Kegawatan dijangka berlarutan hingga 2010 - Nor Mohamed Yakcop

Kesan kegawatan ekonomi yang melanda dunia dijangka dirasai oleh Malaysia sehingga tahun 2010, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang begitu terbuka dalam perdagangan, Malaysia kini berada dalam zon tidak selesa dan kerajaan akan mengambil langkah segera bagi mengurangkan kesan dari kegawatan itu.

"Tiap-tiap hari kita dengar jumlah pemberhentian pekerja semakin meningkat, syarikat yang mengalami aliran tunai dan bankrap juga meningkat seolah-olah kegawatan yang melanda dunia ini tiada penghujungnya.

"Kegawatan dunia sudah semakin mencabar dan kita nampak dari petunjuk-petunjuk itu kemungkinan kegawatan berkenaan tidak akan berakhir tahun ini serta dijangka berlarutan sehingga tahun 2010," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kewangan Mikro Bandar cawangan Georgetown di sini hari ini.

Ekoran kegawatan itu juga, Nor Mohamed berkata, kementeriannya kini sedang mengumpul maklumat dengan berjumpa dan bermesyuarat dengan semua pihak termasuk pihak swasta untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

"Kita perlu mendapat maklum balas secara langsung serta tidak langsung dari semua pihak bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah tertentu mengatasinya dan setakat ini kita telah dapat banyak maklumat berhubung kegawatan yang sedang melanda.

"Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak juga kini sedang bekerja keras mengumpul maklumat itu bagi memastikan bajet mini yang akan dibentangkannya pada 10 Mac ini menyeluruh dan menyentuh semua bidang yang penting," katanya.

Selain itu, beliau turut mengesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama dan politik supaya bersatu menghadapi cabaran ini.

"Kita kena terima realiti, negara kini berada dalam zon tidak selesa serta bahaya dan kita (rakyat Malaysia) terdedah kepada krisis itu... jadi kita perlu bersatu menghadapinya kerana cabaran yang sedang melanda ini bukan cabaran biasa," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url