Osteoartritis & Osteoporosis

Di seluruh dunia, berjuta orang mengalami masalah tulang dan sendi. Masalah seperti artritis dan osteoporosis memberi kesan yang besar terhadap mutu kehidupan seseorang. Lebih separuh penghidap penyakit sendi kronik adalah di kalangan warga tua.

Perkataan "artritis" bermaksud "radang sendi" iaitu sendi yang sakit, terasa bisa bila disentuh, mungkin kemerahan, membengkak yang dikaitkan dengan kehilangan fungsi. "Osteo" ialah perkataan Greek untuk "tulang". Terdapat lebih daripada 100 masalah yang berkaitan dengan sendi dan tulang penyambung, otot dan tisu. Penyakit ini dikelaskan dalam pelbagai jenis artritis, sama ada terdapat radang, jangkitan atau pendarahan.

Osteoartritis (OA) dikenali sebagai penyakit "degeneratif" (penyakit yang berkaitan dengan peningkatan usia) kerana ia disebabkan oleh haus dan lusuh dalam jangka masa yang lama. Kesannya sangat ketara. OA terjadi apabila rawan (tisu lembut) yang melapisi hujung tulang mula terhakis. Ini boleh berlaku apabila:

- Haus dan lusuh berlaku apabila usia semakin meningkat

- Kecederaan atau kerosakan pada sendi disebabkan oleh trauma atau jangkitan

- Rawan yang terkena penyakit lain atau lemah secara genetik

Apabila sistem lapisan pada sendi hilang, tulang akan bergeser antara satu sama lain dan menyebabkan kesakitan. Sendi akan mula berasa kaku dan pergerakan akan menjadi lemah.

Sokongan Nutrisi untuk Osteoatritis

Glukosamina dan kondroitin merupakan komponen semula jadi dalam tisu sendi yang sihat. Tugasnya ialah untuk membekalkan bahan mentah semula jadi yang diperlukan oleh rawan untuk memperbaiki dan membina semula dirinya dan menentang enzim semula jadi yang merosakkan rawan.

- Glukosamina merupakan perintis bagi molekul yang dikenali sebagai glikosaminoglikan. Molekul ini digunakan dalam pembentukan dan pembaikpulih rawan. Tidak seperti ubat NSAIDS dan aspirin, glukosamina bukan sahaja menghilangkan kesakitan tetapi juga membantu membina semula rawan.

- Kondroitin merupakan glikosaminoglikan yang paling banyak dijumpai dalam rawan dan bertanggungjawab untuk memastikan ketahanan rawan. Ia bertindak seperti 'daya penarik air'. Keupayaan kondroitin ini memberi keanjalan kepada rawan dan bertindak sebagai 'penyerap hentakan'. Kajian menunjukkan keberkesanannya meningkat sebanyak 24 peratus apabila rawatan digabungkan dengan Glukosamina Sulfat.

- Mengambil suplemen Glukosamina dan Kondroitin dapat membantu membina dan membaiki rawan, memperlahankan perkembangan OA, melincirkan sendi-sendi, mengurangkan kesakitan sendi-sendi dan kekakuan dan meningkatkan keselesaan pergerakan.

Sejak akhir-akhir ini, suplemen Glukosamina dan Kondroitin telah menarik minat orang ramai di Amerika Syarikat (AS) sehinggakan pihak berkuasa AS telah menjalankan kajian klinikal terbesar ke atas glukosamina dan kondroitin untuk menguji keberkesanannya. Keterangan terperinci mengenai ujian GAIT telah disiarkan dalam New England Medical Journal pada 23 Februari 2006.

Ujian GAIT

Ujian GAIT disifatkan sebagai 'ujian paling ketat dan rapi sehingga kini' dalam menilai keberkesanan Glukosamina dan Kondroitin terhadap sakit lutut yang berkaitan dengan Osteoatritis (OA). Ujian GAIT telah membuktikan bahawa gabungan dua suplemen ini (Glukosamina dan Kondroitin) adalah lebih berkesan untuk merawat sakit lutut OA peringkat sederhana sehingga teruk berbanding Celecoxib, sejenis perencat COX-2 (ubat anti inflamasi).

Derita Osteoartritis

kebanyakan daripada kita, penyakit osteoartritis dilihat hanya dialami oleh warga tua bersesuaian dengan umur, tahap metabolisme serta kesihatan mereka yang semakin merosot.

