Belasungkawa - Sasterawan Negara, Arenawati dalam kenangan
Beberapa hari lalu semasa singgah ke wad baldu PPUKM, saya sempat bercakap-cakap dengan Pak Arena sungguhpun beliau sudah tidak berkata-kata. Akan tetapi apabila saya menyebutkan dan bertanyakan tentang novel barunya yang baru terbit di Tanjung Malim dan manuskrip barunya yang kini di tangan Anwar Ridhwan, matanya terbuka luas dan terkelip-kelip seolah-olah mengiakan sesuatu. Mulutnya cuba mengungkapkan sesuatu. Demikianlah sikap Arenawati yang sentiasa mahu membicarakan tentang karya dan penulisan.
"Ayah is a fighter." Ratna, puteri beliau menjelaskan kekuatan Arenawati yang sudah empat bulan di hospital. Bagaimana beliau berjuang dengan pena, demikianlah beliau berjuang pada saat usianya yang terakhir. Menurut Ratna, Arenawati kuat semangat dalam pertarungannya menghadapi penyakit yang dihidapinya.
Tetapi, ketika saya menziarahinya beliau sudah tidak seperti yang saya selalu saksikan sejak 20 tahun lalu. Pada hari itu beliau terdampar lemah di katil.
Dulu, kalau ke UKM beliau selalu bertopi bagi melindungi kepalanya daripada panas matahari, bertongkat dan berbaju batik Indonesia. Beliau berbual dengan suara yang kuat dan jelas tapi mesra.
Pak Arena sebahagian daripada sejarah penubuhan UKM. Buku-buku awal dalam koleksi perpustakaan UKM diusahakan oleh Arenawati dengan memunggahkan buku dari Jakarta ke Pantai Baru pada awal 70-an.
Pak Arena pernah menjadi karyawan tamu di UKM pada 1985 bagi menulis memoirnya. Beliau juga telah dianugerahkan ijazah kehormat oleh UKM sebagai mengenang sumbangannya dalam kesusasteraan.
Arenawati atau nama sebenarnya Muhammad Dahlan bin Abdul Biang adalah anak Bugis asli. Beliau lahir pada 30 Julai 1925 di Kalumpang, Kabupaten Jeneponto, Makasar, Indonesia.
Pendidikan awalnya bermula di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa perang, pengajiannya terganggu dan beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada 1943. Pengalamannya di laut telah mematangkan wataknya yang mewarisi darah pelaut sejak turun temurun.
Arenawati diangkat menjadi nakhoda kapal pada usia 17 tahun. Beliau kemudian menghabiskan pelajaran menengahnya di Makasar pada 1953.
Kerjayanya sebagai penulis bermula di syarikat penerbitan di Singapura. Beliau bekerja sebagai pengarang di Royal Press bersama Cikgu Harun Aminurashid dan menerbitkan majalah Hiboran. Selain itu, beliau juga bekerja di Harmy Press.
Beliau kemudiannya ke Johor Bahru dan bekerja di Penerbitan Melayu Ltd., sebelum ke Brunei untuk menjadi penasihat percetakan Light. Di Kuala Lumpur beliau kemudiannya menyertai Aziz Antara di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.
Di tangan Arenawati sebagai editor, terbit sejumlah buku-buku yang besar dan kuat di Pustaka Antara. Arenawati menjadi pegawai penyelidik di Yayasan Sabah pada 1974.
Arenawati akan dikenang kerana karya-karyanya yang kuat dan besar jumlahnya. Antara karya beliau yang awal ialah Kisah Tiga Pelayaran yang terbit pada tahun 1959 di Singapura. Sejak itu semakin ligatlah beliau berkarya sehinggalah sejurus sebelum beliau dimasukkan ke hospital pada bulan Ramadan lalu.
Antara novel beliau seterusnya ialah Lingkaran (1962), Sandera (1971), Bunga Dari Kuburan (1987), Kuntum Tulip Biru (1987), Sakura Mengorak Kelopak (1987), Panrita (1993), Sukma Angin (1999), Cakra Waruga, Trilogi Busa - Busa Hati, Trilogi Busa - Busa Sukma, Trilogi Busa - Busa Kalbu, Trilogi Armageddon: Mandala, Trilogi Armageddon: Menorah, Trilogi Armageddon: Pentagon, Warna Sukma Usia Muda. Kisah perjalanan hidupnya diabadikannya dalam Memoir Arenawati: Enda Gulingku.
Sebagai pengiktirafan terhadap bakat besar dan sumbangannya kepada dunia kesusasteraan Melayu, Pak Arena di anugerahkan SEA Write Award (1985), Anugerah Sasterawan Negara (1987). Karya beliau, Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Arenawati juga adalah pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) 2003.
Rakan-rakan, sahabat handai dan saudara mara meninggalkan tanah perkuburan Bukit Kiara dengan seribu kenangan suka duka bersama Arenawati.
Seharum bunga dari kuburan yang lembut, Arenawati meninggalkan nama yang wangi di pentas kesusasteraan Melayu - Nusantara.
Beliau akan tetap dikenang oleh sarjana dan rakan penulis di Eropah bak kuntum tulip biru dan kenalannya di Jepun akan mengenang beliau seperti sakura mengorak kelopak.
Prof. Dr. Soleha Ishak, Pengarah Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya ketika ditemui berkata:
"Membaca karyanya, Sukma Angin saya dapat merasakan minda pasca moden dan toleransi yang pintar terhadap kepelbagaian budaya masyarakat di Asia Tenggara. Saya kagum dengan daya kreatifnya yang diletakkannya dalam konteks kepelbagaian budaya ini. Dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang tokoh yang cemerlang."
Menurut Prof. Dr. Kamaruddin M.Said, Penerbit UKM merasa bangga dapat menerbitkan banyak hasil karya SN Arena Wati.
"Saya berpendapat Arena Wati ialah seorang sasterawan Melayu yang berminda glokal. Selain menukilkan kisah hidup Melayu Nusantara, beliau turut meletakkan naratif sastera Melayu dalam konteks kehidupan manusia sejagat di New York, Kyoto, Leiden dan kawasan Nusantara.
"Pengalamannya sebagai pelaut telah membentuk mindanya yang terbuka dan menjangkau luas ke seluruh pelosok dunia. Namun begitu, jati diri Melayu-Nusantaranya terus teguh hingga ke akhir hayatnya."
Sesungguhnya Arenawati adalah seorang tokoh yang amat penting dalam kesusasteraan Melayu moden.
Semasa hayatnya, Pak Arena tampil sebagai penulis yang cukup prolifik, tidak berhenti-henti menulis dengan pelbagai karya. Beliau ibarat sumur di ladang yang membuak-buak dengan air yang tak pernah kering.
Arenawati pergi dengan meninggalkan sejumlah karya besar untuk seluruh bangsanya. Negara kehilangan anak bangsanya yang besar jasanya dalam arena kesusasteraan. Saya kehilangan rakan penulis yang rapat dan cukup penyayang.
- Utusan