Adab sopan terhadap ibu bapa

Adab sopan yang semakin terhakis dalam diri anak-anak hari ini menyebabkan ibu bapa berasa terpinggir dalam meniti usia senja. Apatah lagi cabaran terbesar dihadapi ibu bapa tatkala anak semakin dewasa dan meninggalkan rumah untuk membina kehidupan berkeluarga sendiri, ialah rasa kesunyian dan mula dihidapi pelbagai penyakit.

Benarkah anak-anak zaman kini atau mungkin masa depan semakin tidak bertimbang rasa, atau cara didikan ibu bapa masa kini dianggap gagal dalam membina adab sopan? Persoalan ini dilontarkan Ahli Lembaga Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Dr Sidek Baba pada Seminar Memahami Pelbagai Budaya anjuran IKIM baru-baru ini mengenai Adab Sopan Anak Terhadap Ibu Bapa.

Adab sopan diertikan sebagai sesuatu yang sifatnya sepanjang hayat seperti rasa hormat, tidak meninggikan suara terhadap mereka, malah patuh setiap suruhan dan larangan diberikan. Sayangnya ia selalunya berlaku ketika meniti zaman kanak-kanak dan apabila anak berkenaan semakin dewasa dan memiliki keluarga sendiri, ibu bapa merasakan dirinya terpinggir.

Prof Sidek berkata, peri pentingnya adab sopan dan didikan dikisahkan dalam surah Lukman (ayat 14) mengenai asas diberi supaya anak menghormati ibu bapa, membuktikan Islam menganjurkan supaya rasa kasihan dan kasih sayang perlu ada terhadap ibu bapa.

Oleh itu, katanya, kepentingan adab sopan terhadap ibu bapa adalah suatu yang tidak dapat dielakkan.

“Ketika kecil anak-anak bersama ibu bapa, tetapi apabila semakin dewasa dan berumahtangga, tidak ramai di kalangan anak-anak tinggal bersama orang tua mereka. Sedangkan ibu bapalah yang memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak sehingga berjaya dalam kehidupan, kebendaan, pangkat dan darjat, tetapi ramai anak belum tentu menjaga ibu bapa apabila mereka tua nanti.

“Hal ini ditanya kerana dalam Islam anak adalah amanah dan harta. Pendidikan dan adab sopan serta kasih sayang adalah satu keperluan. Anak-anak tidak dibesarkan dalam kemewahan dan kesenangan, tetapi harus disuburkan dengan kesedaran dan keinsafan bahawa ibu bapa adalah sebahagian daripada hidup kita,” katanya.

Mengulas mengenai pendidikan, katanya saat paling genting mendidik anak-anak iaitu daripada perut ibu, lahir hari pertama, meningkat ke alam mumayyiz sehingga ke tahap akil baligh.

“Adab sopan harus dibina dengan bijaksana. Ibu bapa harus menggunakan bahasa yang lembut dan menyukakan hati anak-anak, ibu bapa menegur dengan ikhlas dan bersifat mendidik, ibu bapa menjadi contoh terbaik bagi anak-anak.

“Masa berkualiti sering diberikan kepada mereka, dan perhubungan dengan anak-anak sentiasa segar dan anak mereka selesa berkongsi masalah dan mencari pedoman,” katanya.

Kekebalan jiwa dan hati amat penting dalam proses pendidikan anak-anak supaya ia tidak mudah cair dengan -pengaruh negatif yang bakal merosakkan peribadi mereka. Contoh terkini jelas menunjukkan anak muda mudah tewas dengan cabaran hiburan, gaya hidup, gaya berpakaian dan gaya fikir yang dangkal akibat kekebalan berfikir, hati serta jiwa tidak dibina pada awal kehidupan sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka tewas dalam mencari makna kehidupan dan erti kebahagiaan.

Kumpulan yang cicir inilah yang mempunyai kemungkinan besar menjadi beban kepada ibu bapa dan akhirnya tidak memiliki adab sopan sewajarnya terhadap ibu bapa mereka dan meninggalkan masalah dalam masyarakat. Bayangkan yang ditinggalkan itu ialah anak yang ----toleh ia bakal membawa bencana pada diri dan orang lain.

Beliau berkata, kalau kita berpendapat bahawa tanggungjawab membesar dan mendidik adalah tanggungjawab ibu bapa semata-mata, apabila mereka dewasa dan mampu mencari hidup sendiri, maka ibu bapa dirasakan tidak perlu lagi. Inilah yang sedang berlaku akibat daripada rasa sombong, lupa diri kerana tarikan duniawi.

Katanya, lebih menyedihkan jika ibu atau bapa kehilangan pasangan hidup dan hidup tanpa anak yang menemani, kesunyian dan kesepian menjadi amat ketara. Tanpa anak mempedulikan, ibu atau bapa mungkin menyambung kehidupan di rumah orang tua.

