Hisap cerut simbol status?
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Rencana ini ditulis bukan bermaksud untuk 'merestui' jauh sekali menggalakkan aktiviti menghisap cerut atau yang 'sekutu' dengannya. Sememangnya diketahui segala yang berkaitan dengan pengambilan bahan-bahan berasaskan tembakau seperti merokok, menghisap cerut mahupun mengunyah tembakau memudaratkan kesihatan.
Tabiat buruk ini cukup sinonim dengan penyakit-penyakit berbahaya terutama kanser paru-paru. Justeru, pelbagai kempen telah dijalankan secara bersungguh-sungguh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membangkitkan kesedaran mengenai bahaya merokok termasuk menghisap cerut.
Peliknya bagi sesetengah golongan amalan menghisap cerut masih lagi dianggap sebagai simbol status yang dimiliki oleh golongan berada, kenamaan, aristokrat, tokoh politik, usahawan berjaya dan selebriti.
Dengan mengenakan pakaian sut ribuan ringgit, bertempat di kelab-kelab atau majlis-majlis elit, fenomena menghisap cerut telah menjadi salah satu santapan pelengkap kepada golongan ini.
Selain itu, sambil duduk berbincang urusan perniagaan atau sembang-sembang kosong untuk menghilangkan rasa stres daripada kesibukan bekerja, cerut sering menjadi teman berseronok di kelab-kelab cerut yang wujud di beberapa hotel bertaraf empat dan lima bintang di ibu kota.
Cerut iaitu daun tembakau kering yang dipintal dan digulung di dalam helaian daun dianggap sebagai simbol status dan doktrin yang mesti diikuti oleh mereka yang mahu menjadi gentleman.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini, tarikan cerut sudah berakar kepada golongan pertengahan yang mahu menampilkan imej perantau, maskulin mahupun misteri.
Bahkan, menghisap cerut ini bukan lagi milik 100 peratus lelaki tetapi telah mula dimonopoli oleh wanita yang inginkan kesaksamaan gender. Walaupun bilangannya tidak banyak tetapi telah mula meresap dalam kehidupan masa kini.
Pengurus Makanan dan Minuman Hotel Eastin, Zari Hamid berkata, jika dahulu mengikut sejarahnya, menghisap cerut adalah ritual kaum orang Asli di bumi terpencil iaitu Cuba di Amerika Selatan.
Kini ia menjadi trend generasi mewah material yang mencetuskan identiti dan status eksklusif.
Katanya, penyebaran yang dibawa oleh anak-anak kapal Christopher Columbus pada tahun 1492 ke serata dunia telah menyebabkan budaya ini semakin ditiru dan diterima di kalangan masyarakat Asia dan Malaysia khususnya.
''Ini terbukti dengan wujudnya banyak kedai-kedai menjual cerut yang tubuh bagai cendawan yang bukan sahaja memasarkan hampir beratus-ratus jenis cerut.
"Begitu juga dengan kelab-kelab cerut seperti mana yang terdapat di Hotel Eastin, Cigar Divan yang khusus untuk penghisap cerut menikmatinya dalam suasana relaks dan mendamaikan.
''Peningkatan bilangan penghisap cerut ini juga ekoran daripada kemajuan negara dan peningkatan status ekonomi penduduk yang semakin mewah dan mengikuti trend gaya hidup semasa.
''Jika dahulu kebanyakan yang menghisap cerut terdiri daripada golongan kenamaan, ekspatriate dan ahli perniagaan yang berumur 40 tahun ke atas tetapi kini para eksekutif muda yang berusia pertengahan 30-an telah mula menampakkan minat ke arah ini. Ini kerana gaya hidup yang berubah selaras menuju negara maju,'' katanya ketika ditemui di Hotel Eastin, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menurut Zari, peningkatan penghisap cerut inilah menyebabkan hotel-hotel menyediakan tempat khas untuk golongan ini menikmati cerut dalam suasana yang relaks sambil mengadakan pertemuan dengan rakan niaga atau rakan-rakan.
''Di Hotel Eastin, Cigar Divan yang dibuka pada tahun 1998 memulakan operasinya dari 2 petang hingga 1 pagi. Di sini, pengunjung bebas menghisap cerut sambil melakukan pelbagai aktiviti yang merelakskan atau perbincangan.
''Mereka juga boleh menempah makanan dan minuman ringan serta cerut daripada 100 jenis yang dijual di Cigar Divan.
''Selalunya pelanggan yang mengunjunginya di sini inginkan suasana relaks, privacy dan damai setelah penat menjalankan tugas seharian atau makan malam di hotel atau sebagai lokasi menjalankan perbincangan urusniaga sambil menghisap cerut,'' jelasnya.
Tambah beliau, di Cigar Divan, kebanyakan cerut yang dijual adalah dari negara Cuba.
''Kami turut menyediakan Humidor Room bagi menyimpan semua jenis cerut ini. Cerut perlu disimpan di tempat yang mempunyai kelembapan antara 19 darjah Celcius hingga 22 darjah Celcius dengan 83 peratus kelembapan. Jika tidak, ia akan kering dan pecah.
''Perlu diketahui juga, bukan semua penghisap cerut ialah penghisap rokok. Bagi golongan ini, menghisap cerut adalah untuk berseronok. Ini kerana asap daripada cerut itu tidak disedut ke dalam, ia dihembus keluar. Sebab inilah juga, penghisap cerut tidak akan rasa ketagih seperti mana penghisap rokok,'' katanya yang juga penghisap cerut sejak 1997 lagi.
