DiGi perkenal program kekalkan pengguna

DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) akan memperkenalkan perkhidmatan bantuan peribadi, iaitu DiGi Priority Service, bagi pelanggan-pelanggan pascabayar dan prabayar menjelang 9 Mac ini.

Ketua Pegawai Komersialnya, Tom Schnitker berkata, program itu adalah sebahagian usaha syarikat itu mengekalkan pelanggan berikutan pelancaran Perkhidmatan Portabiliti Nombor Mudah Alih (MNP) tahun lepas.

"Perkhidmatan baru ini adalah satu lagi platform untuk membina momentum bagi pertumbuhan masa depan serta mewujudkan pertalian dan kesetiaan terhadap jenama di kalangan pelanggan," katanya pada pelancaran DiGi Priority Service di sini hari ini.

DiGi mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM4.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 berbanding RM4.4 bilion sebelumnya, hasil daripada permintaan teguh bagi perkhidmatan mudah alih.

Asas pelanggannya berjumlah 7.1 juta setakat akhir 2008.

Schnitker berkata, DiGi akan memilih pelanggan berdasarkan penggunaan bulanan, rekod pembayaran dan tempoh penggunaan mereka bagi melayakkan mereka menjadi pelanggan keutamaan perak, emas dan platinum.

Pelanggan yang telah menggunakan perkhidmatan DiGi selama lima tahun layak dipilih bagi keutamaan perak jika bil bulanannya berjumlah sekurang-kurangnya RM100, jelasnya.

Katanya, ketiga-tiga peringkat pelanggan keutamaan itu akan juga menikmati had kredit yang lebih tinggi dan penggantian kad SIM sehari berjamin tanpa sebarang kos dan dihantar terus ke rumah mereka.

Syarikat itu juga mengadakan Perunding Mudah Alih Keutamaan bagi pelanggan platinum untuk membantu dan menyelesaikan isu teknikal mudah alih di lokasi mereka.

''Kami masih menikmati kedudukan positif dan kedudukan ini berterusan sejak hari pertama," katanya bila ditanya tentang kesan pelaksanaan MNP terhadap syarikat itu setakat ini.

MNP dilancarkan dengan rasmi pada 15 Oktober tahun lepas bagi membolehkan pelanggan-pelanggan pasca bayar dan prabayar beralih kepada penyedia perkhidmatan mudah alih pilihan mereka di samping terus menggunakan nombor telefon mudah alih sedia ada.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url