'Ini soal menangkan BN' - Wan Farid (PRK Kuala Terengganu)

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan, pilihan raya kecil ini bukan soal untuk memenangkan beliau sebaliknya ia untuk memastikan BN terus mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Menurutnya, jentera UMNO khususnya di peringkat bahagian tahu mengenai perkara ini dan sedar kegagalan bukan merupakan opsyen untuk apa sebab sekali pun.

''Saya percaya semangat dalam parti amat tinggi kerana soalnya bukan Wan Farid mesti menang, tetapi persoalannya adalah untuk BN kekalkan kerusi ini.

''Jadi setiap ahli dalam UMNO Bahagian Kuala Terengganu tidak akan sesekali melakukan perkara yang boleh menyumbang kepada kekalahan BN pada pilihan raya kecil ini," katanya pada sidang akhbar di pejabat UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini hari ini.

Wan Ahmad Farid berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai spekulasi mendakwa wujudnya 'serangan dalaman' yang dilemparkan ke atasnya.

Beliau menegaskan, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana jika dilihat, serangan-serangan peribadi yang dilemparkan ke atasnya berlaku di pentas ceramah Pas.

Katanya, sebab itu untuk menyatakan yang serangan itu berlaku dari dalam UMNO, ia adalah perkara yang amat tidak munasabah.

Berhubung dakwaan Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong yang meletakkan peluang Pas lebih sedikit dari '50-50', Wan Ahmad Farid berkata, terpulang kepada Pas untuk membuat apa sahaja ramalan.

''Saya tak lihat bancian ini akan mengganggu tugas jentera BN. Rakyat Kuala Terengganu telah beri sokongan kepada BN untuk dua penggal yang lalu dan saya harap mereka akan terus memanjangkan mandat itu kali ini.

''Saya percaya mereka akan beri sokongan yang ditunjukkan dua penggal lalu dan saya sedang bekerja keras (bagi mencapai kemenangan)," ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url