Gosok gigi tidak memadai

Menggosok gigi saja tidak cukup untuk menghilangkan plak di dalam mulut apatah lagi gigi memenuhi kira-kira 23 peratus ruang mulut kita.

Menggosok gigi bermakna hanya satu perempat bahagian mulut dibersihkan, tidak termasuk di celah gigi dan kawasan yang sukar dicapai.


Kajian di seluruh dunia pula mengesahkan kebanyakan individu tidak dapat mengekalkan tahap kebersihan mulut secukupnya untuk mengawal pembentukan plak dengan hanya menggosok gigi kerana tidak menggosok cukup lama atau menggosok gigi dengan teknik kurang bersesuaian.

Menurut Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr S Sivanesan, penjagaan gigi di Malaysia sudah berubah daripada merawat kesakitan kepada pencegahan.

Dua sebab utama kehilangan gigi adalah disebabkan kerosakan gigi dan penyakit gusi yang selalunya bermula dengan pembentukan plak bakteria pada gigi.

Bagaimanapun, kedua-dua masalah ini dapat dikurangkan dengan ketara dan mungkin dapat dielakkan sepenuhnya melalui amalan kesihatan mulut yang betul yang dilakukan secara kerap.

Usaha bersama antara doktor gigi dan pesakit juga membantu mengelakkan rawatan pergigian untuk jangka panjang.

"Pesakit boleh membantu mengurangkan risiko penyakit periodontik (atau lebih dikenali sebagai penyakit gusi bengkak yang menyebabkan kehilangan gigi) dengan mengawal pembentukan plak.

"Ini boleh dilakukan sebahagiannya melalui rutin kesihatan mulut harian dengan menggosok gigi, menggunakan flos dan menambah pencuci mulut antiseptik bagi kawalan plak yang lebih baik," katanya pada majlis pelancaran Lengkapkan Penjagaan Oral Harian Anda dengan Pencuci Mulut, baru-baru ini.

Dalam usaha membimbing dan mendidik rakyat Malaysia mengenai penjagaan mulut yang betul, pencuci mulut jenama Listerine dengan kerjasama Persatuan Pergigian Malaysia melancarkan kempen berkenaan yang menekankan kepentingan penjagaan mulut menyeluruh dengan cara yang menarik dan komprehensif.

Pengarah Urusan Johnson & Johnson, Joyce Lee, berkata kempen terbabit diharap dapat mencapai objektifnya termasuk memperbetulkan persepsi bahawa dengan menggosok gigi sudah memadai untuk menghindari masalah gigi.

Ia turut memberi kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai langkah betul penjagaan mulut dengan menambah pencuci mulut Listerine untuk melengkapkan rutin harian mereka.

Kempen pendidikan itu membabitkan pendekatan menarik iaitu kenderaan bergerak berbentuk mulut manusia yang akan menjelajah ke seluruh negara sepanjang tempoh kempen.

"Listerine Mobile Mouth (nama kenderaan terbabit) akan menjemput orang awam untuk menyaksikan sendiri betapa pentingnya penjagaan mulut yang baik yang turut disertai aktiviti interaktif menyeronokkan," katanya.

Kenderaan itu akan menjelajah ke pasar raya besar dan pasar raya, pejabat serta kompleks beli-belah utama di Semenanjung Malaysia sepanjang Februari diikuti pada Jun tahun ini.

Kajian Kesihatan Oral Orang Dewasa Malaysia dijalankan pada 2000 menunjukkan secara amnya kesihatan mulut bagi mereka yang berumur 15 tahun ke atas sudah meningkat, sebahagian besarnya disebabkan adanya fluorida dalam bekalan air.

Namun, ada juga kawasan yang mempunyai masalah serius dan kekurangan sumber mencukupi yang memerlukan rawatan pergigian, maklumat kesihatan mulut serta mencabut gigi.

Pelan Kesihatan Oral Kebangsaan bagi 2010 memberi tumpuan untuk mengurangkan empat keadaan di mana dua daripadanya adalah karies gigi dan penyakit periodontik.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url