Namun, adalah silap bagi kita untuk membuat jangkaan sedemikian kerana penyakit ini sebenarnya tidak mengenal usia.

Penyakit osteoartritis berlaku akibat rawan (cartilage) yang terdapat di antara dua tulang penyambung sendi badan telah menipis (terhakis), seperti di bahagian lutut, siku, pinggul dam leher.

Bagi setiap manusia normal, rawan yang terdapat di antara dua tulang, contohnya seperti di bahagian lutut, membantu melancarkan pergerakan atau membantu tulang tersebut membengkok.

Dalam erti kata lain, rawan melindungi bahagian hujung tulang bagi memudahkan pergerakan seharian.

Jika rawan telah menipis, ia akan mengakibatkan kesakitan yang amat sangat setiap kali kita melakukan pergerakan.

Lutut meletup

Setiap tindakan yang biasa kita lakukan setiap hari seperti menaiki tangga, membuka pintu malah menyikat rambut akan mengakibatkan kesakitan kepada pengidap penyakit ini.

Itulah yang berlaku kepada Zainaton Hassiah Mohamad Kamal yang menderita penyakit osteoartritis sejak dua tahun lepas.

Bagi Zainaton Hassiah, penyakit ini mula dikesan setelah dia menghadapi kesukaran untuk menggerakkan bahagian lututnya malah setiap kali dia cuba bangun dari duduk, lututnya pasti akan mengeluarkan bunyi seperti meletup.

Setelah menjalani pemeriksaan di Hospital Pusrawi di Jalan Ampang, Zainaton disahkan mengidap penyakit osteosrtritis berikutan rawan yang terdapat di bahagian lututnya semakin menipis.

Ini mengakibatkan bahagian tulangnya bergeser antara satu sama lain sekali gus menyukarkan pergerakan harian.

Bagi wanita berusia 40 tahun ini, dia tidak menyangka akan mengidap penyakit sedemikian memandangkan sebelum ini dirinya merupakan seorang yang aktif dalam kegiatan sukan mencabar seperti mendaki gunung dan juga "jungle tracking".

Namun setelah berhenti dari kegiatan sukan berkenaan untuk jangka masa yang agak lama ditambah pula dengan peningkatan berat badan, ia mungkin menyumbang kepada Zainaton Hassiah mengidap penyakit ini sekarang.

Semakin sakit

Zainaton Hassia mula didiagnosis menghidap penyakit osteosrtritis pada 2007 dan doktor telah memberikan beberapa pil ubat untuk meredakan kesakitan memandangkan penyakit tersebut masih di peringkat awal.

Namun, setelah menderita kesakitan sehingga sukar untuk berjalan dan bertugas, doktor menyarankan dia menjalani pembedahan menggunakan kaedah arthroscopy.

Kaedah ini membenarkan doktor melihat ke bahagian dalam sekitar rawan tulang yang sakit menggunakan kamera kecil dikenali sebagai arthroscope tanpa perlu melakukan pembedahan besar.

Alat ini yang turut dilengkapi video masa sebenar akan dimasukkan ke bahagian lutut bagi mencari punca kesakitan sebelum pembedahan dilakukan bagi memulihkan bahagian tersebut atau mengeluarkan bahagian yang rosak teruk.

Ketika ditemui, wanita yang berasal dari Sarawak ini telah semakin pulih dari pembedahannya dan mula menjalani rawatan susulan.

Zainaton Hassia menasihatkan kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit osteoartritis supaya segera menjalani pemeriksaan di hospital bagi mengelakkan penyakit tersebut semakin parah.

"Jangan ambil mudah bila sakit lutut dan sakit di bahagian sendi lain kerana jika tidak dirawat dari peringkat awal, ia akan memberi kesan yang lebih teruk.

"Kebanyakan daripada kita lebih gemar pergi berurut jika berasa sakit di bahagian tersebut dan ia bukan langkah terbaik.

"Doktor mengesahkan saya telah pulih dan saya sangat bersyukur, namun yang pasti saya tidak boleh memakai kasut tumit tinggi selepas ini kerana ia akan memberi kesan ketika saya berjalan," katanya.

