Jangan politikkan isu perkauman - Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail mengingatkan semua pihak jangan sesekali mempolitikkan isu perkauman kerana ia akan membawa musibah besar kepada negara.

Peringatan baginda itu ditujukan kepada pihak tertentu khususnya parti politik ekoran beberapa perkembangan politik yang berlaku sejak kebelakangan ini.

"Dalam suasana politik semasa di tanah air sekarang, janganlah ada pihak yang jahil berpolitik dengan mengheret isu perkauman untuk kepentingan politik mereka," tegas baginda ketika bertitah merasmikan Kolokium Realiti Melayu-Islam di Dewan Warisan di sini hari ini.

Baginda turut mengingatkan semua pemimpin parti politik supaya mengutamakan perpaduan masyarakat majmuk dan jangan sesekali menjadi ekstrem dalam sebarang tindakan mereka.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengingatkan orang Melayu supaya menyelesaikan masalah mereka dengan cara yang berhemah demi masa depan kaum itu sendiri.

"Beta berharap orang Melayu sentiasa memberi keutamaan kepada kecemerlangan akademik dan kerukunan bangsa terutama untuk manfaat generasi akan datang.

"Jangan biar generasi Melayu akan datang menanggung kesan negatif ekoran tindakan tidak bijak atau kesalahan yang dilakukan oleh kita hari ini," tegas baginda.

Raja Muda Perlis juga mahu masyarakat berbilang bangsa di negara ini mengutamakan kerja berpasukan untuk manfaat masa depan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url