Tambahnya, golongan ini hanya untuk berseronok dengan rasa 100 peratus tembakau. Bahkan, cerut ini tidak dihisap di rumah, tetapi di kelab-kelab, parti, majlis makan malam atau perjumpaan dengan rakan-rakan.
''Saya menghisap cerut hanya pada majlis-majlis tertentu sahaja dan bukannya selalu. Ini kerana harganya mahal dan ia tidak menimbulkan ketagih seperti mana rokok.
"Kerana harganya yang mahal jugalah menyebabkan seseorang penghisap cerut tidak menghisapnya selalu.
"Cerut mahal kerana diperbuat 100 peratus daripada tembakau dan buatan tangan. Di Cigar Divan, harga paling mahal ialah Cohiba Esplendidos yang berharga RM232 sebatang dan paling murah ialah Fonseca (RM40),'' katanya yang telah 25 tahun berkecimpung sebagai seorang hotelier.
Beliau memberitahu, di Cigar Divan, seseorang pengunjung akan ditanya jenis potongan cerut yang dikehendaki sebelum menyerahkannya untuk dihisap.
''Jenis potongan cerut akan memberi rasa yang berbeza. Terdapat tiga jenis potongan iaitu, potongan kecil, sederhana dan penuh. Semakin panjang atau penuh potongan akan memberi rasa yang 'kuat' tembakau dan asap yang dikeluarkan banyak,'' ujarnya sambil menghisap cerut pemberian salah seorang penggulung cerut terkenal Cuba.
Sementara itu, menurut Pengurus Besar Cigars Lounge, Ray Ooi permintaan kepada pelbagai jenis cerut di negara dan perubahan gaya hidup yang menyebabkan beliau menceburi perniagaan ini pada 2005.
''Kini selain daripada jenis premier iaitu yang buatan tangan, Cigar Lounge turut menjual cerut mesin yang hanya berharga RM10 untuk lima batang. Walaupun ia tidaklah seenak buatan tangan, tetapi bagi yang tidak mampu, inilah pilihannya,'' katanya ditemui di kedainya di Hartamas Shopping Centre, baru-baru ini.
Menurut Ray, kualiti sesuatu cerut bergantung 100 peratus pada prosesnya. Malah, kualiti sebatang cerut buatan tangan dipercayai bergantung kepada mood atau perasaan seseorang penggulung cerut sewaktu menghasilkannya.
''Ini kerana setiap cerut adalah sejenis hasil seni. Begitu juga dengan perasaan dan jiwa seseorang penggulung yang dipanggil torcedor akan mempengaruhi mutu gulungan.
''Di kilang, setiap penggulung cerut hanya menggulung sejenis cerut. Ini penting untuk memastikan konsistensi kualiti cerut yang dihasilkan. Misalnya, penggulung cerut berkelayakan tahap tertinggi iaitu tahap sembilan biasanya hanya dibenarkan menggulung cerut besar bagi memastikan kualiti cerut itu terjamin.
''Selain kemahiran menggulung, kepakaran memilih dedaun tembakau dan menggabungkan rasa mengikut permintaan pelanggan adalah satu kemestian untuk semua penggulung cerut.
''Penghasilan sebatang cerut yang baik adalah satu proses yang menyeluruh. Daripada proses penanaman tembakau, penuaian sehinggalah pemilihan daun menggulung dan pembungkusan perlu dilakukan secara teliti,'' katanya.
Tambahnya yang mengakui cerut dari Cuba adalah yang terbaik kerana daun tembakau adalah 100 peratus ditanam di negara itu sedangkan cerut yang datang dari Indonesia, Nicaragua, kurang enak kerana mengandungi campuran daun dari tempat-tempat lain.
''Di Cigars Lounge, antara jenis cerut yang dijual ialah Cohiba, Hoto De Monterrey, Romeo Y Julieta, Villiger, Davidoff, Trinidad dan Fonseca.
''Cohiba selalu dijadikan pilihan oleh kerabat diraja, orang kenamaan dan orang berada. Ini kerana kualitinya terbaik dan harganya ratusan ringgit sebatang,'' ujarnya yang turut mempunyai sebuah lagi cawangan di City Square Centre, Kuala Lumpur.
Jelas lelaki berasal dari Alor Star ini, kebanyakan pelanggan yang datang ke kedai, selain membeli cerut, turut membeli produk aksesori cerut seperti kotak penyimpan cerut yang dipanggil humidor, tempat abuk cerut, pemotong, penebuk, pemetik api.
''Bagi penghisap cerut, mereka perlu mempunyai aksesori ini kerana jika tidak, mereka tidak boleh menghisap cerut. Contohnya pemotong, jika menggunakan gunting biasa, cerut akan retak dan pecah. Begitu juga dengan humidor, jika tidak disimpan dalam tahap kelembapan yang terdapat dalam kotak tersebut, cerut tidak tahan lama,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, melayan pelanggan atau mengadakan perbincangan urusniaga atau majlis-majlis tertentu adalah waktu beliau menghisap cerut.
''Saya tidak kerap menghisapnya. Jikalau ada perbincangan barulah hisap. Ini kerana untuk menghabiskan sebatang cerut makan masa satu jam.
''Pada saya, menghisap cerut ini telah menjadi gaya hidup. Ia suatu yang menyeronokkan malah lebih selamat daripada menghisap rokok, di mana cerut mengandungi 100 organik, tidak ada bahan kimia manakala rokok mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser,'' katanya.
- UTUSAN