Senario menarik politik 2009

2009 menjanjikan satu lagi episod menarik bagi peminat politik Malaysia dan antara-bangsa. Di Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bakal dinobatkan sebagai Presiden baru. Kepresidenan Obama amat dinantikan bukan sahaja oleh rakyat AS, tetapi juga seluruh dunia.

Kejayaan memecahkan tembok penguasaan kepemimpinan politik bangsa Anglo-Saxon di negara kuasa besar tersebut mencetuskan minat baru yang luar biasa di kalangan masyarakat dunia. Semua orang ingin menyaksikan ke manakah Amerika Syarikat dan dunia akan dibawanya mulai 2009 sehinggalah penggal pemerintahannya berakhir. Apakah agaknya perkara-perkara besar yang bakal dicetuskan oleh Presiden kulit hitam pertama AS tersebut untuk negara itu khususnya dan dunia umumnya? Sejauhmanakah beliau berani dan mampu mengejar impian besar beliau seperti mana yang beliau catatkan dalam memoirnya The Audacity of Hope.

Di Malaysia, peristiwa penting yang bakal disaksikan ialah peralihan kepemimpinan negara daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. ia bakal berlaku menerusi suatu proses peralihan kuasa secara tradisi dalam UMNO setelah Abdullah membuat suatu keputusan paling sukar, tetapi penuh bijaksana untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas perhimpunan UMNO 2009 rentetan episod pilihan raya 2008. Pengorbanan Abdullah ini memperlihatkan jiwa besarnya sebagai seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan umum mengatasi kepentingan dirinya demi kesinambungan UMNO, BN dan negara. Pengunduran Abdullah nanti akan menyaksikan pertama kalinya, anak bekas seorang Perdana Menteri Malaysia yang sangat dikagumi, Allahyarham Tun Abdul Razak, bakal mengambil alih kepemimpinan negara setelah negara melalui gelora politik yang tidak kurang hebatnya seperti mana ketika ayahandanya mengambil-alih teraju politik negara kira-kira empat dekad lalu.

Semasa Tun Razak mengambil-alih teraju kepemimpinan dahulu, UMNO dan parti Perikatan dalam keadaan lesu setelah terpukul teruk dalam pilihan raya umum 1969. Namun, Tun Razak dengan penuh keyakinan menempuh badai politik dengan penuh iltizam sehingga dalam tempoh empat tahun sahaja beliau berjaya memulihkan UMNO dan Perikatan. Tun Razak merombak perlembagaan parti dan struktur Majlis Tertingginya, melaksanakan penjenamaan semula (rebranding) ke atas Perikatan sehingga melahirkan Barisan Nasional (BN) yang lebih mantap dan disegani, kemudiannya menang besar dalam pilihan raya umum 1974.

Kelahiran BN berjaya mencapai matlamat asalnya untuk meredakan keterlaluan berpolitik (politicking) di dalam negara. UMNO dan BN lantas muncul sebagai parti politik yang lebih gagah, politik negara menjadi lebih stabil dan era baru politik Malaysia pun bermula.

Pelaksanaan DEB menjadi mercu tanda kepada kepemimpinan dinamik Tun Razak. Malah ia muncul sebagai suatu dasar ekonomi nasional paling radikal yang pernah dilaksanakan dalam sejarah politik Malaysia. Maka bermulalah era Razakisme dalam politik Malaysia. DEB dan Agenda Ekonomi Melayu dengan pelbagai institusinya seperti Bank Bumiputera, Pernas, FELDA, pembangunan luar Bandar dan pembasmian kemiskinan, kelahiran berpuluh buah Badan-badan Berkanun dan Syarikat-syarikat milik kerajaan (yang hari ini di kenali sebagai GLC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelbagai yang lain termasuk beberapa akta dan undang-undang baru adalah legasi istimewa Tun Razak dalam politik Malaysia. Razakisme terangkum dan terjelma di dalam hampir kesemua entiti dan institusi tersebut.

Kepada parti pemerintah, BN adalah legasi politik terbesar Tun Razak yang tiada tolok bandingnya sehingga negara berjaya mengekalkan kestabilan politik sejak 40 tahun yang lampau sehinggalah konsep ini diuji dengan hebat dalam pilihan raya lalu. Beliau membuktikan bahawa empat tahun adalah tempoh yang cukup bagi melakukan perubahan penting yang diperlukan UMNO dan Perikatan.

Seperti mana rakyat Amerika menantikan dengan penuh debar bagaimanakah Obama bakal menyalurkan getarnya dalam kehidupan mereka, rakyat Malaysia juga ternanti-nanti era baru kepemimpinan Najib dengan penuh minat kerana sudah ada sebahagian daripada kita yang terhimbau ke era ayahanda beliau. Ada yang sudah bertanya dan berteka teki apakah era Najib akan mencetus semula Razakisme dan neo Razakisme? Atau, apakah beliau akan memilih untuk kembali ke era Mahathirisme? Atau mungkinkah beliau akan cenderung meneruskan kepemimpinannya dengan corak dan pola status-quo semasa? Atau gabungan pendekatan kepemimpinan Razakisme dan Mahathirisme yang akan mencirikan kepemimpinannya?


