Pembedahan - Jangan takut bertanya

Salah laku rawatan

Takut, bimbang, susah hati, resah dan tidak boleh tidur malam. Ini dirasai semua pesakit, termasuk ahli keluarga, apabila diberitahu mereka perlu menjalani pembedahan. Kebanyakan orang menganggap pembedahan adalah perkara menggerunkan dan apabila seseorang itu terpaksa dibedah, ramai menyangka dia mempunyai masalah kesihatan serius.

Walaupun secara umumnya pembedahan adalah langkah terakhir bagi satu-satu kaedah rawatan, ada kalanya ia perlu diutamakan. Pembedahan bermakna doktor melakukan sesuatu secara fizikal ke atas badan pesakit untuk membetulkan satu-satu masalah.

Pembedahan diperlukan apabila kaedah lain tidak dapat merawat sesetengah masalah kesihatan, contohnya batu karang, salur darah tersumbat, patah tulang atau pendarahan.

Pembedahan juga perlu dilakukan segera untuk menyelamatkan nyawa atau anggota badan tertentu seperti tangan dan kaki.

Dalam kes begini, ubat sama ada dalam bentuk pil atau cecair mengambil masa lama untuk bertindak dan menunjukkan kesan, kata Perunding Pembedahan Am dan Vaskular Pusat Perubatan Sunway, Dr Tan Kong Hean.

Selain kes kritikal, kebanyakan pembedahan boleh ditangguhkan atau ditunda ke tarikh dipersetujui. Sebelum menjalankan pembedahan, biasanya doktor menerangkan beberapa perkara, termasuk status penyakit, peluang kejayaan, risiko, komplikasi, kaedah atau prosedur serta pakar lain yang terbabit dalam pembedahan, kadar penyembuhan, kos rawatan serta apa perlu dilakukan sebelum dan selepas keluar dari hospital.

Ramai pakar perubatan sependapat, rata-rata rakyat Malaysia adalah pesakit yang ‘baik’ kerana menerima sepenuhnya maklumat diberi doktor tanpa banyak soal, termasuk pesakit berpendidikan tinggi.

Namun tahukah anda, sebagai pesakit, anda berhak bertanya sebarang kemusykilan, sama ada mengenai penyakit atau kredibiliti doktor pakar yang akan menjalankan pembedahan ke atas anda?

Mungkin ramai tidak terbuka mulut hendak bertanyakan soal kepakaran dan pengalaman seseorang doktor. Ia mungkin disebabkan beberapa faktor iaitu sama ada pesakit tidak tahu mereka boleh bertanya sehingga ke tahap itu, kesuntukan masa (masa diperuntukkan bagi setiap pesakit adalah terhad), percaya sepenuhnya kepada doktor atau mahu menjaga air muka doktor kerana bimbang soalan seperti itu menyebabkan doktor berasa tidak dipercayai, tercabar dan dimalukan.

Isu doktor berasa tidak dipercayai, tercabar atau dimalukan tidak timbul kerana doktor pakar sememangnya mempunyai kemahiran yang diiktiraf.

Malah, doktor suka jika pesakit bertanya kerana ia menandakan pesakit peka dan tahu hak mereka. Selain itu, ia boleh menimbulkan keyakinan kedua-dua belah pihak.

Sikap menyerahkan sepenuhnya kepada doktor dan kurang periksa menyebabkan timbulnya salah laku dalam rawatan. Masih ingatkah anda kes pada Mei 2007 apabila seorang suri rumah berusia 30-an mengalami kesakitan selepas menjalani pembedahan membesarkan payudara dengan memasukkan silikon dilakukan lelaki yang mendakwa doktor pakar di bilik hotel di Johor Bahru?

Perkara ini terjadi kerana percaya cakap orang yang kononnya mengetahui lelaki berkenaan adalah doktor pakar. Perkara pertama perlu dilakukan sebelum menjalani sebarang pembedahan ialah memilih pakar bedah yang baik.

Soalnya, bagaimana? Menurut Dr Tan, hospital di negara Barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat mempunyai sistem ‘jadual liga’ iaitu carta jumlah pembedahan bagi setiap kategori yang dijalankan seseorang doktor atau sesebuah hospital.

Carta liga tahunan yang disiarkan kepada umum itu mencatatkan kadar kematian dan komplikasi pembedahan. Daripada situ, pesakit di sana boleh membuat pilihan doktor atau hospital mana untuk mendapatkan rawatan.

Namun, kaedah ini juga ada kekurangannya kerana ia boleh disalahgunakan, sama ada data diubah suai supaya nampak lebih ‘cantik’ atau doktor memilih pesakit dan menafikan hak mereka mendapatkan rawatan.

