Rayuan Ali Rustam ditolak, beliau tidak letak jawatan

Panel Rayuan UMNO menolak rayuan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin yang melarang beliau daripada bertanding pada pemilihan UMNO minggu depan.

Pengerusinya, Tan Sri Zuki Kamaluddin berkata, keputusan yang telah dibuat oleh Lembaga Disiplin Selasa lalu dikekalkan dan ia berkuat kuasa serta-merta seperti yang tertakluk di bawah Fasal 29C Perlembagaan UMNO.

‘‘Keputusan pada 17 Mac lalu dikekalkan iaitu melarang Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding atau dipilih dalam pemilihan UMNO,’’ katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin parti melarang Mohd. Ali daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti minggu depan.

Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen mendapati Mohd. Ali bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Menurut Zuki, proses permohonan rayuan itu dipercepatkan demi kepentingan Mohd. Ali, namun begitu, setelah meneliti, pihaknya sebulat suara menolak rayuan yang dibuat.

Panel Rayuan menerima surat daripada Mohd. Ali hari ini dan mengadakan mesyuarat bagi memutuskan rayuan tersebut.

Sementara itu, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Baru sebagaimana didesak pakatan pembangkang di negeri ini.

Beliau menegaskan, desakan tersebut merupakan gimik politik pembangkang semata-mata dan tidak berasas sama sekali.

Beliau sebaliknya meminta pembangkang memahami hakikat bahawa beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin parti di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan bukan kerana mengamalkan politik wang.

"Kenapa mereka tidak tanya Lim Guan Eng suruh letak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan suruh Datuk Seri Anwar Ibrahim juga letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kerana kedua-duanya pernah masuk penjara.

"Saya tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Keselamatan Bandar (JKB) sesi 2009 di Dewan Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan hebat parti pakatan pembangkang di negeri ini yang mahukannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri dan ADUN Bukit Baru selepas didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Mohd. Ali menjelaskan, kesalahan yang beliau lakukan adalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan tidak ada kaitan langsung dengan dakwaan mengamalkan politik wang.

Perkara 10.1 menyebut:

Bilamana seseorang ejen, pelobi pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah melanggar mana-mana peruntukan Tataetika Ahli UMNO ini, maka Lembaga Disiplin UMNO boleh menganggap, setelah berpuas hati daripada keterangan-keterangan atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli.

Mohd. Ali juga berkata, beliau tidak kisah jika pembangkang hendak mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kesnya itu.

Sementara itu, satu memorandum daripada parti pakatan pembangkang mendesak Mohd. Ali meletakkan kedua-dua jawatan itu, telah diserahkan kepada Penolong Pegawai Tadbir di pejabat Ketua Menteri Melaka, Syueeb Zahari di Seri Negeri kira-kira pukul 2.40 petang ini.

Memorandum itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri Melaka, Mohd. Hairiz Nordin dan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri, Kamaruddin Sidek.

Sebelum itu jalan di antara kediaman Ketua Menteri di Seri Bendahara dan pejabatnya di Seri Negeri dikawal ketat pasukan polis sejak pukul 11.30 tengah hari ini.

Kira-kira 100 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan terdiri daripada anggota Unit Udara, Unit Tindakan Ringan (LSF) dan polis trafik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url