Top Ad 728x90

Noor Arfa Batek labur RM6.6 juta bangunkan Batek House

Syarikat pengusaha batik terkenal, Noor Arfa Batek Sdn. Bhd. melabur kira-kira RM6.6 juta untuk membangunkan kompeks pengumpulan kraf Batek House di Melaka International Trade Centre (MITC) di Air Keroh, Melaka.

Kompleks dua tingkat di kawasan seluas 0.6 hektar itu kini siap 90 peratus dan dijangka beroperasi pada Mei depan dengan menempatkan kira-kira 30 pengusaha batik dari seluruh negara.

Pengerusi Eksekutif & Pengurus Besar syarikat itu, Wan Mohd. Ariffin Wan Long berkata, idea membina kompleks itu adalah cetusan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dalam usaha menjadikan Melaka sebagai pengeluar batik di negara ini.

Menurut beliau, sejak turun temurun Terengganu dan Kelantan dikenali sebagai pengeluar batik dan usaha mengumpulkan pengusaha batik di Melaka dilakukan bagi mengembangkan lagi industri tersebut.

''Selain menjadi kompleks pengumpulan kraf untuk tujuan pameran dan jualan, Batek House juga akan menyediakan ruang bagi demonstrasi batik untuk mendekatkan lagi masyarakat dengan bidang ini.''

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Penggiat Pelancongan Bersama Pengurusan Noor Arfa di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) di Chendering di sini semalam.

Wan Mohd. Ariffin berkata, selain Kompeks Kraf dan kilang sendiri di Cendering, Noor Arfa turut mempunyai enam buah cawangan jualan iaitu di Shah Alam, Melaka, Alor Star, Kemaman, Pahang dan Pulau Pinang serta empat francais di Petaling Jaya, Perak, Kuala Lumpur dan Sabah.

Wan Mohd. Ariffin berkata, syarikat itu mempunyai matlamat untuk memiliki cawangan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, syarikat itu kini menghasilkan kira-kira 200 produk menggunakan jenama Noor Arfa yang ringkas, menawan dan berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan.

Malah tambah beliau, Noor Arfa telah berjaya mencipta sejarah apabila tercatat di dalam Malaysian Book of Record sebagai pengeluar batik komersial yang terbesar di negara ini.

Beliau berkata, melalui usaha pemasaran dan perancangan yang strategik, Noor Arfa dijangka dapat meningkatkan hasil jualan daripada RM12 juta pada tahun 2008 kepada RM15 juta pada tahun ini.

''Walaupun pada masa ini berlaku kegawatan ekonomi dan kuasa membeli kurang tetapi ia tidak memberi kesan pada masa sekarang, sebaliknya ia kemungkinan dirasai dua atau tiga tahun akan datang,'' ujar beliau.

Untuk memperkenalkan jenama Noor Arfa, Wan Mohd Ariffin berkata, syarikat bercadang melebarkan pasaran ke negara-negara Asia termasuk di Indonesia, Brunei dan Vietnam sebelum menembusi pasaran antarabangsa.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90