Wajarkah undi protes dilakukan?

Dalam mana-mana pilihan raya sama ada kecil atau umum, satu undi mampu menentukan kemenangan atau kekalahan seseorang calon. Malah mungkin kerana satu undi juga ia mampu meruntuhkan sebuah kerajaan.

Oleh itu tanggungjawab sebagai seorang pengundi amat penting, mereka perlu membuat keputusan dengan matang sebelum mengundi. Tangan yang memangkah kertas undi itu harus diiringi dengan ketenangan fikiran untuk memastikan undi yang dilontarkan mampu membawa kebaikan dan bukannya sekadar melepaskan geram.

Ketika ini salah satu seruan pembangkang ialah rakyat di kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang akan keluar mengundi pada Sabtu ini, melontarkan undi kepada calon mereka.

Tujuannya hanya satu iaitu sebagai tanda protes berikutan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum lalu gagal mentadbir dengan baik. Mereka berharap undi berkenaan akan memberikan mesej kepada BN.

Sebagai salah sebuah parti yang bertanding, pembangkang berhak membuat seruan berkenaan tetapi bagi pengundi mereka perlu memikirkan semasak-masaknya sama ada harus menerima atau tidak cadangan berkenaan.

Ini kerana adalah jelas undi protes tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat kepada mereka. Ia hanyalah sekadar untuk memuaskan hati dan melepaskan perasaan semata-mata tetapi selepas pilihan raya berakhir apakah undi protes mampu membantu meningkatkan taraf hidup rakyat?

Langkah menyeru rakyat melaksanakan undi protes bukanlah satu tindakan yang bijak dalam berpolitik, apatah lagi jika undi berkenaan dilakukan ke atas calon yang masih belum diuji kemampuannya seperti calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Wan Ahmad Farid dan BN tidak harus dijadikan mangsa kepada satu seruan politik yang berasaskan kepada sentimen semata-mata. Apatah lagi, selepas tsunami politik yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu banyak kelemahan BN yang didakwa terjadi sudah diperbetulkan.

Malah di Terengganu sendiri, kerajaan yang diterajui oleh BN telah, sedang dan akan melaksanakan pelbagai projek dan program bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat termasuklah di Kuala Terengganu yang dilihat berubah wajah sebaik sahaja BN merampas kembali tampuk pemerintahan negeri pada 2004.

Oleh itu, BN dan Wan Ahmad Farid harus diberi peluang dan ruang meneruskan misi berkenaan, bukannya disekat semata-mata kerana undi protes yang wujud berikutan seruan tidak matang berpolitik oleh sesetengah pihak.

Jika pihak yang membuat seruan itu benar-benar ingin memperjuangkan nasib rakyat dan ingin melihat Terengganu terus maju, mereka tidak akan melakukan seruan supaya undi protes dilaksanakan.

Dari segi kedudukan politik, mungkin parti pembangkang akan untung kerana mereka akan menambah sebuah lagi kerusi dalam Parlimen manakala BN khususnya UMNO akan kehilangan sebuah kerusi. Tetapi persoalannya apakah itu yang menjadi matlamat dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu?

BN mempunyai agenda yang lebih besar untuk rakyat Terengganu dan perkara ini sudah dinyatakan dengan jelas dan tegas oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang berkempen di Kuala Terengganu.

Kecenderungan BN bukanlah sekadar mempertahankan kerusi itu tetapi untuk memastikan pelaksanaan usaha bagi membela nasib rakyat tidak tergugat.

Pas berjanji membawa suara ke Parlimen, itu sahaja tetapi jika calon BN dipilih beliau mempunyai akses secara langsung bukan sahaja mengetengahkan suara rakyat kepada para pemimpin negara malah mampu membawa pulang projek-projek yang bertujuan memberi kemakmuran kepada rakyat.

Demokrasi yang turut merangkumi kebebasan memilih pemimpin yang akan mewakili rakyat tidak harus dicemari dengan undi protes kerana rakyat tidak akan mendapat faedah daripadanya. Oleh itu berfikirlah dengan bijak sebelum mengundi kerana satu undi mampu menentukan corak kehidupan rakyat seterusnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url