Bank Islam untung RM104.7 juta
Dalam tempoh kajian, pendapatan Bank Islam pertama negara itu meningkat kepada RM625.8 juta daripada RM579.5 juta dalam tempoh sama 2007.
Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Zukri Samat, berkata pencapaian berkenaan adalah memuaskan memandangkan cabaran getir ekoran krisis kewangan dan ekonomi global.
“Peningkatan dalam pendapatan adalah hasil pertumbuhan kukuh pembiayaan berkualiti, terutama portfolio aset perbankan pengguna dan pengembangan baik dalam perniagaan pengambilan deposit, khususnya menerusi akaun semasa dan simpanan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam tempoh kajian, keuntungan sebelum peruntukan (tidak termasuk pelupusan hanya sekali teknologi maklumat) meningkat 11.3 peratus kepada RM184.9 juta berbanding tempoh sama 2007.
Beliau menambah, pendapatan bukan dana meningkat berikutan usaha bank meningkatkan sumbangan daripada segmen bukan dana termasuk daripada pengurusan kekayaan dan perniagaan perbankan takaful.
“Produk pelaburan pertama Bank Islam, An-Najah, menarik nilai langganan sebanyak RM353 juta, hanya dalam tempoh empat minggu,” katanya.
Sementara itu, nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPF) bersih turun kepada 6.4 peratus pada Disember lalu daripada 7.8 peratus pada Jun 2008, yang mencerminkan penurunan paling rendah sejak 2005, manakala nisbah liputan kerugian pembiayaan meningkat kepada 80.5 peratus daripada 75.8 peratus.
Dalam tempoh kewangan dikaji, portfolio pembiayaan pengguna merangkumi 62 peratus daripada aset pembiayaan, manakala aset korporat dan pembiayaan komersial masing-masing 24 peratus dan 14 peratus.
Pembiayaan aset dalam tempoh kajian itu pula meningkat kepada RM9.51 bilion, daripada RM9.06 bilion pada Jun 2007, manakala jumlah deposit pelanggan hingga 31 Disember 2008 berjumlah RM20.95 bilion, berikutan pengenalan produk simpanan dan deposit baru.
Jumlah deposit itu juga menyediakan nisbah pembiayaan-kepada-deposit Bank Islam sebanyak 52.5 peratus dalam tempoh berkenaan.
Zukri menambah, pembiayaan pengguna akan kekal menjadi perniagaan utama Bank Islam dengan tumpuan kepada segmen yang lebih menguntungkan.
Pada masa sama, katanya, program sedang dilaksanakan untuk mempercepatkan pertumbuhan segmen perniagaan lain yang menawarkan asas aset pembiayaan lebih luas.
“Bagi memastikan asas yang kukuh dan pertumbuhan menggalakkan, bank akan terus melabur dalam rangkaian cawangan dan pembangunan perniagaan serta memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaan tertentu,” katanya.
Beliau berkata, Bank Islam menambah tiga cawangan baru dalam tempoh kewangan yang dikaji masing-masing di Kelana Jaya, Ampang dan Sandakan.
Bank turut membuka pusat tukaran mata wang asing di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang, katanya.
- BERITA HARIAN