JPN kini lebih efisien, urusan MyKad boleh siap dalam masa sehari
Jika dahulu pasti ramai yang merungut setiap kali berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana terpaksa memakan masa begitu lama.
Malah tidak kurang juga yang terpaksa mengambil cuti hanya semata-mata untuk berurusan dengan JPN.
Namun sejak setahun kebelakangan ini, JPN nampaknya mula berubah wajah. Kalau dahulu permohonan MyKad mengambil masa berbulan-bulan untuk siap tetapi kini rakyat negara ini telah dijanjikan dengan perkhidmatan yang lebih efisien.
Tempoh 24 jam, itu janji JPN kepada seluruh warga Malaysia bagi menyiapkan satu proses permohonan MyKad sekiranya dilakukan di Putrajaya ataupun pejabat cawangan negeri yang menyediakan perkhidmatan tersebut.
Bagi pejabat cawangan yang lebih kecil, MyKad boleh didapati dalam tempoh dua minggu.
Ternyata JPN mengotakan janjinya, apabila wartawan Perkhidmatan Anda Dipantau! berkesempatan meninjau operasi JPN di beberapa lokasi sekitar ibu negara, Putrajaya dan Kajang.
Sewaktu memantau perkhidmatan di JPN Putrajaya, lebih 100 pelanggan hadir untuk membuat MyKad sama ada menggantikan yang telah rosak, hilang ataupun permohonan baru.
Purata waktu menunggu bagi setiap seorang pengunjung dianggarkan lebih sejam memandangkan kehadiran orang ramai melebihi 100 orang dengan bilangan 14 kaunter yang dibuka pada hari tersebut.
Walaupun terpaksa menunggu lebih sejam, urusan permohonan MyKad tidak mengambil masa yang terlalu panjang kerana dianggarkan sekitar 10 hingga 15 minit sahaja urusan tersebut boleh diselesaikan.
Namun begitu, situasi di JPN Kajang agak berbeza berbanding di Putrajaya apabila pelanggan hanya mengambil masa tidak sampai 40 minit bagi menunggu giliran mereka tiba.
Malah perkhidmatan di cawangan tersebut juga menerima maklum balas positif daripada orang ramai yang berurusan di situ kerana rata-rata berpuas hati dengan layanan kakitangan JPN.
Sementara itu, tinjauan di cawangan JPN Taman Maluri dan Batu Caves di sini pula mendapati, orang ramai memperoleh MyKad dalam tempoh dua minggu dan bilangan pelanggan di situ tidaklah sepadat di Putrajaya.
Walaupun rata-rata orang ramai ketika ditemui berpuas hati dengan perkhidmatan JPN, agensi kerajaan itu masih ada ruang untuk memperbaiki layanan yang diberi.
Tempoh menunggu yang memakan masa kira-kira sejam lebih, masih dianggap satu jangka waktu yang panjang bagi pelanggan.
Mungkin JPN boleh melakukan sesuatu bagi memastikan masalah tersebut dapat diperbaiki pada masa akan datang dengan purata waktu menunggu selama setengah jam bagi seorang pelanggan.
Orang ramai kini tidak perlu lagi menghabiskan masa sehari suntuk bagi berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sekitar ibu negara dan Putrajaya.
Tinjauan di beberapa lokasi pejabat JPN mendapati perkhidmatan kaunter agensi kerajaan itu berjalan dengan lancar tanpa banyak rungutan daripada orang ramai.
Seorang suri rumah, Noradurawati Duamid, 27, ketika ditemui berkata, jika hendak dibandingkan perkhidmatan JPN dahulu dan sekarang, terlalu banyak perubahan yang telah dilakukan oleh agensi tersebut.
"Setakat ini, saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan termasuk layanan kakitangan JPN yang mesra.
"Saya tidak perlu lagi menunggu terlalu lama untuk mendapatkan kad pengenalan kerana dalam tempoh 24 jam, kita sudah boleh dapat MyKad," katanya.
Walaupun terpaksa menunggu lebih sejam bagi menanti gilirannya tiba kerana terlalu ramai pengunjung, Noradurawati memberitahu, dia hanya mengambil masa 10 minit untuk menyelesaikan urusan pertukaran MyKadnya yang rosak.
Seorang pelajar, Mohamad Nasir Nurdin, 17, pula berkata, urusan membuat MyKad di Putrajaya lebih cepat berbanding di Sabah.
"Jika saya buat MyKad di Sabah, prosedurnya lebih cerewet berbanding di sini yang hanya memerlukan kad warganegara bagi melayakkan saya memohon MyKad," ujarnya.
Mohamad Nasir berharap, kerajaan dapat memudahkan prosedur membuat MyKad di Sabah kerana tidak semua penduduk negeri itu yang berkemampuan untuk ke Putrajaya kerana ia membabitkan kos yang tinggi.
Dalam pada itu, abang saudaranya, Ramli Dalle, 27, turut sependapat dengan Mohamad Nasir yang mahu JPN memudahkan urusan permohonan MyKad di Sabah.
''Saya mendapati urusan di Putrajaya atau pun di pejabat cawangan di sekitar Kuala Lumpur lebih cepat berbanding di pejabat cawangan di Sabah," katanya.
Ramli berkata, dia hanya mengambil masa setengah jam untuk menyelesaikan urusannya di JPN, Putrajaya.
Seorang jurutera, Mohd. Noor Suhaire Bahari, 32, berharap JPN dapat membuka segera Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di dalam bangunan agensi tersebut.
''Orang ramai terpaksa berulang alik dari mahkamah ke pejabat JPN bagi menguruskan dokumen seperti sijil kelahiran yang hilang, saya berharap pejabat tersebut dapat dibuka segera,'' katanya.
Sementara itu, seorang mekanik, Remy Abd. Rahman, 30, berkata, jika dahulu, rakyat Malaysia terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya bagi mendapatkan MyKad tetapi kini tidak lagi.
- UTUSAN
assalamualaikum...
tumpang tanye, klu sy nk wat IC dkt kajang tuh, kt mne yer?
boleh siap dlm mase sehari sama seperti di putrajaya ke?
saye zamirul anak aubus sye orang asli ..tpi my kad sye dh hilang ...tpi skrng ni sye x mampu byr my kad sye ...jdi sye nk pertimbng kn perbyran my kad sye ....