Selangor tewaskan Kedah 4-1 Piala Sumbangsih 2009


Selangor membuka tirai Liga Malaysia 2009 dengan bergaya apabila merangkul Piala Sultan Ahmad Shah selepas membelasah juara treble berganda, Kedah 4-1 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Dua daripada gol Selangor dijaringkan ketua pasukan, Amri Yahyah pada minit ke-3 dan 36 manakala dua gol lagi masing-masing menerusi Zameer Zainun (m-32) dan Safee Sali (m-58).

Gol tunggal tuan rumah pula dijaringkan Kyrill Muhymeen pada minit ke-89.

Namun pemain paling malang malam tadi adalah penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias yang melepaskan tiga gol mudah termasuk mengulangi persembahan buruknya pada Piala AFF baru-baru ini dengan menampan bola masuk ke gawang sendiri.

Helmi kemudiannya digantikan dengan penjaga gol simpanan Kedah, Mohd. Al- Hafiz Hamzah pada minit ke-38 namun masih gagal menghalang Selangor menjaringkan gol keempat di babak kedua.

Kemenangan Selangor itu sekali gus meleburkan sama sekali harapan Kedah untuk menempa sejarah menjadi pasukan pertama dalam merangkul trofi ketujuh dalam dua musim di bawah kendalian jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah.

Ia juga merupakan kekalahan kedua berturut-turut Kedah dalam saingan Sumbangsih ini selepas tewas kepada Perlis musim lalu.

Kedah yang beraksi di depan 30,000 penyokong sendiri termasuk Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah buntu mencari gol sejak perlawanan bermula meski pun melancarkan serangan bertali arus.

Sebaliknya Selangor yang dibimbing jurulatih baru, K. Devan bijak menyempurnakan setiap peluang yang diperoleh di depan gawang lawan.

Malang bagi pemain muda Kedah yang baru dua minit dimasukkan, Farizal Rozali selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-54 ekoran mengasari penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Ketiadaan pemain import benar-benar dirasai Kedah seolah-olah membenarkan tanggapan kekuatan Sang Kenari sebelum ini bersandar sepenuhnya kepada pemain import.

Sementara itu, sebahagian besar pasukan tuan rumah yang beraksi dalam perlawanan pembuka tirai musim baru ini tewas semalam.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu walaupun dua kali berjaya bangkit daripada ketinggalan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 2-3 kepada Perlis.

Chan Wing Hoong muncul wira pasukan pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-47 selepas dua gol awal mereka menerusi Nazaruddin Yusof (m-5) dan Ridzuan Othman (m-19) dinafikan Terengganu.

Pahang pula mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum tumbang 2-3 di gelanggang sendiri kepada Johor FC dalam aksi di Stadium Darul Makmur.

Selepas selesa mendahului, Johor FC menggunakan 30 minit terakhir permainan untuk menjaringkan tiga gol menerusi M. Sivakumar (m-62) dan Mohd. Riduan M’aon (m-76, 88).

Pulau Pinang juga gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila dibelasah Negeri Sembilan 0-3 dalam perlawanan di Stadium Bandaraya.

Selepas terikat tanpa jaringan di babak pertama, Mohd. Zaquan Adha Razak membuka jaringan buat pasukan pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-54 diikuti gol kedua lima minit kemudian sebelum Idris Karim menyumbang gol ketiga (m-62).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hampir menarik diri daripada Liga Super musim ini turut menerima nasib sama apabila tewas 0-3 kepada UPB-MyTeam di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Satu-satunya pasukan tuan rumah yang mencatat kemenangan semalam adalah Perak yang menewaskan Kuala Muda NAZA 2-0 di Stadium Perak.

Perak bagaimanapun terpaksa menunggu hingga babak kedua permainan sebelum berjaya menembusi kubu pelawat menerusi Wan Hussin Wan Abd. Ghani (m-64) dan Sharizal Mohd. Saad (m-90).

Dalam pada itu perlawanan Kelantan dan KL PLUS yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu ditunda akibat hujan lebat.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url