Jangan 'bunuh' semangat politik barisan pelapis UMNO
Bagaimana tokoh veteran UMNO itu boleh memikirkan pendekatan tersebut jika parti itu benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang.
Kita memahami niat beliau melontarkan idea itu supaya UMNO dapat menyusun semula pertubuhan politik yang dianggotai lebih tiga juta ahli itu.
Pada fikiran Ahmad Rithauddeen, gejala politik wang di dalam parti boleh dibendung jika pemilihan parti dapat dikurangkan dengan memansuhkan sayap-sayap parti, terutamanya yang baru ditubuhkan.
Tetapi ahli-ahli UMNO dan rakyat yang mengundi parti ini sejak sekian lama sudah memerhati di mana punca sebenar berlaku politik wang. Ia bukan bertapak dalam politik Puteri atau Putera UMNO. Jadi kenapa dua sayap ini yang hendak dihukum.
Sejak Puteri UMNO ditubuhkan pada 2000 dan biro Putera UMNO dilahirkan di bawah sayap Pemuda pada 2005, ahli-ahli sayap ini dikerah sebagai jentera pilihan raya.
Pemimpin dan ahli UMNO usah mudah lupa kepada jasa dan sumbangan Puteri dan Putera kepada UMNO. Jangan ketika UMNO dihimpit masalah politik wang yang serius dan hilang pengaruh di kalangan rakyat terutama orang Melayu, dua sayap ini dijadikan tempat melonggokkan kelemahan dan kesalahan parti.
Tanpa angin yang menggoncangkan pokok, tiba-tiba kewujudan Putera dan Puteri dikatakan melemahkan UMNO.
Benarkah banyak pemilihan dalam sayap itu menyebabkan lebih banyak gejala terutama politik wang melanda parti. Dakwaan itu harus dibuktikan, bukan sekadar tuduhan.
Perasaan golongan muda dalam Putera dan Puteri perlu dijaga. Kesetiaan mereka menyertai UMNO tidak patut dipertikaikan, apatah lagi dengan tuduhan sedemikian.
Soal mereka patut memberi tumpuan kepada pelajaran berbanding politik kerana masih muda dan belum sesuai untuk berpolitik, tidak perlu timbul.
Apakah sekarang UMNO tidak memerlukan ahli-ahli pelapis daripada golongan muda? UMNO perlu berhati-hati dengan cadangan memansuhkan sayap Puteri dan Putera. Kerana kita bimbang satu hari nanti tiada lagi golongan muda ingin mendekati UMNO.
Sepatutnya UMNO belajar daripada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2008. Trend pengundi muda pada dua pilihan raya itu lebih condong kepada parti pembangkang. Bayangkan jika 30 peratus daripada 3.2 juta ahli UMNO yang merupakan pengundi berdaftar itu dimansuhkan keahlian mereka?
Kita tentu boleh membayangkan masa depan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Jadi, UMNO patut mendekati golongan itu dan memahami apa kehendak mereka. Bukan mengetepikan mereka atas perbuatan politik wang golongan lebih senior daripada mereka.
Sesungguhnya penglibatan remaja lelaki dan perempuan daripada usia muda akan memberi satu jaminan kepada pelapis UMNO yang kuat jiwa dan hati untuk masa depan agama, bangsa dan negara.
Politik wang yang menanah dalam UMNO perlu dibersihkan. Tetapi bukan dengan cara 'membunuh' semangat politik anak muda.