Nizar masih anggap diri MB Perak & komen abang sulungnya

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih menganggap beliau adalah Menteri Besar yang sah hari ini 'mempengerusikan mesyuarat khas Exco' dan 'meluluskan' empat perkara yang berkaitan pentadbiran negeri.

Antara perkara yang diluluskan ialah tempoh pajakan tanah perindustrian yang ketika ini ditetapkan antara 30 hingga 60 tahun, dilanjutkan sehingga 99 tahun.

Selain itu, seramai 342 ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan daerah yang tamat tempoh perkhidmatan mereka pada 31 Disember lalu akan disambung secara automatik.

Mohammad Nizar berkata, 'kerajaan negeri pimpinannya' akan turut mengaktifkan semula Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini sebagai lapangan terbang penerbangan tambang murah (LCCT) dengan peruntukan RM2.7 juta bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan menggunakan lapangan terbang itu.

Pada masa sama, katanya, 'mesyuarat ' itu juga meluluskan peruntukan dana khas sebanyak RM1 juta untuk waris-waris individu warga emas semua kaum berusia 65 tahun ke atas yang meninggal dunia.

''Minit 'mesyuarat' ini akan saya serahkan kepada jabatan dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan 'mesyuarat khas Exco' kerajaan negeri pakatan pembangkang yang dihadiri semua bekas Exco kecuali Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar, Seah Leong Peng di Kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Mengulas kedudukannya itu, Mohammad Nizar berkata, beliau akan terus memegang jawatan Menteri Besar dan menjalankan tugas tersebut sehingga Mahkamah Tinggi Ipoh di sini mengeluarkan pengisytiharan sama ada kerajaan negeri yang diterajuinya itu masih sah atau tidak.

''Selagi mahkamah tidak mengeluarkan deklarasi seperti yang dikehendaki, kita akan terus menjalankan tugas melaksanakan apa jua perkara tertangguh termasuk melunaskan janji yang dibuat oleh pakatan pembangkang sebelum pilihan raya umum lalu," katanya.

Katanya, sebagai kerajaan negeri yang masih tidak mendapat apa-apa pengisytiharan daripada mahkamah, beliau dan 'barisan Exconya' akan juga terus menggunakan pejabat di Bangunan Darul Ridzuan di sini.

Ditanya bolehkan mesyuarat khas exco itu dijalankan tanpa perlu menghadap Sultan Perak terlebih dahulu sebagaimana kebiasaan, Mohamad Nizar berkata perkara itu"dibolehkan" kerana ia mesyuarat khas.

Kepada satu soalan, adakah beliau akan pergi ke pejabat Menteri Besar Perak Selasa ini sedangkan Zambry sudah dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, Mohamad Nizar berkata, ''saya akan berebut, siapa datang awal.''

Abang Sulung minta Nizar rasional

Sementara itu, Abang sulung Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menasihatkan bekas Menteri Besar itu supaya akur titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah agar beliau meletakkan jawatan dan kembali ke pangkal jalan.

Mohd. Radzi Jamaluddin, 58, yang juga bekas pegawai khas seorang Exco negeri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berkata, adiknya itu harus menerima hakikat bahawa pakatan pembangkang sudah tidak memiliki majoriti untuk memerintah negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap Mohammad Nizar dapat berfikir secara rasional demi kebaikan diri dan keluarga secara keseluruhan.

''Saya harap beliau dapat menerima pandangan orang terdekat terutamanya ahli keluarga yang sentiasa sayang kepada masa depannya," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian Mohammad Nizar yang enggan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar walaupun Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dari BN telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 semalam.

Mohd. Radzi berkata, adik-beradiknya sememangnya bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas Mohammad Nizar tetapi memintanya menerima takdir Allah yang mempunyai hikmah di sebaliknya.

Menurutnya, beliau ada menghubungi adiknya pagi ini selepas membaca akhbar yang mengatakan Mohammad Nizar mahu menyaman Sultan Perak.

Bagaimanapun adiknya menafikan mahu bertindak sedemikian dan mengakui Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh tidak ada berbincang dengannya sebelum ini.

"Dia menganggap laporan itu sebagai mainan pemimpin UMNO yang tidak betul sama sekali selain cuba menjatuhkan imejnya," katanya.

Sementara itu Mohd. Radzi berkata, laporan televisyen dan akhbar mengenai peristiwa rusuhan di depan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam menunjukkan mereka yang terlibat hanyalah penyokong Pas dan tiada kelibat ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

''Ini menunjukkan sokongan terhadap pakatan pembangkang longgar dan kemungkinan tidak ada unsur kejujuran dalam perjuangan mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta adiknya itu kembali segera ke pangkuan keluarga.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url