduduk Kuala Terengganu 'dicuri orang' manakala isu pengundi hantu yang kerap dilagukan pada setiap kali muncul pilihan raya kecil, lenyap terus dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini.

''Kita beritahu dia (semua pihak di Kuala Terengganu), kalau ada benda-benda ini, laporkan sahaja, kita ada badan rasuah yang baru (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPR juga nak tangkap 'hantu-hantu' ini.

Abdul Aziz cuma berharap keharmonian kempen di Kuala Terengganu yang masuk hari ke-7 semalam akan berterusan sehingga hari pengundian 17 Januari ini.

''Pada hari mengundi nanti, jangan takut, keluarlah beramai-ramai menunaikan tanggung jawab,'' kata beliau.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url