Karpal mahu saman Sultan Perak

Pakatan pembangkang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional (BN) jika masih berkeras untuk melantik Menteri Besar BN yang baru, kata Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Beliau berkata, pakatan pembangkang tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin oleh Sultan Azlan Shah, yang dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri, adalah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan artikel itu.

“Dalam undang-undang, keputusan Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang. Saya meminta Sultan menghentikan dan berhenti daripada melantik seorang Menteri Besar BN baru dan ahli majlis mesyuarat selepas tengah hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Karpal Singh berkata, tindakan ini tidak boleh, dalam apa jua cara, dilihat sebagai ancaman kepada Sultan tetapi merupakan peringatan tegas bahawa pemerintah diperlukan untuk bertindak di dalam lingkungan had dan batas perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang merupakan undang-undang tertinggi di negeri itu.

BERIKUT adalah sebahagian kandungan sidang akhbar Pengerusi DAP, Karpal Singh di Kuala Lumpur semalam.

Dari segi undang- undang dan Perlembagaan negeri Perak, adalah terus terang apa yang diisytiharkan oleh Sultan Perak iaitu kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak sah, bertentangan dengan peruntukan Perkara 16(6) Perlembagaan Perak.

Apa yang dibuat tidak boleh dipertahankan. Apabila ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menandatangani satu surat letak jawatan, adakah itu sah? Adalah untuk Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) membuat keputusan.

Tidak ada pihak lain yang ada kuasa untuk berbuat demikian, termasuk Sultan Perak.

Ada satu langkah lain yang boleh digunakan iaitu rombakan Perkara 64 Perlembagaan Negeri Perak.

Sultan Perak ada kuasa untuk rujuk satu soalan mengenai peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Perak dari segi apa keadaan di negeri itu.

Ini untuk menentukan siapa yang ada kuasa. Kuasa di dalam tangan DUN untuk mengisytiharkan adakah tiga ADUN ini tidak meletak jawatan atau sudah meletak jawatan. Bukan (kuasa) Sultan Perak untuk memanggil 32 ADUN ke istana dan menyoal adakah dia masih ahli DUN bagi Parti Keadilan Rakyat atau DAP.

Itu bukan kuasa Sultan Perak. Itu kuasa kerajaan negeri yang sah. Kerajaan negeri yang akan diisytiharkan pada 3.30 petang ini tidak sah.

Jika itu dibuat kami akan merujuk perkara ini ke Mahkamah Tinggi di Ipoh pada Selasa depan.

Satu kes akan difailkan. Dengan kes itu Sultan Perak akan jadi penentang atau responden, akan dinamakan sebagai defendan pertama.

Dan kerajaan negeri baru yang akan diisytiharkan pada 3.30 petang ini sebagai defendan yang kedua.

Dan plaintif adalah Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin. Dia akan memfailkan kes itu sebagai Menteri Besar yang sah - untuk mendapat satu pengisytiharan daripada mahkamah bagi memutuskan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah.

– BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url