Eneos ambil alih stesen minyak Caltex di Malaysia, jenama Caltex dikekal
Syarikat minyak gergasi Jepun, Eneos, telah mengumumkan bahawa syarikat itu telah mencapai persetujuan dengan Chevron untuk mengambil alih 100% perniagaan bahan api dan pelincir hiliran syarikat AS tersebut di Asia Tenggara. Ini termasuk di Malaysia, Singapura, Filipina, Australia, Vietnam dan Indonesia. Dengan itu, Eneos akan mengambil alih operasi lebih 450 stesen minyak Caltex di Malaysia.
Bagaimanapun, penjenamaan Caltex yang sedia ada dikekalkan, dan tidak akan digantikan dengan penjenamaan Eneos dengan warna oren ikoniknya. “Jenama Caltex yang telah dibina dan dibangunkan oleh Chevron selama beberapa dekad merupakan aset perniagaan yang sangat penting, dan kami komited sepenuhnya bukan sahaja untuk memelihara nilainya, tetapi juga untuk terus mengembangkannya,” jelas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Eneos, Miyata Tomohide.
“Perjanjian hari ini mencerminkan pendekatan berdisiplin Chevron dalam menguruskan portfolio antarabangsa kami. Kami berbangga dengan apa yang telah dibina oleh kakitangan kami selama 90 tahun dalam melayani pelanggan dan menyokong komuniti di seluruh rantau Asia Pasifik melalui jenama Caltex yang dipercayai.
“Chevron komited untuk menyokong peralihan yang teratur ketika pasukan kami bersedia untuk menyertai ENEOS, rakan kongsi yang sangat berharga, yang mempunyai hubungan komersial yang lama dan keyakinan kukuh terhadap kejayaan berterusan jenama Caltex di seluruh rantau ini,” kata Presiden Hiliran, Pertengahan dan Bahan Kimia Chevron, Andy Walz.
Sumber : Paultan

