Komentar -Pemilihan tentukan sejauh mana UMNO mahu berubah

Samaada dilihat adil atau tidak, disukai atau dibenci, pilih kasih atau kekurangan bukti, keputusan Lembaga Disiplin Umno melarang seorang calon Timbalan Presiden, mendapati bersalah seorang calon Ketua Pergerakan Pemuda dan menggantung beberapa ahli, bersabit dengan politik wang menjelang pemilihan parti Rabu dan Khamis ini, membuktikan Umno masih mahu memerangi gejala yang sudah berakar umbi sekian lama pada setiap kali menjelang pemilihan peringkat tertinggi parti.

Pengumuman Panel Rayuan Umno yang menolak rayuan atas keputusan Lembaga Disiplin, mengukuhkan lagi isyarat itu. Walaupun tindakan Lembaga Disiplin menghukum ahli yang didapati melakukan kesalahan itu bukan perkara baru, begitu juga dengan kontroversi selepas setiap kali ia membuat keputusan, ini adalah pertama kali calon bagi jawatan utama dikenakan tindakan sebelum pertandingan.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin mendapati seorang Naib Presiden bersalah atas tuduhan politik wang tetapi ia dibuat selepas pertandingan dan beliau bukan saja digantung keahlian, malah terpaksa meletak jawatan sebagai Menteri Kabinet.

Keputusan Lembaga Disiplin Selasa lalu memberi mesej bukan setakat ahli parti itu, tetapi kepada rakyat yang sebahagiannya sudah hilang simpatinya kepada Umno bahawa anggapan kalangan tertentu kononnya mereka bebas melakukan rasuah dan penyelewengan selagi setia menyokong pucuk pimpinan, tidak benar.

Dan jika boleh dibaca daripada temuramah dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, yang disiarkan Berita Minggu semalam, ia adalah permulaan kepada usaha ‘pembersihan’ Umno untuk memulihkan semula keyakinan rakyat yang terbukti pudar pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

“Umno dilihat sebagai parti yang masih mengamalkan budaya politik wang, gejala yang tidak sihat, salah guna kuasa. Jadi, macam mana kita hendak tangani perkara ini. Saya fikir cara menanganinya adalah membuat reform (perubahan) termasuk structure reform dalam Umno.

“Kalau kita tidak lakukan structure reform dalam Umno, termasuk kaedah pemilihan, kita tidak boleh membanteras masalah politik wang. Kalau kita tidak berubah, kita akan diubah,” katanya, yang sebelum Khamis lalu turut meminta ahli parti mengambil pendirian tegas sama ada mahu memulihkan Umno atau membiarkan amalan tidak beretika setiap menjelang pemilihan parti, berterusan.

Bukan sesuatu yang sukar, terutama selepas pilihan raya umum lalu, untuk membayangkan kehancuran yang menanti Umno jika langkah tegas membanteras politik wang dan perubahan struktur termasuk kaedah baru pemilihan tidak dibuat daripada sekarang. Apabila wang digunakan sebagai sogokan membeli undi dan pengaruh, maka akan hilanglah segala iltizam dan idealisme perjuangan.

Jika amalan ini menjadi budaya, hanya mereka yang kaya dan sanggup membelanjakan berjuta-juta ringgit akan menjadi pemimpin, manakala yang pandai, berwibawa dan mempunyai nilai kepemimpinan yang baik tetapi tidak berwang akan diketepikan.

Semangat dan pengorbanan untuk parti hanya menjadi mainan bibir, sebaliknya wanglah yang menjadi matlamat sebenar. Oleh kerana sokongan ahli bukan lagi lahir daripada iltizam dan idealisme perjuangan Umno, maka sebarang kerja yang hendak dilakukan mestilah ada upah dan ganjarannya. Keadaan ini sudah berlaku terutama dalam beberapa pilihan raya kecil apabila jentera parti tidak bergerak tanpa wang.

Hakikatnya perjuangan asal Umno mula kabur kepada penglihatan ahli. Ini bukan bermakna perjuangan Umno tidak boleh berubah mengikut keadaan dan cabaran tetapi matlamat asal perlu menjadi tonggaknya serta disesuaikan dengan matlamat semasa. Matlamat asal Umno ialah menyatupadukan orang Melayu bagi kesejahteraan mereka. Umno ditubuhkan bagi menentang rancangan Inggeris menghapuskan hak orang Melayu atas tanah airnya sendiri.

Bertolak dari situlah, Umno menyatukan orang Melayu dan berjuang mendapatkan kemerdekaan serta menebus maruah bangsa melalui pendidikan dan bahasa kebangsaan, kebebasan daripada kemiskinan dan kedudukan ekonomi. Matlamat asal inilah yang menjadikan Umno sebuah organisasi yang kukuh. Walaupun dalam sejarahnya Umno menghadapi pelbagai krisis, dengan berpegang teguh pada matlamat asalnya, iaitu bersatu-padu, krisis itu dapat diatasi dan Umno bangkit semula.

Akibat kekaburan matlamat asal inilah, menularnya politik wang dalam Umno sehingga ia memerlukan perubahan struktur, yang menurut Najib, akan dimulakannya sebaik saja mengambil alih pucuk pimpinan parti nanti. Namun beliau sendiri mengaku ia sesuatu yang sukar.

Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengaku sebelum beliau berundur dulu bahawa salah satu kekecewaannya ialah kegagalan menghapuskan politik wang dalam parti, manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berbuih mulut mengenai pembanterasan rasuah.

Soalan sama ada Umno benar-benar mahukan perubahan serta kembali kepada matlamat asal perjuangannya atau tidak, hanya akan terjawab pada perhimpunan kali ini. Walaupun pucuk pimpinan menggariskan ciri-ciri kepemimpinan yang diperlukan untuk memastikan Umno terus relevan dan menerajui Barisan Nasional untuk bangkit semula pada pilihan raya umum kira-kira empat tahun lagi, sejauh mana harapan itu menjadi kenyataan bergantung kepada keputusan pemilihan kali ini.

Dalam kata lain, semuanya di tangan kira-kira 2,000 perwakilan yang bakal memilih barisan baru kepemimpinan Umno nanti. Selepas tempoh berkempen sekian lama, hanya perwakilan yang dapat menilai kebolehan, keikhlasan dan kewibawaan calon-calon berkenaan. Perwakilan dapat membezakan antara calon yang menggunakan wang setakat perlu untuk berkempen dengan yang mencurahkan wang untuk membeli mereka.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url