Pencegahan osteoporosis

Osteoporosis ialah keadaan kekurangan khasiat dikenali 'tulang rapuh'. Keadaan ini berlaku, terutamanya pada tulang belakang, pergelangan tangan dan pinggul yang menjadi nipis, lemah dan mudah retak.

Tulang sebenarnya adalah tisu hidup dan selalunya mempunyai tindak balas biokimia di mana ia bergantung kepada nutrien mikro dan sistem enzim yang berbeza-beza. Seperti mana tisu hidup lain, tulang memerlukan pelbagai bekalan khasiat.

Pemakanan moden kini seperti roti putih, gula putih dan lemak yang tinggi adalah tersangat kurang khasiatnya untuk tulang. Pengambilan daging dan air berkarbonat yang banyak pula menyumbang kepada menurunnya penyerapan kalsium oleh badan. Kekurangan pengambilan khasiat yang diperlukan tulang boleh menyumbang kepada osteoporosis.

Sekiranya osteoporosis tidak dicegah atau dibiarkan tanpa rawatan, ia akan berkembang perlahan-lahan tanpa berasa sakit sehinggalah ada tulang yang mengalami keretakan atau patah.

Mustahaknya mengambil suplemen kalsium telah lama diakui dalam penjagaan kesihatan tulang. Meskipun kalsium begitu penting, didapati hanya 25 peratus wanita AS yang menghidap osteoporosis mengalami kekurangan kalsium. Bukti baru ini dengan jelas menunjukkan vitamin D, magnesium, kuprum, zink, boron dan mangan juga penting untuk mewujudkan tulang yang kuat dan sihat.

Semua nutrien ini hendaklah diambil bersama untuk mendapatkan metabolisme tulang yang optimum. Malah, kekurangan hanya satu nutrien tersebut boleh mengakibatkan tulang menjadi lemah dan membawa kepada penyakit osteoporosis. Lelaki dan wanita seharusnya mengambil suplemen kalsium antara 800 hingga 1,500 miligram (mg) sehari bersama dengan makanan untuk penyerapan yang optimum.

Selain kalsium

- Vitamin D membantu badan menyerap kalsium. Paras vitamin D yang rendah adalah perkara biasa bagi wanita terutama yang sudah berusia. Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan kekurangan kalsium dan akan menyebabkan tulang menjadi lembut (osteomalacia). Pakar mengesyorkan pengambilan harian vitamin D antara 400 dan 800 unit antarabangsa (IU).

- Magnesium perlu untuk pemeliharaan dan penggerakan kalsium dalam tulang dan diperlukan untuk penggunaan vitamin D. Kekurangan magnesium sudah menjadi perkara biasa dan merupakan faktor risiko utama bagi osteoporosis. U.S. RDA untuk magnesium ialah 400 mg setiap hari. (U.S. RDA yang disebut di sini ialah untuk orang dewasa, kecuali wanita hamil, ibu-ibu menyusu dan kanak-kanak yang berumur lebih empat tahun).

- Mangan merupakan mineral surih diperlukan untuk menghasilkan tisu-tisu sambungan yang membentuk matriks tulang, tempat pengumpulan mineral berlaku. Pengambilan harian yang disyorkan untuk mangan ialah 2 mg.

- Boron diperlukan untuk menukar vitamin D kepada bentuk aktif; ini menerangkan mengapa kekurangan boron akan menjejaskan metabolisme kalsium dan pembentukan tulang. Boron mengurangkan penyusutan kalsium dari tulang. Walaupun tidak ada RDA rasmi bagi boron, dosej harian yang mengandungi 1.5 hingga 3.0 mg adalah selamat dan mencukupi.

- Zink menyokong pembentukan tulang dengan memperkuatkan tindakan vitamin D. Zink membantu mengekalkan struktur tulang-temulang dan ia juga terbabit dalam pembinaan tulang.

- Kekurangan kuprum mungkin akan menyebabkan pengumpulan tulang yang tidak normal. Kuprum membantu membentuk blok-blok binaan untuk tulang-tulang.

Panduan Membeli Suplemen

Apabila anda mencari suplemen untuk kesihatan sendi dan tulang, pilihlah suplemen 'Ostepakej' 3 dalam 1 yang baik dengan menggabungkan Glukosamina dengan Kondroitin bersama Kalsium, serta manfaat-manfaat tambahan daripada Magnesium, Vitamin D, Boron, Mangan, Zink dan Kuprum.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url