Berteka-teki

Ada juga pemerhati yang berpendapat sebagai seorang pemimpin yang sudah cukup terlatih, berpengalaman dan lebih bersedia, Najib bakal menjelmakan era barunya yang tersendiri. Yang nyata, parti-

parti dalam pakatan pembangkang juga turut kurang pasti dan berteka teki juga apakah pendekatan yang bakal berlaku di bawah Najib. Tidak kurang pentingnya juga bagi diari politik 2009 ialah pertarungan merebut jawatan di dalam UMNO yang bakal berlaku serentak dengan peralihan kuasa di dalam UMNO. Siapakah pemenang bagi jawatan Timbalan Presiden? Siapakah akan menduduki kerusi Naib-naib Presiden? Bagaimanakah pula dengan jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda UMNO? Penganalisis politik pasti sibuk dengan ramalan mereka mengenai siapa yang akan menang dan patut menang. Sesudah itu teka teki akan beralih pula kepada siapakah yang bakal menduduki kabinet Najib?

Di pihak pembangkang pula mereka mungkin sudah mempunyai beberapa opsyen untuk berdepan dengan Najib dan barisan kepemimpinan baru UMNO dan BN. Namun, sebelum mereka bersedia ke arah itu, tahun 2009 memberikan isyarat betapa mereka perlu terlebih dahulu bergelut mengatasi kemelut dalaman mereka, ia sebenarnya lebih kompleks dan berupaya menjerumuskan mereka dalam suatu krisis politik lebih besar sehingga menggugatkan kredibiliti mereka sebagai alternatif kepada BN. Pendekatan populis yang bersifat ad-hoc tanpa suatu dasar bersama yang konsisten sudah mula menikam diri mereka sendiri. Di kalangan pemimpin dan puak yang bertelagah sesama sendiri ini baik di dalam mahu pun di antara parti-parti dalam pakatan pembangkang jelas memperlihatkan kerakusan mereka terhadap kuasa, kedudukan, populariti dan kemewahan yang baru dinikmati itu. Malah sudah ada yang mula menunjukkan belang laksana hero populis filem-filem Tamil seperti Rajinikanth, Vijaykanth dan Arjun yang tampil menjadi pembela rakyat golongan bawahan menentang establishment.

Untuk terus mencari dan mempertahankan populariti dan pendekatan populis mereka kita barangkali akan menyaksikan lebih banyak lagi paparan episod dan lakonan aksi-aksi politik ala filem-filem Tamil daripada pemimpin-pemimpin politik dalam PKR dan DAP.

Hal ini tidak terbatas kepada pemimpin-pemimpin politik kelompok tertentu dalam PKR dan DAP sahaja, tetapi sudah mula merebak kepada pemimpin-pemimpin muda lain keturunan Cina dan Melayu dalam DAP dan Pas juga. Inilah antara perkara yang akan mencabar keupayaan pemimpin pembangkag dan Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menanganinya. Berjayakah Anwar mengurus cabaran dan tekanan politik ini laksana peranan yang dimainkan oleh Amitabh Bachchan, hero veteran filem Hindi yang sering menjadi ‘pengurus krisis’ dalam filem-filem Hindi kontemporari tetapi turut terjebak dalam konflik yang cuba diselesaikannya?

Namun Anwar sendiri dalam masa yang tidak begitu lama lagi mungkin sudah perlu mempersiapkan dirinya bagi menghadapi ujian getir perbicaraan di mahkamah untuk pusingan yang kedua dalam kes liwat yang dihadapinya. Jika kes ini berpihak kepada Anwar, maka faktor Anwar pasti akan terus menggugat ketenangan politik Malaysia dan BN bakal menghadapi tugas lebih sukar mengembalikan sokongan rakyat kepadanya. Jika kes ini berpihak kepada pendakwaraya pula, maka Anwar mungkin mengulangi nasibnya di penjara Sungai Buloh dan pergolakan dalam pakatan pembangkang mungkin sukar dibendung lagi kerana kehilangan pemimpin penting yang dapat menguruskan kerjasama politik di antara mereka.

Tiada pemimpin lain dalam pembangkang yang mampu menyamai atau berupaya memainkan peranan yang dimainkan Anwar dalam mempertahankan kerjasama politik di kalangan pembangkang. Pergolakan kelompok-kelompok yang bertelagah di dalam PKR juga mungkin menjadi bertambah parah. Di Parlimen, perebutan pasti berlaku di antara PKR, DAP dan Pas untuk mengisi jawatan Ketua Pembangkang. Dasar persamaan status dalam pakatan pembangkang jelas boleh menyulitkan mereka mencapai konsensus politik ketika berdepan dengan krisis. Apa yang nyata ialah parti-parti dalam pakatan itu kini sudah mula merasai betapa sukarnya menjadi parti yang memerintah.

