Memperibadikan Internet
Dunia hari ini memungkinkan kita untuk sentiasa terhubung dengan orang tercinta, rakan taulan atau keluarga tersayang tidak mengira di mana mereka berada.
Pelbagai teknologi dihasilkan daripada peranti capaian hingga ke sistem rangkaian yang menjadi tulang belakang kepada keupayaan perhubungan itu yang kita boleh klasifikasikan lebih kepada bentuk komunikasi baru pada era digital.
Telefon bimbit adalah alat paling penting kepada seseorang untuk berkomunikasi, malah hubungannya seperti isi dengan kuku, sukar untuk memisahkan kedua-duanya dalam melayari kehidupan.
Daripada perangkaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, lebih 90 peratus masyarakat di negara ini menggunakan telefon bimbit.
Namun, apakah fungsinya, adakah sekadar membuat dan menerima panggilan atau mengirim dan menerima pesanan ringkas (SMS) saja?
Bagaimana pula dengan Internet untuk kita mencapai atau berkongsi maklumat, mengirim atau membuka e-mel sedangkan kita berada di luar rumah atau pejabat.
Kita kini berada dalam ruang lingkup Internet dan orang bercakap dimana-mana saja. Kepentingannya itu menarik minat pengeluar utama telefon bimbit dunia, Nokia untuk membangunkan secara serius.
Presiden dan Ketua Eksekutif Nokia, Olli-Pekka Kallasvuo, berkata kita berada pada ambang satu lagi perubahan bagaimana berhubung dan berinteraksi di antara satu dengan yang lain.
Katanya, secara tidak langsung, Nokia mengubah Internet dengan meletakkan kuasa di tangan kita untuk membolehkan dunia ini berada di sekeliling kita yang mana ia boleh dicapai pada bila-bila masa.
"Inilah dunia kita mempunyai kuasa membuat dan memperibadikan Internet mengikut apa yang kita inginkan bagi memudahkan kehidupan seharian serta lebih memuaskan," katanya.
Namun, menurut Kallasvuo, apa yang penting ialah ruang liputan yang seharusnya ada di mana-mana untuk membolehkan capaian dibuat pada tahap yang amat membanggakan.
Sebagai pengeluar utama dalam industri telekomunikasi selular terutama telefon bimbit, Kallasvuo berkata, peranti yang dikeluarkan kini mampu memenuhi pelbagai ruang kosong keperluan manusia dalam era digital.
Beliau berkata demikian pada pameran dan persidangan Nokia World, baru-baru ini.
Pada masa sama, Kallasvuo memperkenalkan telefon bimbit N97 yang dikatakan lebih canggih dan lengkap dengan pelbagai kemudahan berasaskan Internet termasuk sensor sistem pemetaan A-GPS.
"N97 hanyalah permulaan dan banyak lagi akan menyusul pada masa depan. Peranti bertenaga ini memiliki pelbagai ciri menarik sama ada dari segi penggunaan atau keupayaan," katanya.
Mengandaikan Internet itu boleh dicapai di mana saja, Nokia turut memperkenalkan Point & Find iaitu revolusi perkhidmatan yang tersedia dipasang di dalam telefon bimbit.
Pengguna hanya perlu mengambil gambar sesuatu objek atau lokasi lalu mencapai Internet untuk mendapatkan maklumat mengenai objek terbabit dengan segera.
Apabila gambar itu sudah ditagkan, ia boleh dikongsikan dengan pengguna lain dalam komuniti Point & Find yang sama-sama ingin mencari maklumat atau memberikan pendapat mengenainya.
Maps On Ovi pula menjadi satu daripada inovasi perkhidmatan percuma yang membenarkan pengguna merancang lebih awal perjalanan mereka sejak di rumah lagi.
Menggunakan PC yang disambungkan terus ke telefon bimbit untuk memindahkan data perjalanan bagi memudahkan perjalanan.
Tidak lama lagi, inisiatif pemetaan Nokia Maps akan lebih interaktif yang membenarkan pengguna menyimpan dan menganjurkan lokasi-lokasi pilihan mereka sendiri.
Mail on Ovi dan Nokia Messaging adalah sistem mel elektronik (e-mel) yang membuka peluang kepada lebih 75 peratus penduduk dunia yang belum pernah menggunakan e-mel menggunakannya.
Menurut perangkaan, lebih 75 peratus penduduk dunia tidak mempunyai e-mel, tapi memiliki telefon bimbit.
Kedua-dua inovasi ini akan memudahalihkan e-mel dan pesanan segera di atas peranti Nokia mereka.
Mail on Ovi diperkenalkan Nokia untuk pengguna PC mencipta dan mencapai akaun e-mel Ovi dan lain-lain perkhidmatan Ovi dengan hanya satu akaun log masuk.
Perkhidmatan e-mel itu menawarkan kekotak e-mel sebesar 1 Gigabait dan dilindungi sepenuhnya oleh perisian pelindung virus dan spam.
Buat masa ini, perkhidmatan ini menyokong lebih 12 bahasa di seluruh dunia termasuk bahasa Inggeris, Melayu, Indonesia, Sepanyol, Jerman, Perancis, Portugis, Tagalog dan Hindi.
Nokia Messaging akan memberi capaian kepada e-mel atau akaun pesanan segera dari Yahoo! Mail dan Yahoo! Messenger, Windows Live Hotmail, Gmail dan Google Talk, AOL Mail dan banyak lagi rumusan e-mel yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan di seluruh dunia.