GP Malaysia 2009 kurang hangat


Jika sebelum ini, Grand Prix Malaysia dikenali sebagai 'Perlumbaan Formula Satu Paling Hangat', namun tahun ini agak berlainan.

Cuaca panas memuncak pada pukul 3 petang di Litar Antarabangsa Sepang iaitu waktu permulaan sesi latihan, kelayakan dan perlumbaan sebelum ini tidak lagi akan dirasai oleh pelumba, kenamaan mahu pun peminat Formula Satu (F1).

Selepas 10 tahun, perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia 2009 kali ini akan dimulakan pada pukul 5 petang, waktu yang agak selesa dan redup.

Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang Sdn. Bhd. (SIC), Datuk Mokhzani Mahathir berkata, waktu perlumbaan GP Malaysia 2009 pada 3-5 April ini dilewatkan dua jam, berbanding pukul tiga petang di sepanjang 10 edisi perlumbaan sebelum ini.

Perubahan waktu permulaan itu mendapat restu daripada supremo F1, Bernie Ecclestone.

Jelas Mokhzani, perubahan waktu permulaan perlumbaan itu sejajar dengan pindaan kontrak untuk perlumbaan dilangsung pada pukul 5 petang waktu tempatan.

"Perlumbaan pada pukul 5 petang waktu tempatan akan dapat ditonton oleh peminat Eropah pada pukul 9 malam. Perlumbaan yang dimulakan pada lewat petang menjadikan ia tidak terlalu panas, yang juga akan memberi keselesaan kepada penonton untuk menyaksikan perlumbaan,'' katanya pada pelancaran GP Malaysia 2009 di sini, semalam.

Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia akan menganjurkan perlumbaan malam seperti yang diminta oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebelum ini, Mokhzani berkata, perkara itu tidak lagi berbangkit sehingga 2015.

''Cadangan untuk perlumbaan malam menuntut kos yang yang tinggi khusus untuk pemasangan sistem lampu limpah yang baru.

''Keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang menjadi halangan kepada SIC untuk menyediakan kos yang diperlukan,'' katanya.

Tambah Mokhzani, ketika beliau bertemu dengan Ecclestone baru-baru ini, supremo F1 itu tidak lagi membangkitkan perkara itu.

''Suasana ekonomi sekarang tidak mengizinkan kita untuk menganjurkan perlumbaan malam.

''Perlumbaan malam juga mungkin tidak menarik penonton ke litar,'' katanya.

Perlumbaan pembukaan F1 musim 2009 akan bermula di Melbourne pada 27-29 Mac depan, juga dimulakan pada pukul 5 petang waktu tempatan.

Sementara itu, di sebalik kelembapan ekonomi global, SIC tetap menyasarkan angka kehadiran penonton lebih tinggi berbanding tahun lalu.

''SIC menyasarkan kehadiran penonton lebih baik berbanding tahun lalu pada perlumbaan kali ini dengan sasaran 130,000 penonton khususnya dari kalangan peminat tempatan dan sekitar negara Asia Tenggara.

''Perubahan dari segi reka bentuk kereta serta aksi pelumba ternama tetap menjadi tarikan utama ke perlumbaan kali ini,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url