Di Malaysia, pemilihan doktor pakar lebih payah kerana tiada kaedah khusus diamalkan di sini, selain negara kita sememangnya kekurangan pakar bedah.

Bagaimanapun, pesakit mesti memastikan beberapa perkara penting terlebih dulu.

Apabila bertemu doktor yang diyakini, pesakit masih perlu bertanya beberapa soalan penting seperti:

Adakah anda (doktor pakar) pernah menjalankan pembedahan serupa sebelum ini?

Jika pernah, berapa kali? Jika hanya beberapa kali, pesakit harus mencari doktor lain yang lebih berpengalaman

Bolehkah saya memastikan fakta itu dengan orang lain (pihak ketiga)

Apakah komplikasi dan kadar kematian daripada pembedahan sebelum ini?

Adakah saya memang benar-benar perlu dibedah?

Apa akan terjadi jika saya tidak dibedah?

Apakah pilihan rawatan selain pembedahan?

Apa terjadi jika pembedahan gagal dan komplikasinya?

Berapa lama perlu tinggal di hospital?

Kos rawatan

Bila pula pesakit perlu mendapatkan pandangan kedua daripada doktor lain? Pandangan kedua penting jika pesakit dalam keadaan atau masalah yang jarang berlaku, pesakit tidak percaya doktor dan memerlukan pendapat pakar lain untuk pengesahan.

“Jangan menjalani pembedahan dalam keadaan tidak pasti. Pesakit berhak mendapatkan kepastian terlebih dulu dan hanya selepas yakin baru memberi persetujuan untuk dibedah. Pandangan kedua juga perlu jika pembedahan membabitkan pakar pelbagai bidang bagi menyelesaikan masalah (penyakit) anda.

“Pesakit juga perlukan pendapat doktor lain jika kumpulan doktor yang mahu merawatnya berbeza pandangan, doktor tidak tahu had atau tidak mencapai tahap keupayaan tertentu. Malah jika pesakit tidak berpuas hati dengan seseorang doktor, dia juga harus mendapatkan pandangan doktor lain daripada hospital berbeza,” katanya.

Persediaan sebelum pembedahan

Biasanya pesakit diberi tempoh untuk bersedia menjalani pembedahan. Kebanyakan pembedahan tidak perlu dilakukan segera, kecuali dalam kes kritikal.

Tempoh ini penting bagi menyediakan minda pesakit, memberi mereka ruang untuk menerima hakikat dan melakukan beberapa perubahan gaya hidup sebelum masuk ke dewan bedah.

Persediaan ini berbeza mengikut jenis pembedahan yang bakal dijalani, sama ada kecil atau besar. Bagi pembedahan kecil, tiada persediaan diperlukan tetapi untuk pembedahan besar, beberapa perkara harus dilakukan seperti memberi tahu ahli keluarga; menguruskan cuti, kewangan dan wasiat.

Pada masa sama, jika pesakit turut menghidap penyakit lain, perlu memberitahu doktor ubat yang diambil dan meneruskan pengambilan ubat kecuali diarah berhenti.

Ini bagi memastikan penyakit mereka dalam keadaan terkawal dan mengurangkan risiko komplikasi ketika atau selepas pembedahan.

“Pesakit perlu makan secara seimbang, mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam, berehat secukupnya dan hindari tekanan. Mereka mesti berhenti merokok sekurang-kurangnya enam minggu sebelum pembedahan. Pengambilan minuman beralkohol juga perlu dikurangkan dan jangan minum satu hingga dua hari sebelum pembedahan.

“Bagi yang ada masalah gemuk, lakukan sesuatu untuk mengurangkan berat badan. Berat badan juga memberi pengaruh besar kepada kadar kejayaan rawatan, terutama bagi mereka yang bakal menjalani pembedahan penggantian sendi pada kaki. Malah dalam sesetengah keadaan, pembedahan jauh lebih mudah kepada individu yang berat badan normal berbanding pesakit terlalu gemuk,” katanya.

Adakah benar apabila seseorang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas pembedahan menandakan pesakit kritikal? Tidak. Bukan semua keadaan kemasukan ke ICU bermakna keadaan pesakit kritikal.

Ia hanya benar jika pesakit ada kemungkinan meninggal dunia seandainya tidak mendapat penjagaan rapi dan berpanjangan. Contohnya pesakit yang terbabit dalam kemalangan jalan raya perlukan penjagaan rapi lanjutan selepas pembedahan.

Bagaimanapun, ICU bukan menandakan kritikal jika pesakit dimasukkan ke unit itu sebagai langkah berjaga-jaga. Biasanya selepas semua pembedahan besar (rumit), pesakit dimasukkan ke ICU supaya keadaan mereka boleh dipantau sentiasa.

