Studio digital pertama di Asia


Bayangkan berapa banyak duit mengalir ke luar negara setiap kali sesebuah filem dibuat? Antara sedar dan tidak karyawan kita biasanya akan menghantar filem mereka untuk diadun di Thailand. Senario ini bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana sejak dahulu lagi, Thailand mempunyai sistem dolby yang biasa dikunjungi oleh pembikin filem tempatan.

Bertepatan dengan usaha untuk memartabatkan industri perfileman tanah air, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia telah membangunkan Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang.

Di sinilah terletaknya Studio Digital Mix Stage, iaitu studio yang pertama di Malaysia dan diiktiraf sebagai Dolby Digital Primier dan yang ke 12 di dunia. Sehingga kini hanya terdapat 12 buah studio seumpamanya di seluruh dunia.

Studio yang berkeluasan 3,950 meter persegi dan mempunyai tiga setengah tingkat turut mengandungi Studio Mix Stage, Studio Premix, Studio ADR 1 & 2, Studio Audio & Music Sweetening, Optical Sound Camera dan Studio Foley.

Ketua Jurutera FINAS, Hassan Asbor Hassan Mutaat berkata, studio ini juga menyediakan perkhidmatan yang memberi ruang kepada penggiat filem tempatan dan luar untuk menghasilkan adunan bunyi dari tahap Dolby Digital 5.1 sehingga ke 6.1.

“Memang kita berbangga apabila melihat Studio Merdeka ini berdiri megah di sini. Mungkin inilah kejayaan terbesar kita kerana mampu menempatkan nama Malaysia antara 12 negara yang mempunyai studio yang diiktiraf sebagai Standard Premium.

“Jika awal penubuhan Finas tahun 1981, tidak banyak pembangunan yang kita dapat lihat. Tapi dengan terbinanya Studio Merdeka ini, sudah pasti semua penggiat filem tempatan akan berbangga.

“Kita tidak hanya menyasarkan kepada penggiat seni tempatan sahaja tetapi juga kepada penggiat luar negara memandangkan kita sudah memiliki Studio Digital Mix Stage yang serba moden ini,” ujarnya lagi.

Untuk itu, Finas menyasarkan tiga buah filem dalam masa dua bulan yang menggunakan studio ini untuk membuat adunan bunyi. Walaupun angka itu dilihat kurang realistik berbanding dengan jumlah filem yang lebih banyak dihasilkan dalam setahun, namun ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan kita terhadap studio di luar negara.

Dimensi baru penerbitan filem

Jika melihatkan perkembangan teknologi moden kini, Malaysia merupakan antara pemacu kepada kecanggihan teknologi terkini. Hollywood sendiri tidak mempunyai studio yang diiktiraf sebagai Standard Premium memandangkan studio-studio yang ada di sana sudah lama dan tidak mengikut spesifikasi untuk diangkat sebagai Standard Premium.

Kekuatan sesebuah filem itu tidak hanya terletak kepada kekuatan lakonan semata-mata tetapi masih lagi memerlukan teknologi dalam pembikinan. Kekuatan bunyi sesebuah filem juga memainkan peranan penting untuk terus menghidupkan sesebuah filem.

“Kekuatan filem King Kong terletak kepada bunyinya. Kita juga berharap filem tempatan juga mampu menghasilkan yang lebih baik atau setidak-tidaknya mampu menghasilkan perkara yang sama.

“Tak guna ada teknologi yang canggih jika mentaliti penggiat filem masih ditakuk yang lama. Semuanya perlu bergerak seiring bagi memastikan ia mendapat manfaat bersama,” kata Hassan lagi.

Sehingga kini Finas mempunyai seramai 13 tenaga kerja yang boleh menggunakan semua teknologi yang ada di Studio Mereka yang terdiri daripada jurutera bunyi, pembantu jurutera bunyi dan juruteknik bunyi.

“Kita telah menghantar tiga kakitangan Finas ke Amerika Syarikat (AS) dan New Zealand untuk berkursus. Jadi tidak akan timbul isu orang Malaysia tidak ada kepakaran dalam mengendalikan Studio Digital Mix Stage ini,” kata Hassan lagi.

Buat masa ini studio yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu masih lagi dalam tempoh percubaan dan akan beroperasi sedikit masa lagi.

Semakin mencabar

Bukan mudah untuk mengendalikan studio yang serba canggih ini tambahan pula ia dibangunkan dengan teknologi yang serba moden. Tapi, ia bukan alasan untuk Finas membiarkannya menjadi ‘gajah putih’.

Bagi Hassan, cabaran yang paling besar apabila teknologi sentiasa berubah. Mungkin pada masa ini Studio Digital Mix Stage di sini adalah yang paling canggih. Memandangkan teknologi sentiasa berubah, tidak mustahil akan ada teknologi baru pada masa depan.

“Itu belum dikira dengan kos yang semakin meningkat jika ada yang rosak. Dengan adanya pemberian subsidi oleh kerajaan, setiap filem yang masuk ke studio ini hanya perlu membayar sebanyak RM100,000 sahaja.

“Studio Mix Stage kita merupakan nadi utama kepada keseluruhan Kompleks Studio Merdeka. Di sinilah adunan akhir akan dilaksanakan dan penggiat filem boleh memilih standard yang hendak digunakan sama ada dolby, DTS atau SDDS.

“Memang besar harapan kita untuk melihat industri perfileman tempatan mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan industri luar,” kata Hassan lagi.

Premix

Premix merupakan studio yang dilengkapi dengan peralatan projektor filem, projektor video digital dan peralatan Audio Dolby serta Digital Audio Work Station.

Audio & Music Sweetening

Berfungsi untuk menghasilkan sound editing, sound design, sound synchronization, Premix effect dan muzik. Kemudahan di sini juga dilengkapi dengan pengadun berkebolehan 16 channel, Digital Work Station NUendo dan pelbagai sistem rakaman Dolby.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url