"Saya terlalu menyayangi Siti" - Datuk K
UCAPAN 'I love u' (aku cinta padamu) setiap pagi sebaik bangun dari tidur merupakan amalan Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa atau Datuk K buat isteri tercinta, Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin.
Bahkan, setiap kali ada kelapangan, Khalid cuba untuk tidak lekang daripada mendampingi wanita yang bertakhta di hatinya itu.
"Saya terlalu menyayanginya dan mahu perkahwinan saya dengan Siti kekal sehingga ke akhir hayat kami," ujar Khalid dalam nada tenang kepada wartawan ketika diminta mengulas mengenai spekulasi liar mengenai perkahwinan beliau dan Siti.
Khalid yang ditemani Siti pada pertemuan itu sempena majlis sambutan ulang tahun ke-30 penyanyi pop itu di kediaman mereka hujung minggu lalu kesal kerana cerita-cerita kurang manis disebarkan tanpa fakta yang kukuh.
Mengakui semakin hilang sabar dengan segala fitnah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, Khalid menegaskan, dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang masih belum puas untuk cuba merosakkan nama baik dia dan isteri.
"Saya harap mereka akan berhenti daripada terus nak buat cerita. Kalau tak saya tak teragak-agak akan mengambil tindakan. Saya sendiri dah hilang sabar dengan semua ini," tegasnya lagi.
Mengulas mengenai dakwaan beliau meminta Siti berundur daripada bidang seni semata-mata mahu mengelakkan rumah tangga mereka daripada terus menjadi mangsa fitnah, Khalid mengakui, pernah terfikir untuk berbuat demikian.
"Memang pada mulanya saya mahu buat begitu. Tapi apabila tersiarnya cerita tersebut saya ada terjumpa dengan peminat Siti dan mereka sendiri merayu agar Siti jangan bersara.
"Saya faham keadaan tersebut kerana Siti ini umpama khazanah negara yang disayangi ramai."
Menurut Khalid, ketika ini kehidupan mereka berdua sangat bahagia, beliau secara peribadi hairan bagaimana boleh tercetus spekulasi-spekulasi nakal yang boleh menggugat kerukunan rumah tangga beliau dan Siti.
Siti tak takut umur meningkat
Lazimnya, setiap wanita akan berasa resah dan gelisah apabila melewati usia 30-an.
Bahkan, ada yang tidak sanggup dan seboleh-bolehnya enggan menghadapi situasi sebegitu.
Tetapi tidak bagi penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza.
Sebagai seorang yang realistik, Siti yang baru dua hari menginjak ke usia tersebut dapat menerima situasi tersebut dengan baik.
Terang anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini tiada apa yang perlu dirisaukan malah dia sendiri bersyukur kerana dalam usia tersebut dia sudah mengecapi segala-galanya yang terbaik dalam hidup.
"Saya tak takut dengan angka 30 tahun. Tapi macam tak percaya dah masuk ke usia itu. Saya sendiri teruja untuk menyambut hari jadi kali ini.
"Kalau nak kata takut mungkin kalau masuk usia 40-an mungkin takut sikit agaknya," jelasnya yang semakin anggun dan langsing.
Tambah Siti, dia berterima kasih kepada Ilahi kerana telah mengizinkannya mengecapi semua perkara yang baik dalam hidupnya sebelum usia 30 tahun.
"Saya berhasrat pergi haji bersama suami sebelum usia 30 tahun, dah terlaksana. Saya mahu ada suami yang jaga saya dengan baik pun saya dah dapat.
"Saya mahu seorang pelindung dan sentiasa di belai pun saya dah dapat. Mungkin orang tak nampak semua itu, tapi hanya saya sahaja yang mengetahuinya," katanya sambil tersenyum dan memandang suaminya di sisi.
Menurut penghibur yang baru muncul dengan album Lentera Timur, pada masa ini kehidupannya semakin tenang.
"Hidup saya bahagia dan tenang. Mak dan abah saya pun dah tak risau kerana ada orang jaga anak dia dengan baik. Dan saya berharap saya akan lebih berjaya selepas ini," ujarnya lagi.
Sambutan hari jadi meriah
Sementara itu, majlis sambutan hari lahir Siti yang ke-30 berlangsung dalam keadaan yang meriah.
Diadakan di banglo mewah pasangan itu di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, ia dihadiri oleh ahli keluarga pasangan itu, rakan-rakan perniagaan dan pihak media.
Tidak ketinggalan rakan-rakan artis seperti Datin Seri Tiara Jacquelina, Erma Fatima, Hans Isaac, Imran Ajmain, Diana Danielle, Fara Fauzana dan ramai lagi.
Bertemakan putih dan merah jambu, Siti sendiri terkejut dengan sambutan majlis tersebut.
Kata Siti: "Tak pernah saya sambut hari jadi siap ada belon-belon. Tapi ini semua idea suami dan saya sangat gembira."
Bercerita tentang hadiah pula sambil tersenyum manis jelas Siti, dia akan menerima seutas jam tangan berjenama daripada suaminya.
"Suami saya akan bagi jam, tapi masih belum dibeli. Dia memang suka jam dan suka bagi Siti jam kerana senang dipakai dan nak ingat waktu," ujarnya manja.
- Utusan
poyo je! wek!.. skang ni tgh sayang.. show off la..