Jika ada apa-apa berlaku, ia diketahui segera dan penjagaan bersesuaian diberi secepat mungkin. Contohnya pesakit yang menjalani pembedahan pintasan jantung dimasukkan ke ICU selama satu malam untuk pemantauan. Mereka dipindahkan ke wad biasa keesokan harinya jika tidak menunjukkan masalah.

“Risiko pembedahan sentiasa ada dan ia berbeza mengikut jenis pembedahan, status penyakit dan keadaan kesihatan pesakit secara keseluruhan. Malangnya ramai mengaitkan pembedahan dengan kematian. Dalam keadaan sekarang yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan moden, kebanyakan pembedahan adalah selamat.

“Hanya pembedahan untuk penyakit tertentu ada risiko kematian tinggi. Biasanya ia berlaku dalam keadaan risiko kematian lebih tinggi jika tidak mendapat pembedahan. Tiada risiko kematian bagi pembedahan kecil dan sederhana (contohnya bedah apendiks).

“Bagi pembedahan besar seperti pembedahan injap jantung, risiko kematian mungkin 50 peratus tetapi jika tidak dilakukan, peluang meninggal dunia adalah lebih tinggi,” katanya.

Kaedah pembedahan (sama ada pembedahan terbuka, lubang kunci atau kecil) bergantung kepada masalah dihadapi. Namun kaedah popular kini adalah minimali invasif (lubang kunci) untuk pembedahan batu karang, kanser usus dan pembuangan buah pinggang.

Cara lain ialah pembedahan tanpa parut yang dilakukan melalui bukaan atau rongga badan seperti mulut, vagina dan usus. Ia tiada parut kerana tidak menyebabkan luka, tetapi kaedah ini sangat sukar dilakukan.

Cara terkini ialah pembedahan robotik. Dalam kaedah ini, pakar bedah dan pesakit boleh ada di dua tempat berbeza. Yang diperlukan ialah pengendali alat robotik yang mahir dan menurut arahan pakar bedah melalui kaca televisyen khas. Walaupun tepat, alat ini sangat mahal dan biasanya digunakan untuk pembedahan pembuangan kelenjar prostat.

“Tidak kira apa penyakit atau kaedah pembedahan dipilih, paling penting pesakit perlu memastikan pakar bedah mempunyai kelayakan dan kemahiran. Jangan takut untuk bertanya supaya anda lebih bersedia dalam aspek fizikal dan mental," katanya.

Pilih doktor

Doktor berkenaan mesti diiktiraf dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan

Jika membabitkan pembedahan, pakar bedah itu mestilah tersenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan atau Majlis Perubatan Malaysia (MAM)

Doktor atau pakar bedah mendapat latihan di hospital atau pusat perubatan yang mempunyai reputasi baik

Latihan selepas tamat pengajian sangat penting. Tanya di mana dan berapa lama doktor anda menjalani latihan

Jenis latihan atau kepakaran yang diterimanya

Di mana doktor berkenaan bertugas sekarang. Sesetengah hospital mempunyai syarat ketat untuk mengambil seseorang doktor untuk bagi memastikan mereka benar-benar layak dan berkaliber. Jadi prestasi sesebuah hospital kadangkala boleh dijadikan panduan untuk memilih doktor pakar

Doktor itu mesti kerap menjalankan pembedahan berkenaan dan pembedahan selamat

Doktor itu juga mesti mempunyai kepakaran dalam satu-satu bidang, terutama bagi pembedahan sukar

Ringankan mulut bertanya pesakit lain, terutama yang pernah mendapatkan rawatan dengan doktor sama.

Elak pakar bedah

Tidak berdaftar (dengan Kementerian Kesihatan, MAM atau mana-mana Daftar Pakar Kebangsaan)

Tidak mempunyai kelayakan khusus (bagi bidang yang mahu dirawatnya)

Mempunyai pejabat sementara

Kelihatan kotor (sama ada pada dirinya atau pejabatnya)

Tidak menjawab soalan pesakit sepenuhnya; atau kadangkala mengelak memberi jawapan. Pesakit juga perlu berwaspada jika doktor berkenaan memberi jawapan meragukan

Mengamalkan rawatan yang meragukan

Menawarkan rawatan di luar bidang atau kepakaran mereka. Berhati-hati dengan ‘profesor serba tahu’ kerana tiada doktor yang mahir dalam banyak perkara. Doktor yang baik ialah yang memberi tumpuan kepada bidangnya kepakarannya saja

Mengiklankan rawatan atau kepakarannya

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url