Suhakam: Cara tubuh kerajaan baru BN bermasalah

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata cara pembentukan kerajaan baru di Perak telah menimbulkan persoalan dan seterusnya mengenai kesahihan kerajaan negeri yang baru itu.

Sehubungan itu, Suhakam mengulangi bahawa, hanya pilihanraya bebas dan adil yang juga satu hak asasi manusia dapat menyelesaikan ketidaktentuan politik di negeri tersebut.

Dalam satu kenyataannya, Suhakam berkata, ia merupakan hak asasi rakyat untuk memilih kerajaan yang adil pilihan mereka.

Menurutnya, Suhakam mengambil perhatian bahawa Sultan Perak tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Suhakam berpandangan bahawa pilihanraya baru bagi Dewan Undangan Negeri - selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia - akan menyelesaikan ketidaktentuan politik berhubung kedudukan kerajaan negeri, terutama apabila kesahihan surat peletakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diragui," tambahnya.

Menurutnya, bersempena menyambut Hari Hak Asasi Manusia Malaysia pada 9 September 2007, Suhakam telah memfokuskan kepada keperluan dan pentingnya pilihanraya yang adil dan bebas.

"Walaupun Suhakam mendapati pilihanraya di Malaysia pada umumnya bebas, tetapi ia tidak adil sepenuhnya kerana ada contoh berlaku penyelewengan kemudahan dan dana kerajaan sewaktu tempoh kempen pilihanraya, termasuk kawalan ke atas media.

"Juga terdapat dakwaaan berlakunya politik wang dan perbuatan membeli undi," katanya.

Bagaimanapun, Suhakam juga mendapati ada pembaikan dalam proses pilihanraya dalam pilihanraya umum pada 8 Mac 2008 dan pilihanraya kecil baru-baru ini.

Perak dilanda krisis politik apabila empat Adun Pakatan Rakyat keluar parti dan menjadi Adun bebas dan seorang daripadanya kembali merujuk BN.

Berikutan itu, jumlah kerusi yang dimilik Pakatan di DUN Perak tinggal 28 dan sama jumlahnya dengan kerusi Barisan Nasional.

Ketiga-tiga Adun bebas itu kemudiannya menyatakan sokongan mereka kepada BN.

Tindakan itu sekali gus memberi kelebihan majoriti kepada BN untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Sultan Perak menolak permohonan Pakatan supaya DUN dibubarkan dan pilihanraya negeri diadakan semula.

Keadaan menjadi tegang apabila Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan seperti yang dititahkan oleh Sultan Perak.

Berikutan itu, kesemua 28 Adun Pakatan memulaukan majlis angkat sumpah Dr Zambry jam 3.30 petang tadi.

Ribuan orang penyokong Pakatan Rakyat berkumpul membantah pelantikan menteri besar baru selepas solat Jumaat di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, sehingga polis terpaksa menembak gas pemedih mata berkali-kali.

Masjid tersebut terletak kira-kira satu kilometer dari Istana Iskandariah - tempat berlangsungnya majlis angkat sumpah menteri besar yang baru.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url