Apabila Pakatan Rakyat ketandusan isu berkempen (PRK Kuala Terengganu)

Sebaik sahaja Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu ditetapkan pada 17 Januari ini, ramai tertanya-tanya apakah isu yang akan digunakan oleh kedua-dua parti sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Ia kerana, pilihan raya tersebut diadakan dalam keadaan tiada apa-apa isu yang boleh digunakan oleh pembangkang bagi menggugat hasrat murni BN untuk mempertahankan kerusi itu demi meneruskan kesinambungan melaksanakan pembangunan bagi membela rakyat.

Tetapi ternyata pembangkang termasuklah Pas tidak mahu duduk diam, kesudahannya mereka menggunakan apa sahaja yang terlintas di fikiran sebagai isu.

Mengikuti beberapa ceramah Pas dan pembangkang dalam tempoh beberapa malam ini, ia sungguh membosankan kecuali kepada mereka yang menjadi penyokong kuat atau kepada mereka yang hadir sekadar untuk mendengar.

Ceramah-ceramah Pas sepanjang pilihan raya kecil ini ibarat 'hiburan malam' kerana dari segi isu, ia sudah 'didendangkan' sebelum 8 Mac 2008 iaitu ketika negara berada dalam musim pilihan raya umum.

Isu-isu lapuk terus dibangkitkan oleh pembangkang dan kalau baru mungkin dari segi jenaka yang diselitkan, lebih daripada itu ia tidak ada apa-apa. Malah sejak dua tiga malam ini juga, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjadi sasaran kritikan pembangkang.

Mungkin tindakan 'menyerang' Wan Ahmad Farid dilakukan setelah pembangkang mendapati langkah BN mengeluarkan risalah mengenai latar belakang calon BN itu mula mendapat perhatian ramai.

Selain mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, Wan Ahmad Farid juga mempunyai pengalaman pentadbiran. Semua ini meresahkan Pas, tambahan pula persepsi bahawa Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu seorang yang sombong, sedikit demi sedikit semakin pudar di kalangan pengundi.

Keadaan itu berlaku kerana selama ini, mereka hanya mendengar watak Wan Ahmad Farid daripada orang lain, bukan secara bersemuka atau bak kata orang pengalaman sendiri, tetapi apabila Wan Ahmad Farid turun bertemu dengan orang ramai barulah mereka tahu bagaimana sikap sebenarnya diri beliau.

Turut menjadi sasaran pembangkang ialah pelancaran 'Kempen Menurunkan Harga' yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ertinya apa sahaja yang mereka lihat akan dijadikan isu.

Kini Pas yang mendakwa mempunyai peluang 'lebih sikit daripada 50 peratus' berusaha menggunakan apa juga isu bagi mempertahankan momentum itu.

Difahamkan mulai malam ini, pemimpin-pemimpin utama pakatan pembangkang akan 'berkampung' di Kuala Terengganu. Mereka akan melakukan kempen 'tiga hari tiga malam' sebelum tempoh berkempen tamat pada pukul 12.05 tengah malam, Jumaat ini.

Sudah pastilah, ketika itu pelbagai isu lapuk akan dibangkitkan dan mungkin juga pelbagai fitnah akan dilemparkan kepada BN. Tetapi apa yang penting ketika inilah kematangan pengundi akan diuji.

Tidak salah bagi mereka untuk mendengar isu yang diketengahkan oleh pembangkang tetapi gunakan akal yang dianugerahkan oleh Allah untuk membuat pertimbangan apakah yang dikatakan oleh pembangkang itu satu kebenaran, kepalsuan, fitnah atau tohmahan.

Malah pengundi juga harus mengkaji bagaimana telatah pembangkang, apakah perbuatan mereka dalam berpolitik selari dengan kata-kata atau 'cakap tak serupa bikin'.

Apapun BN mempunyai misi lebih jelas dan tiada masa melayan isu remeh temeh yang dibangkitkan oleh pembangkang. BN hadir ke Kuala Terengganu bukan untuk menambah tetapi bagi mempertahankan kerusi demi memastikan segala perancangan untuk kesejahteraan rakyat tidak akan tergugat.

Oleh itu sehebat manapun 'serangan kempen' pembangkang, ia tidak akan mendatangkan hasil jika pengundi dapat menilai siapa yang menawarkan realiti dan siapa pula hanya tahu berjanji.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url