Nizar mohon perintah mahkamah


Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

Bekas Menteri Besar Perak itu juga menuntut perintah perisytiharan bahawa Menteri Besar yang baru dilantik pada 6 Februari lalu, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir tidak berhak memegang jawatan tersebut.

Turut dimohon ialah perintah perisytiharan berhubung tafsiran Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak sama ada jawatan Menteri Besar Perak boleh dikosongkan:

n Meskipun beliau telah memberi nasihat supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan;

n Tiada usul tidak percaya oleh DUN terhadapnya;

n Beliau tidak meletakkan jawatan.

Tiga perisytiharan itu adalah antara lapan tuntutan dalam permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Mohammad Nizar. Permohonan itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada pukul 11.35 pagi ini.

Mohammad Nizar, 52, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang turut hadir di mahkamah selaku pemohon menamakan Zambry sebagai responden.

Beliau yang berbaju Melayu lengkap berwarna hijau tiba kira-kira pukul 11.20 pagi dengan ditemani beberapa bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Perak dari pakatan pembangkang dan peguamnya, Leong Cheok Keng.

Turut difailkan bagi menyokong permohonan itu ialah afidavit beliau sendiri dan afidavit Speaker DUN Perak yang juga ADUN Tronoh, V. Sivakumar, 39.

Selain ganti rugi punitif (yang membebankan), keterlaluan dan teladan, taksiran ganti rugi serta kos, Mohammad Nizar turut memohon perintah injunksi.

Perintah itu bertujuan menghalang responden, ejen-ejen atau kakitangannya daripada bertindak atau melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas Menteri Besar Perak.

Beliau turut memohon perintah writ dikeluarkan terhadap Zambry untuk mengemukakan tunjuk sebab dan memberi maklumat di bawah dasar atau kuasa mana beliau (Zambry) berhak memegang jawatan Menteri Besar Perak dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi serta tugas jawatan tersebut.

Dalam afidavitnya, Mohammad Nizar menyatakan permohonan itu dikemukakan dengan alasan beliau adalah pemegang sah jawatan Menteri Besar Perak dari 17 Mac tahun lalu sehingga kini selepas memenangi kerusi DUN pada pilihan raya umum, 8 Mac 2008.

Pemohon juga mendakwa terdapat pertikaian undang-undang antara beliau dengan responden berhubung status jawatan itu, sedangkan beliau adalah Menteri Besar yang sah pada setiap masa.

"Saya percaya responden telah secara tidak sah merampas jawatan Menteri Besar, menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Menteri Besar secara tidak sah serta bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak," katanya.

Menurutnya, beliau telah memohon DUN dibubarkan bagi mengelak keadaan menjadi buntu dalam pentadbiran kerajaan negeri tetapi ditolak.

Dalam keadaan demikian, dakwanya, beliau masih Menteri Besar Perak yang sah tetapi telah dihalang menjalankan tugas-tugasnya termasuk diusir keluar daripada pejabatnya.

Dakwa Mohammad Nizar lagi, responden telah mengelirukan rakyat apabila membuat representasi bahawa beliau (Zambry) adalah Menteri Besar Perak.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url