Zambry angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-11


Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, 47, merupakan Menteri Besar Perak ke-11 sejak kerajaan negeri Perak ditubuhkan pada tahun 1950.

Beliau mengangkat sumpah memegang jawatan hari ini bagi mengambil alih daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat yang memegang jawatan Menteri Besar ke-10 hanya selama 10 bulan. Sultan Perak Sultan Azlan Shah semalam menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan setelah berpuas hati beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota dewan selepas empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat keluar parti masing-masing dan mengisytiharkan sokongan kepada Barisan Nasional.

Menteri Besar Perak yang lain ialah : Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1950-1957), Tan Sri Mohd Ghazali Jawi (1957-1960), Datuk Shaari Shafie (1961-1964), Datuk Seri Ahmad Said (1964-19 Mac 1970).

Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa (19 Mac 1970-Ogos 1974), Tan Sri Mohd Ghazali Jawi (4 Sept /1974-Sept 1977), Datuk Seri Wan Mohammad Wan Teh (1 Okt 1977-1 Mac 1983), Tan Sri Ramli Ngah Talib (1 Mac 1983-11 Nov 1999), Datuk Seri Dr. Mohd. Tajol Rosli Ghazali (2 Dis 1999-Mac 2008).

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url