11 pelatih PLKN meninggal sejak 2004

Seramai 11 orang pelatih telah meninggal dunia sewaktu menjalani latihan di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak diperkenalkan pada 2004.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, berdasarkan pecahan kes, tujuh orang meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan manakala empat lagi meninggal kerana kemalangan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, daripada jumlah itu, enam orang adalah pelatih lelaki manakala bakinya seramai lima orang adalah pelatih perempuan.

"Jumlah kecederaan pelatih adalah seramai 284 orang, kebanyakannya adalah terseliuh kaki atau tangan dan sebahagian kecil mengalami keretakan tulang.

"Kesemua pelatih ini dilindungi oleh insurans berkelompok yang dibiayai oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN)," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Hin (DAP-Kota Melaka) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalannya, Tong Hin ingin tahu langkah yang diambil terhadap pengurusan Kem PLKN bagi memastikan keselamatan pelatih dan jumlah pelatih yang cedera serta meninggal dunia sejak program itu dilaksanakan.

Terdahulu dalam jawapannya, Abdullah menjelaskan Kementerian Pertahanan sentiasa mengambil berat kesihatan dan keselamatan pelatih sewaktu menjalani latihan di kem.

Beliau berkata, bagi memastikan pelatih PLKN mendapat rawatan yang sempurna, JLKN dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah menempatkan tiga orang pembantu perubatan, dua orang jururawat terlatih dan dua anggota paramedik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di klinik kesihatan kem yang dilengkapi peralatan dan ubat-ubatan yang mencukupi.

Jelasnya, semua kem PLKN juga akan dipastikan menerima sijil selamat menduduki dan selamat guna daripada jurutera perunding bertauliah yang dilantik oleh pengusahanya.

"JLKN juga melantik Institut Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (NIOSH) untuk memeriksa dan memastikan semua elemen latihan di kem selamat digunakan walaupun telah mendapat sijil selamat guna daripada perunding bertauliah.

"Pengusaha kem juga dikehendaki menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan bagi mengawal laluan keluar masuk dan keselamatan di kem. Selain itu, seorang anggota polis juga ditempatkan sepenuh masa bagi mengawal dan mengambil tindakan segera jika berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, semua pengusaha diwajibkan mengambil insurans bagi melindungi pengguna dan kakitangan di kem.

JLKN pula jelas beliau, akan menyediakan perlindungan insurans kepada semua pelatih tiga hari sebelum latihan, sewaktu latihan dan tiga hari selepas menamatkan latihan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url