Suasana kecoh, FRU lepaskan pemedih mata, protes rakyat bermula di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar
Turut kelihatan selain Adun-adun Pakatan Rakyat adalah beberapa pimpinan PAS peringkat negeri seperti Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Ahmad Awang, dan Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo Hj Ghazali serta pimpinan daripada DAP dan KeADILan.
Difahamkan kawasan Masjid Ubudiyyah ketika ini mula dibanjiri dengan orang-ramai yang ingin melihat dari dekat perkembangan terkini dan amanat pimpinan negeri terutamanya daripada Nizar sendiri.
Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa menyeru orang ramai agar memenuhi Masjid Ubudiyyah tengahari ini sebagai protes terhadap upacara angkat sumpah Adun-adun BN petang ini.
Katanya, "mari datang beramai-ramai selepas Jumaat kita buat demonstrasi boikot Umno-BN melakukan angkat sumpah menubuhkan kerajaan baru cara rampas kuasa itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
"Semua lapisan masyarakat termasuk kaum Muslimat dan pimpinan Pakatan Rakyat kalau tak cukup tempat sediakan sejadah untuk bersembahyang di luar dan kemudiannya kita buat protes terhadap perbuatan keji Najib Razak,"tegasnya.
Kronologi:
2.15 petang: Kira-kira 2000 penyokong Pakatan Rakyat keluar dari Masjid Ubudiyyah dan berkumpul sebelum mula berarak menuju ke Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar.
2.20 petang: Perarakan bermula dengan laungan 'Hancur BN' walaupun disekat oleh FRU di laluan utama ke Istana. Rakyat terus berasak menuju ke Istana.
2.30 petang: FRU bertindak melepaskan gas pemedih mata kepada para penyokong sambil memberi amaran kepada para penyokong.
2.45 petang: FRU bertindak melepaskan lagi gas pemedih mata berjumlah 10 das dan arah semua penyokong bersurai.
2.50 petang: Polis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi.
2.58 petang: Perkumpulan orang ramai mula berundur ke dalam kawasan perkarangan Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar sekali lagi selepas polis melepaskan gas pemedih mata bagi kali kedua. Jumlah mereka dianggarkan 3,000 orang. Lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan, termasuk ke arah tempat letak kereta masjid.
3.00 petang: Pihak polis menambah kekuatan dengan menghantar satu lagi trak FRU dengan 30 ahlinya dan sebuah 'water cannon' telah menuju ke arah masjid dari pintu utama Istana Iskandariah.
3.01 petang: Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata. Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis. Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.
3.08 petang: Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka. Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.
3.11 petang: Kelihatan sejumlah orang berbaring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana. Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.
3.18 petang: Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid. Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu. Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan masuk ke istana.
3.20 petang: Polis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat. Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.
3.25 petang: Keadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiyyah di bandar diraja Perak. Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu." Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.
3.33 petang: Pemimpin PAS mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur.
3.36 petang: Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi. Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
3.48 petang: Tiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiyyah. Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.
4.00 petang: Menteri Besar Perak yang baru, Dr Zambry Kadir mengangkat sumpah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
- MALAYSIAKINI, HARAKAH & UTUSAN