“Hadis Rasulullah memberikan asas yang sangat menarik berkaitan apa yang dibincangkan di sini. Apabila mati anak Adam maka terputus hubungan amal manusia kecuali tiga perkara yang ditinggalkan ketika hidupnya. Kedua ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain. Ketiga meninggalkan anak yang soleh dan solehah yang bakal mendoakan kedua ibu bapanya.

“Meninggalkan anak yang soleh berkait rapat dengan jenis pendidikan yang diberi oleh ibu bapa. Anak-anak yang mempunyai didikan adab sopan, nilai agama dan memiliki keteguhan diri sebagai seorang Islam adalah gambaran anak yang memiliki sifat amal soleh. Anak-anak yang beramal soleh sentiasa mengaitkan dirinya, perjuangannya dan sumbangannya dalam hidup adalah untuk mendapatkan keredaan Allah,” katanya.

Anak sebegitu amat mementingkan penghormatan terhadap ibu bapa, menjaga mereka ketika tua, menjaga kebajikan dan keuzuran mereka, tidak mahu melukakan hati mereka walaupun orang tua banyak ragam kerenahnya, cenderung menimbulkan keceriaan dan kegirangan di kalangan mereka supaya rasa sepi dan sunyi tidak wujud di kalangan ayah serta ibu mereka yang sudah tua, dan menutup mata dalam belaian anak-anak yang memiliki adab sopan tinggi.

Inilah gambaran anak soleh hasil didikan yang baik di kalangan ibu bapa yang sentiasa berfikir bahawa anak soleh tidak saja berguna sewaktu hidup, tetapi anak soleh akan sentiasa terhubung dengannya apabila mereka kembali bertemu Allah.

Sayang biar berpada

PROF Sidek tidak menafikan kasih sayang terhadap anak sukar digambarkan dengan kata-kata, malah tidak keterlaluan sekiranya dikatakan ada ibu bapa yang sanggup menipu, semata-mata untuk kebaikan anak masing-masing.

Tetapi, kemewahan dan kebendaan bukan aspek utama, sebaliknya mencintai Allah kerana dengan kecintaan itulah yang bakal melahirkan anak beradab sopan terhadap ibu bapa. Sekiranya dibentuk dengan kebendaan semata-mata, mungkin anak akan menjadi insan mementingkan diri sendiri, tidak mengendahkan ibu bapa hingga akhirnya membawa mereka tinggal di rumah orang tua.

“Bayangkan pada saat itu anak kita tidak ada lagi adab sopan kepada ibu bapa. Kita menjadi orang terbiar dan mengharung sunyi dan sepi seorang diri. Kita ditimpa keuzuran yang tentunya memerlukan perhatian dan bantuan. Dan sekiranya kasih-sayang, bantuan dan simpati tidak datang daripada anak, apa perasaan kita pada waktu itu.

“Soalan ini ditanyakan supaya timbul keinsafan kepada diri bahawa semua orang akan tua dan bakal meninggalkan alam ini. Apakah sebelum kita pergi adab sopan anak-anak berkekalan terhadap ibu bapa. Apakah kasih sayang tetap subur di hati kita terhadap mereka.

“Apakah ada masa kita peruntukkan untuk menelefon mereka di rumah apabila kita berjauhan. Apakah kita ziarahi mereka di kampung pada hujung minggu atau waktu cuti. Apakah kita membawa bersama anak-anak apabila kembali menziarahi datuk dan nenek. Kehadiran cucu adalah terbaik untuk datuk yang sepi dan sunyi. Apakah perasaan kita pasti bahawa ibu bapa yang sudah tidak bekerja mempunyai sumber yang cukup untuk hidup,” katanya.

Tegasnya, hal berkenaan dipersoalkan kerana dalam Islam, anak adalah amanah dan harta. Pendidikan adab sopan dan kasih sayang adalah suatu keperluan. Anak-anak tidak hanya dibesarkan dalam kemewahan dan kesenangan, tetapi harus disuburkan dengan kesedaran dan keinsafan bahawa ibu bapa adalah sebahagian daripada hidup kita.

Sekiranya anak berpendapat bahawa tanggungjawab membesar dan mendidik kita adalah tanggungjawab ibu bapa semata-mata dan apabila mereka dewasa dan mampu mencari hidup sendiri maka ibu bapa dirasakan tidak perlu lagi dalam hidup kita.

Inilah yang sedang berlaku akibat dari faham sombong, lupa diri dan kerana tarikan kebendaan, nafsu nafsi dan faham individualistik yang tinggi. Lebih malang lagi jika berlaku kematian salah seorang dari ibu bapa atau kedua-duanya maka anak-anak amat gagah untuk merebut harta tinggalan.

“Pendidikan adab sopan iaitu melakukan sesuatu dalam keredaan Allah bakal menanamkan rasa sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap ibu bapa. Ibu bapa adalah satu-satunya dalam hidup kita. Jasanya membesarkan kita harus dikenang dengan adab sopan menjaganya sewaktu tua supaya perginya bertemu Allah adalah pergi yang diredai,” katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url