Bagaimanapun sebelum ini semua dapat disaksikan, politik Malaysia 2009 akan bermula dengan pertarungan pusingan kedua BN-pembangkang dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini. Signifikannya pilihan raya Kuala Terengganu dalam politik tanah air kerana ia satu kawasan di mana kekuatan UMNO dan Pas hampir seimbang. Selain itu gelora politik 2008 juga sudah sedikit reda, lantas dapat mewujudkan suasana berfikir dan emosi yang lebih tenang di kalangan pengundi untuk membuat keputusan dan menentukan pilihan mereka. Justeru, trend politik pengundi dan populariti kedua-dua parti akan dapat diukur dengan lebih baik. Kepada UMNO dan BN, Kuala Terengganu menjadi lebih penting kerana ia kawasan yang telah dimenangi UMNO dalam pilihan raya 2008. Kemenangan di Kuala Terengganu pasti meniupkan semangat baru kepada parti itu untuk bangkit kembali setelah episod duka pilihan raya umum 2008 dan episod pahit di pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lalu.

Kekalahan Pas di Kuala Terengganu pasti menyebabkan pergeseran puak Erdogan dan puak konservatif bertambah parah di dalam parti tersebut. Pas yang dikerdilkan oleh PKR dan DAP dalam pilihan raya umum 2008 pasti mendapati kedudukannya bertambah sukar untuk menyaingi pengaruh kedua-dua rakan kongsinya itu. Para pengikut Pas pasti mengenakan tekanan yang lebih kuat kepada kepemimpinan parti supaya tidak lagi menjadi terlalu apologetik dan pak turut kepada PKR dan DAP. Ternyata prinsip politik DAP lebih teguh berbanding pegangan ideologi politik yang diperjuangkan oleh Pas. Ideologi politik Pas tidak salah, yang lemah ialah iltizam politik pemimpin-pemimpinnya. Pas telah menunjukkan yang ia sebenarnya belum cukup bersedia menjadi pelindung politik kepada orang Melayu dan Islam di negara ini apabila ia sering mengalah kepada DAP dan PKR.

Ampuh

Nyatalah, baik UMNO mahu pun Pas, kedua-duanya bakal mengharungi pilihan raya kecil Kuala Terengganu di bawah tekanan dan pertarungan ini pasti sengit ibarat pertarungan merebut gelaran tinju Heavyweight Thrilla in Manila antara Muhammad Ali dan Joe Frazier awal era 1970an dahulu. Peminat-peminat sejati sukan tinju pasti tahu apakah kesudahan pertarungan Ali-Frazier tersebut. Frazier hanya menang pertarungan tersebut dengan kiraan mata. Namun kemenangannya hanya seketika apabila Frazier tewas kepada George Foreman dalam pertarungan berikutnya. Foreman bagaimanapun dibelasah Ali dengan pukulan knock-out dalam pertarungan Rumble in the Jungle di Kinshasha, Zaire pada 1974, tahun yang sama BN menang besar setelah ia membuat kemunculan sulung hasil penjenamaan semula parti Perikatan.

Tahun 2009 juga menjanjikan episod menarik untuk para pemerhati politik melihat sejauhmanakah ampuh atau semakin rapuhnya kerjasama politik triparti dalam pakatan pembangkang dan sejauhmanakah BN mampu bangkit kembali. Dalam keadaan dunia bersiap sedia menghadapi potensi berlakunya krisis kemelesetan ekonomi global yang pasti turut menghimpit Malaysia, trend berpolitik secara keterlaluan pasti memudaratkan masyarakat dan negara. Sementara BN selaku parti pemerintah terpaksa berdepan dan mengurus cabaran ini dengan penuh bijaksana, pendekatan populis parti-parti dalam pakatan pembangkang akan terus meletakkan kerajaan pusat dalam keadaan dilema dan sukar untuk mengambil opsyen yang mungkin tidak popular. Pakatan pembangkang kelihatannya akan terus dengan pendekatan populis mereka sehingga pilihan raya yang akan datang.

Bersediakah BN mengambil pendekatan yang sama bagi menyaingi pembangkang? BN telah membayar harga yang mahal dalam pilihan raya 2008 apabila mengambil pendekatan bukan populis dalam menangani krisis harga minyak sebelum ini. Apakah pendekatan yang BN akan amalkan dalam menangani krisis kapitalisme global? Dalam masa yang sama BN juga perlu membendung kemaraan pembangkang dan dasar-dasar populisme mereka jika ia ingin bangkit kembali dalam pilihan raya yang akan datang.

2009 pastinya terus menjadi tahun politik yang menarik untuk disaksikan bersama. Obama, Najib, Anwar, UMNO dan pertarungan BN-PR di dalam dan di luar Parlimen adalah antara rempah ratus menarik bagi diari politik 2009. Adanya baiknya para pemimpin politik dan pemerhati politik membaca memoir Barack Obama The Audacity of Hope dan Dreams from my Father bagi mendapat sedikit sebanyak ilham politik bagi menghadapi tahun 2009 dan selepasnya dengan lebih berkeyakinan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url