Top Ad 728x90

Liputan Berita Akhbar Cina

Liputan bertajuk "Mulakan dengan menyelesaikan masalah rakyat" dalam ruangan Sudut Pandangan akhbar Sin Chew Daily pada 23.2.2009 (Isnin) membawa pandangan mengenai pilihan raya kecil di Perak dan Kedah, serta keputusan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Selangor meletak jawatan. Dan semua ini dikatakan membawa suatu mesej tertentu.

UMNO sentiasa berpendapat pengundi di dua kawasan itu hanya diperdayakan oleh Pakatan Rakyat buat sementara waktu dan Barisan Nasional pasti merampas balik kuasa pemerintah.

Sekarang, kedua-dua pihak sekali lagi berhadapan dengan rakyat. Biar pengundi memberitahu adakah keputusan pilihan raya umum tahun lepas itu berlaku secara kebetulan atau tidak.

Sebenarnya pilihan raya bukan penting sangat kepada rakyat, cuma perebutan kuasa oleh orang politik yang lambat-laun membuat rakyat naik bosan.

Dalam keadaan ekonomi global yang gawat, keperluan yang paling utama bagi rakyat ialah kerajaan dapat menyelesaikan tekanan dan masalah hidup mereka.

Kalau mahu menang pilihan raya, teorinya mudah, iaitu mesti pandai ambil hati rakyat. Sudah tentu rakyat akan menyokong parti yang boleh menyelesaikan masalah negara. Paling penting kata ruangan Sudut Pandangan itu ialah melakukan perubahan atau memberi penyelesaian terbaik.

Oleh sebab itu, pemimpin kerajaan sekarang sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian dalam pakej bajet ekonomi kedua yang akan diumumkan pada 10 Mac nanti, sebagai langkah pertama memujuk hati rakyat.

Kalau pemimpin tidak ada keyakinan, tidak mungkin ekonomi dapat diselamatkan. Persengketaan politik yang berlarutan pula akan menghapuskan keyakinan yang patut ada pada semua orang.

Jangan jadikan 'gambar curi' warisan budaya

Ruangan Metro Voice dalam akhbar Oriental Daily pada 22 Februari 2009 (Ahad) melaporkan pihak kerajaan mengumumkan lebih 172 warisan kebudayaan tempatan, termasuk bangunan lama yang dibina melebihi 100 tahun dan juga makanan di gerai mamak yang di saji sehingga kini.

Sayangnya pengumuman itu bagaikan tidak begitu mendapat respons.

Selain daripada rakyat kita tidak memahami maksud kebudayaan warisan, pergolakan politik negara turut mengalihkan perhatian mereka.

Ruangan Oriental Daily itu juga melaporkan baru dua bulan selepas Tahun Baru Cina -- kuasa pemerintahan negeri Perak bertukar tangan dan banyak desakan yang meminta pilihan raya kecil diadakan.

Kemelut politik ini kemudian diikuti dengan kes tersebarnya 'gambar curi' Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong dalam keadaan bogel.

Belum sempat satu perkara diselesaikan, muncul pula perkara seterusnya yang memeranjatkan. Kronologi semua perkara ini membuat orang bimbang. Mengapakah gejala yang buruk terus melanda politik Malaysia?

Kalau gejala perbuatan merakam 'gambar curi' terus berlaku, dan menjadi budaya politik Malaysia, ini sungguh malang.

Pencerobohan hak peribadi bagi mereka yang terlibat dalam politik dijadikan satu cara memusnahkan masa depan kerjaya politik pemimpin.

Tak kira sama ada kes CD bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek atau kes gambar Elizabeth Wong; selepas kes itu terbongkar, mereka keluar daripada politik dengan serta-merta. Walaupun kedua-dua kes ini berbeza, mereka tetap menerima nasib yang sama.

Kini Soi Lek muncul semula dalam politik dan mendapat sokongan kerana sumbangannya, begitu juga dengan Elizabeth Wong yang mendapat sokongan moral daripada partinya.

Semua ini turut membuktikan dalam zaman ini, kita bukan hanya bosan dengan perbuatan keji mereka yang ambil 'gambar curi', kita juga tidak mahu budaya 'gambar curi' ini berlaku dalam politik Malaysia.

Kelolaan HAFIZAH MOHD. YUSOF (UTUSAN)

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90