625,987 guna bahasa Melayu dalam UPSR

Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) mendedahkan 625,987 murid tidak menjawab kertas soalan dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, keputusan UPSR tahun lalu menunjukkan hanya 159,234 murid daripada 511,875 murid tahun enam menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris manakala 352,641 murid menjawab dalam bahasa Melayu sejak pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

‘‘Bagi Matematik pula, 238,153 murid daripada 511,499 yang menduduki peperiksaan itu menjawab dalam bahasa Inggeris manakala 273,346 menjawab dalam bahasa Melayu.

‘‘Ia menunjukkan seramai 625,987 murid tidak memahami untuk menjawab Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,’’ katanya kepada pemberita di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata, kajian juga telah dilakukan oleh pasukan penyelidik yang terdiri daripada 50 pensyarah dari tujuh buah universiti dalam negara.

Katanya, kajian yang dibuat terletak di bawah penyeliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Menurutnya, hasil kajian menunjukkan beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar gagal mata pelajaran Sains dan Matematik melebihi 50 peratus.

Tambahnya, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga menunjukkan kejatuhan bagi pelajar Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

‘‘Kajian yang dibuat di 70 buah sekolah menengah dan 90 buah sekolah rendah di seluruh negara juga menunjukkan berlakunya kemerosotan dalam mata pelajaran tersebut.

‘‘Ia menunjukkan PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar,’’ katanya

Menurut Hassan, ia jelas menunjukkan PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar sebaliknya membebankan pelajar.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk Bahasa Inggeris di setiap sekolah.

Tambahnya, wakil kerajaan perlu ke sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar untuk memantau sistem yang digunakan dalam P&P bahasa tersebut.

‘‘Sistem P&P untuk Bahasa Inggeris perlu diubah dan diperkemaskan terlebih dahulu supaya menjadi bahasa kedua yang dikuasai pelajar bukannya mengajar bahasa tersebut dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

‘‘Selain itu, jadikan negara-negara Eropah sebagai model di mana mereka mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa ibunda, tetapi menggalakkan pelajarnya menguasai pelbagai bahasa,’’ katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
2 Comments
  • taipingmali
    taipingmali Sabtu, 14 Februari 2009 pada 8:07:00 PTG SGT

    Kenapa calon menjawab dalam BM? kerana soalan dwibahasa. Tahun 2009 soalan biarlah 100% dalam bahasa Inggeris dan baru buat penilaian. Saya tetap menyokong PPSMI

  • Nizar_Ryza
    Nizar_Ryza Isnin, 16 Februari 2009 pada 12:07:00 PG SGT

    Aku salah seorang guru yang merasa amat simpati pada murid yang menjalani PPSMI ini.. apakah mereka yang menyokong pelaksanaan PPSMI pernah pergi ke sekolah dan bandingkan efeknya pada murid Melayu? ternganga2 dalam kelas mendengar guru menerangkan pelajaran di hadapan kelas berbanding murid bukan Melayu? menyebabkan murid Melayu yang memang sedia layu terus terkulai lesu dan bertambah pasif?

    Adha, apa pendapat anda sendiri?

Add Comment
comment url