300,000 dilarang keluar negara

Seramai 300,000 rakyat Malaysia tidak dibenarkan keluar negara kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan seperti gagal membayar cukai pendapatan dan membabitkan keselamatan negara sejak 1963.

Termasuk dalam senarai berkenaan ialah 78,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak pernah membayar pinjaman, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mahmood Adam.

Seramai 200,000 rakyat asing, kebanyakannya pernah ditahan kerana memasuki Malaysia secara haram tidak dibenarkan memasuki negara ini berikutan pelbagai kesalahan yang mengancam keselamatan negara.

"Jumlah 78,000 peminjam PTPTN itu disahkan tidak pernah menjelaskan pinjaman, menyebabkan mereka dihalang keluar negara. Mereka hanya dibenarkan berbuat demikian jika boleh mengemukakan bukti sudah menjelaskan pinjaman.

"Begitu juga individu yang gagal menjelaskan cukai pendapatan dan yang disenaraikan oleh Jabatan Insolvensi," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Sabah, di sini semalam.

Beliau meminta pemegang pasport antarabangsa Malaysia menyemak sama ada dibenarkan keluar negara dengan melayari www.imi.gov. my bagi mengelakkan terkandas di lapangan terbang.

"Malaysia negara pertama memperkenalkan sistem semakan melalui talian yang dilancarkan pada 5 Februari lalu.

"Setakat ini, 200,000 orang sudah melayari laman web itu dan 1,000 tampil membetulkan fakta mengenai diri masing-masing dengan mengemukakan bukti mereka sudah menyelesaikan masalah yang menyebabkan mereka tidak dibenarkan keluar negara," katanya.

Sistem penyemakan melalui talian diperkenalkan bertujuan memantapkan penambahbaikan jabatan itu.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url