Le Tour de Langkawi - Ltdl 2009


Penantian satu penyeksaan. Itulah yang dilalui oleh, Jose Serpa Perez selepas empat tahun menyertai Le Tour de Langkawi sebelum gelaran juara individu keseluruhan akhirnya menjadi miliknya tahun ini.

Lebih manis kejayaan memenangi jersi kuning pada edisi 2009 ini diiringi dengan kejayaan cemerlang pasukannya Diquigiovanni-Androni memenangi juara keseluruhan berpasukan.

Pelumba yang berasal dari Colombia itu sebelum ini hanya mengungguli jersi Raja Bukit sebanyak tiga kali tetapi tahun ini ternyata tuah memihak kepadanya dengan mencatatkan masa keseluruhan peringkat 24 jam 22 minit 12 saat.

Serpa yang turut menggondol gelaran Raja Bukit pada perlumbaan tahun ini meninggalkan Jai Crawford dari pasukan kebangsaan Australia di tempat kedua (24:22.39s) manakala rakan-sepasukan Serpa, Jackson Rodriguez di tempat ketiga (24:22.59s).

"Saya cukup gembira kerana ini kali pertama saya memenangi juara keseluruhan, sebelum ini saya hanya memenangi gelaran Raja Bukit sahaja," kata Serpa pada sidang akhbar di Dataran Merdeka, semalam.

Serpa berkata, pasukannya beraksi dengan baik untuk membantunya memenangi juara keseluruhan serta menggondol juara berpasukan.

"Saya sudah bersedia 90 peratus untuk berlumba di Giro d'Italia tahun ini kerana di sana ada lebih banyak pelumba yang hebat," ujarnya.

Pada perlumbaan peringkat ketujuh, semalam yang dijalankan secara kriterium sejauh 80.4 kilometer mengelilingi ibu kota menjadi milik pelumba Bbox Bouygues Telecom, Yohann Gene yang muncul dengan catatan masa 1:38.20s.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Diquigiovanni-Androni, Mattia Gavazzi muncul Raja Pecut dengan mengumpul 97 mata.

Pelumba Terbaik Asia (jersi biru) pula milik Tonton Susanto dari pasukan Le Tua Cyling dengan masa terkumpul 24:24.56s dan menduduki tempat ketujuh keseluruhan pencapaian terbaiknya selepas tiga kali menyertai perlumbaan ini.

Pasukan terbaik Asia pula milik pasukan kebangsaan Iran manakala pasukan negara yang diwakili pasukan kebangsaan dan pasukan benua MNCF menduduki dua tempat terakhir, ke-18 dan ke-19.

Gelaran pelumba terbaik negara milik Ng Yong Li dari pasukan Le Tua Cycling yang berada di tangga ke-44 manakala Mohd Faris Abd. Razak ke-54, Mohd. Rauf Nur Misbah ke-56 dan Suhardi Hassan ke-64.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url