Kes Kugan - 'Organ dalaman gagal berfungsi'

Keputusan bedah siasat kedua oleh pakar patologi bebas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ke atas suspek kes curi kereta mewah, A Kugan mendapati dia mati disebabkan kegagalan beberapa organ dalaman berfungsi akibat diserang dan dipukul secara berterusan menggunakan objek tumpul.

Peguam keluarga mendiang, N Surendran, berkata keputusan bedah siasat kedua itu diterimanya jam 5.30 petang kelmarin dari pusat perubatan berkenaan disaksikan Penasihat Undang-Undang PPUM.

"Hasil bedah siasat membuktikan mendiang mati akibat diserang dan dipukul secara berterusan. Kecederaan itu menyebabkan beberapa organ dalamannya tidak berfungsi. Selain dibelasah, bahagian belakang badannya turut melecur teruk dipercayai akibat ditekap dengan objek panas berbentuk V.

"Ada 45 kesan kecederaan dalaman dan luaran pada tubuh Kugan dan hampir semuanya adalah kesan kecederaan ketika dalam tahanan polis," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Surendran berkata, keputusan bedah siasat itu akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara hari ini dan berharap tindakan tegas diambil terhadap anggota polis yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Bedah siasat kedua dijalankan oleh Pakar Patalogi Forensik PPUM, Dr Prashant N Samberkar pada 25 Januari lalu atas permintaan ibu Kugan, Indra Nallathamby.

Ia dibuat selepas keluarga mangsa tidak puas hati dengan bedah siasat pertama di Hospital Serdang pada 21 Januari lalu, yang mendapati kematiannya akibat cecair dalam paru-paru.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika diminta mengulas mengenainya berkata, pihaknya perlu melihat terlebih dulu laporan bedah siasat kedua itu sebelum membuat komen.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url