Komentar - Sikap agresif YB di Parlimen perlu dikawal

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM,
Pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa
Universiti Islam Antarabangsa.

Laporan perselisihan faham di pekarangan lobi Parlimen sebenarnya menggambarkan bagaimana demokrasi Malaysia sudah berevolusi ke satu tahap luar biasa. Namun, evolusi politik itu perlu dikawal agar tidak terbabas jauh daripada nilai Islam dan Timur yang sudah sekian lama menjadi teras budaya masyarakat Malaysia.

Senario bertegang urat kerana mempertahankan pendapat masing-masing dan berselisih pendapat secara agresif perlu dirawat dengan menggunakan panduan al-Quran kerana majoriti wakil rakyat yang galak berhujah dan berdebat di Parlimen adalah beragama Islam.

Peranan mereka bukan setakat membawa suara rakyat, malah membawa mesej Islam sebagai satu agama untuk semua.

Dikhuatiri sikap segelintir mereka yang mengabaikan aspek akhlak ketika berhujah akan menjauhkan lagi golongan bukan Islam daripada Islam.

Pada dasarnya, perselisihan pendapat di antara manusia adalah perkara biasa dan lumrah alam.

Wujudnya perselisihan pendapat kadangkala menjadikan kehidupan manusia lebih menarik dan berwarna-warni. Namun, persoalannya, bagaimanakah cara untuk menangani masalah perselisihan secara bijaksana agar tempias kesan buruk daripada perselisihan terbabit tidak berpanjangan dan terkena orang lain.

Untuk itu, Islam melalui al-Quran sudah sekian lama menggariskan adab yang perlu diikuti setiap umat Islam dalam isu perselisihan pendapat atau berdebat. Firman Allah :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk - (al-Nahl ayat 16:125).

Namun, kejahilan sesetengah umat Islam mengenai inti pati Islam yang menyeluruh memalitkan umat Islam lain dengan lumpur tohmahan yang pelbagai.

Perkara itu berlaku kerana sesetengah umat Islam beranggapan Islam yang mereka anuti hanya terbatas pada amalan ritual dan tidak merangkumi isu lain seperti akhlak dan cara berpolitik.

Perlu disedari, Islam dianugerahkan kepada manusia ditegakkan di atas tiga asas utama iaitu, akidah, syariah dan akhlak.

Wakil rakyat Melayu yang beragama Islam sepatutnya memberikan contoh akhlak Islam terbaik ketika berhujah di Parlimen.

Akhlak baik paling berkesan untuk melembutkan hati semua pihak termasuk musuh atau lawan.

Ahli politik di negara ini tidak sepatutnya terlalu fanatik berpolitik sehingga mengabaikan aspek akhlak dan dakwah.

Gabungan akhlak mulia dan hujah jitu akan menjadi pendorong untuk bukan Islam menerima Islam dengan hati tenang dan terbuka.

Dengan kata lainnya, berhujah, berdebat dan berpolitik di Parlimen sepatutnya menjadi satu cabang dakwah yang boleh dieksploit dengan bijaksana.

Saranan itu juga selari dengan kempen bulan dakwah yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Hakikatnya, sikap agresif melawan sebarang tindakan agresif orang lain kepada kita hanya akan menghasilkan impak yang lebih negatif.

Sebaliknya, tanganilah tindakan musuh atau lawan dengan akhlak mulia kerana langkah itu bakal membuka hidayah kepada mereka.

Pendekatan akhlak yang mulia ketika berhujah dan berdebat di Parlimen bukan saja mampu mencerminkan keindahan Islam serta penganutnya, bahkan tidak mustahil mampu menarik orang seperti Karpal Singh dan yang lainnya kepada Islam.

Sekiranya mereka masih berkeras menyerang dan bersikap biadab, kita perlu yakin bahawa tidak akan runtuh bukit yang disalak anjing dan peganglah firman Allah:

“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) - (al-A’raf ayat 7:199).

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url