Semua undi penting - Najib (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, undi semua kaum penting kepada Barisan Nasional (BN) untuk memastikan kemenangan calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, di Kuala Terengganu 88 peratus pengundinya adalah kaum Melayu dan kepentingan undi kaum Cina dan India bergantung kepada sokongan orang Melayu terhadap BN.

Menurutnya, sekiranya BN memperoleh undi yang besar dari kaum Melayu maka undi Cina dan India akan meningkatkan majoriti kemenangan.

Katanya, undi kaum Cina dan India hanya akan menjadi faktor penentu kemenangan jika undi orang Melayu terbahagi dua antara UMNO dan Pas.

''Saya tak suka nak kata undi Cina lebih penting atau undi India lebih penting. Pada saya semua undi itu adalah penting.

''Kalau kita dapat bilangan undi yang besar daripada orang Melayu jadi pengundi Cina dan India, bilangan (undi) tambahan saja, tapi sekiranya undi Melayu sama banyak antara UMNO dan Pas, jadi undi Cina dan India akan tentukan kemenangan dan ia bergantung kepada keadaan undi Melayu," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertemuan bersama usahawan dan majlis pecah tanah Menara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) di Kawasan Perniagaan Hiliran di sini hari ini.

Menurut Najib, BN boleh menang di Kuala Terengganu tetapi ia bergantung kepada komitmen jentera parti serta usaha yang dilakukan untuk menangkis isu yang dibangkitkan pembangkang.

Katanya, tinjauan BN mendapati prestasi parti itu semakin baik ketika masuk hari kelapan berkempen dan beliau harap momentum itu akan berterusan untuk memberi kemenangan kepada parti.

''Saya sudah beritahu bahawa jentera kita mesti bergerak dengan penuh komitmen sehingga akhir kempen yang dibenarkan mengikut undang-undang.

''Kita tidak boleh pandang perkara ini sebagai satu yang mudah. Ini satu persaingan yang hebat. Sekiranya kita bersatu dan fokus untuk capai kejayaan, maka insya-Allah kita boleh menang," ujarnya.

Beliau menolak tanggapan bahawa BN mengambil pendekatan defensif dalam kempen-kempennya, sebaliknya parti itu sentiasa mengingatkan pengundi tentang kelemahan dan ketidakupayaan Pas menunaikan janji ketika menerajui pemerintahan Terengganu sebelum ini.

Mengenai ramalan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa pilihan raya umum akan diadakan selepas peralihan kuasa kepimpinan negara jelas Najib, itu hanya tanggapan pembangkang sahaja.

''Saya tidak akan buat pilihan raya bergantung kepada apa Kit Siang kata. Apa yang penting sangat untuk buat (pilihan raya umum) akhir tahun ini.

''Dia acah nak suruh kita jawab. Saya fahamlah permainan minda mereka. Jangan risau kita mengambil keputusan bersama untuk melakukan perkara yang betul," ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url