Hina raja: Ibrahim Ali bertelagah dengan Pakatan Rakyat di Parlimen


Wakil rakyat Bebas, Datuk Ibrahim Ali menggamatkan persidangan Dewan Rakyat apabila menyentuh isu kedaulatan raja-raja Melayu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Beliau turut menyentuh tentang keperluan meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan dan martabatnya yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Bagaimanapun, ucapan Ibrahim yang penuh bersemangat sehingga tersasul menyebut 'bangsa asing' bagi merujuk kaum bukan Melayu, telah membangkitkan rasa marah di kalangan Ahli Parlimen pakatan pembangkang sehingga menyebabkan ramai yang bertindak keluar Dewan.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, hatinya terguris dan terluka apabila mendengar orang bukan Melayu memanggil sultan atau Yang di-Pertuan Agong dengan perkataan 'dia' dan bukannya merujuk baginda sebagai ke bawah duli Tuanku atau Seri Paduka Baginda.

Katanya, beliau tidak boleh menerima pencabulan dan penghinaan yang dilakukan terhadap raja Melayu seolah-olah baginda tidak mempunyai kedudukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

''Kita perlu mengembalikan kedudukan raja-raja Melayu ke tempat yang sepatutnya di bawah Perlembagaan," tegasnya.

Ibrahim turut menggesa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibatalkan kerana ia tidak mengikut tafsiran Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa semua urusan rasmi negara perlu dijalankan dalam bahasa Melayu.

Isu-isu kemelayuan yang dibawa oleh Ibrahim disokong beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Datuk Mohamad Aziz (Sri Gading) yang bangga dengan ketegasan beliau mempertahankan hak raja-raja Melayu dan orang Melayu di negara ini.

Dalam pada itu, sebahagian ahli Parlimen pakatan pembangkang bertindak keluar Dewan kerana membantah dan tidak puas hati dengan Ibrahim yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada wakil rakyat pembangkang, N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) dan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam).

Keadaan Dewan menjadi agak tegang dan riuh rendah apabila berlaku perang mulut antara Ibrahim dan wakil rakyat pembangkang sehingga Ibrahim mengeluarkan perkataan- perkataan seperti 'bangsat', 'anjing' dan 'beruk'.

Pertikaman lidah itu bermula apabila Ibrahim menyindir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersikap hipokrit apabila tidak memperjuangkan apa yang sepatutnya ketika berkuasa tetapi menghentam kerajaan apabila sudah berada di luar kerajaan.

Ibrahim yang tersasul menggunakan perkataan 'bangsa asing' telah mengundang balasan daripada Gobalakrishnan yang meminta beliau menarik balik perkataan yang disifatkan menjurus kepada kaum lain yang ada di negara ini.

Bagaimanapun, Ibrahim enggan berbuat demikian kerana mendakwa perkataan yang digunakan itu tidak ditujukan kepada kaum yang ada di dalam negara tetapi lebih kepada bangsa asing di luar negara.

Keadaan yang agak tidak terkawal itu cuba diredakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar tetapi tidak diendahkan oleh Ahli Parlimen berkenaan yang terus bertikam lidah sehingga membuatkan Gobalakrishan meninggalkan Dewan.

Ketika Gobalakrishnan melangkah ke luar Dewan, Ibrahim mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya kerana mendakwa Ahli Parlimen PKR itu melakukan provokasi terhadapnya.

Ibrahim bagaimanapun memohon maaf atas ucapannya itu dan menarik balik semua perkataan tersebut sebelum beliau diminta oleh Wan Junaidi meneruskan ucapan.

Keadaan menjadi panas semula apabila Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) mempertikaikan sikap Ibrahim yang menunjukkan seolah-olah hanya beliau pemimpin yang memperjuangkan hak dan institusi raja-raja.

Perang mulut antara kedua-dua Ahli Parlimen itu berterusan sehingga Khalid meminta ruang untuk berucap tetapi tidak dibenarkan oleh Ibrahim sekali gus menyebabkan ahli Parlimen Shah Alam berkenaan bertindak keluar dari Dewan.

Ibrahim kemudian dilihat menghempaskan songkoknya ke meja dan diikuti oleh sebahagian besar pembangkang bangun meninggalkan Dewan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url