Tarif elektrik & gas turun mulai 1 Mac 2009

Tarif elektrik akan diturunkan pada purata 3.7 peratus kepada 31.3 sen sekilowat jam (kWj) daripada 32.5 sen kWj mulai 1 Mac ini.

Para pengguna domestik akan mengalami penurunan tarif elektrik secara purata sebanyak 2.54 peratus manakala pengguna komersial 2.7 peratus dan industri 5 peratus.

Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pengecualian pembayaran bil elektrik bagi pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20 ke bawah akan diteruskan sehingga 31 Disember ini.

“Kerajaan juga telah menetapkan supaya talian elektrik seumur hidup bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik 200 kWj ke bawah sebulan dikekalkan pada kadar tarif sedia ada iaitu 21.8 sen kWj memandangkan pengguna dalam kategori ini tidak mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik sejak tahun 1998,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan penurunan tarif elektrik di sini hari ini.

Shaziman berkata, kerajaan juga bersetuju supaya bekalan gas tambahan sebanyak 100 mmscfd (kaki padu standard sehari) akan diberikan kepada sektor industri daripada sektor elektrik sebagai langkah kerajaan menggerakkan sektor tersebut dan memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk membuat pelaburan di negara ini.

Beliau menambah, kementerian juga mencadangkan supaya syarikat pengagihan air yang tidak layak menikmati kemudahan tarif khas industri diberi bantuan melalui diskaun tarif elektrik supaya kerajaan dapat memastikan tarif air adalah pada kadar tidak terlalu membebankan pengguna.


Shaziman menjelaskan, penurunan dalam peratusan yang kecil itu disebabkan harga arang batu di pasaran yang masih meningkat iaitu AS$85 (RM306) setan berbanding hanya AS$75 (RM270) setan pada Julai tahun lalu.

‘‘Dengan mengambil kira suasana kelembapan ekonomi dunia sekarang yang memberi kesan kepada rakyat, kementerian telah mempercepatkan penyelarasan tarif elektrik kepada 1 Mac berbanding 1 Julai depan seperti dirancang.

‘‘Tarif elektrik ini akan disemak semula iaitu pada 1 Julai ini dan semakan seterusnya setiap enam bulan bagi membolehkan tarif elektrik diselaraskan dengan harga gas dan arang batu yang tidak menentu di pasaran antarabangsa,” katanya.

Shaziman berkata, kementeriannya juga telah mencadangkan supaya mekanisme tidak menikmati keuntungan (fuel pass through) diperkenalkan supaya perubahan harga bahan api diambil kira dalam penetapan tarif elektrik pada masa depan.

‘‘Ini selaras dengan hasrat kerajaan supaya harga tenaga elektrik menjurus kepada harga pasaran,” katanya.

Sementara itu, Harga gas bagi sektor elektrik dan bukan elektrik di Semenanjung Malaysia akan dikurangkan sebanyak 32 peratus hingga 35 peratus mulai 1 Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham Abdul Aziz berkata, pengurangan harga gas sebanyak RM7.06 hingga RM8.53 itu dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan industri-industri berkenaan dan khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.

"Secara keseluruhan, langkah ini akan meningkatkan daya saing dan seterusnya menyumbangkan kepada usaha pemulihan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Amirsham berkata, harga gas yang dibekalkan oleh Petroleum Nasional Berhad (Petronas) untuk sektor elektrik akan dikurangkan kepada RM10.70/million British thermal Unit (MMBtu) daripada RM 14.31/MMBtu.

"Harga gas yang dibekalkan oleh Gas Malaysia Sdn Bhd bagi sektor industri dan pelanggan lain yang menggunakan gas kurang daripada dua juta kaki padu sehari (mmscfd) dikurangkan daripada RM22.06/MMBtu kepada RM15/MMBtu.

"Manakala harga gas untuk sektor industri yang pengunaan gas melebihi dua mmscfd dikurangkan daripada RM23.88 MMBtu kepada RM15.35/MMBtu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memutuskan harga gas akan disemak semula dua kali setahun pada 1 Jan dan 1 Julai setiap tahun dan diskaun harga gas itu hanya terpakai untuk Semenanjung Malaysia.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url