Kuala Lumpur dilanda banjir kilat


Kira-kira 40 orang terperangkap dalam bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan lebih 300 kenderaan ditenggelami air di sekitar ibu negara, manakala hampir semua jalan utama mengalami kesesakan teruk akibat banjir kilat, petang semalam.

Hujan lebat hampir tiga jam di ibu kota sejak jam 3 petang itu menyebabkan air di beberapa sungai terutama Sungai Gombak naik mendadak dan melimpah keluar di kebanyakan kawasan rendah.

Antara kawasan teruk dilanda banjir kilat yang bermula kira-kira jam 6 petang itu ialah Jalan Ipoh, Jalan Duta, Segambut, Jalan Kinabalu, Puduraya, PWTC, Bulatan Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, Jalan Rahmat, Jalan Sentul dan Jalan Kasipillay.

Di PWTC, kira-kira 40 orang terperangkap di tingkat dua bangunan itu selepas bekalan elektrik serta jalan keluar terputus berikutan air naik mendadak sehingga menenggelamkan tingkat bawah dan bawah tanah bangunan itu.

Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Wilayah Persekutuan, Shahrul Kamar Mohd Johari, berkata mangsa yang terpaksa bergelap dibawa keluar menggunakan dua bot.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 200 kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta tingkat bawah bangunan sama turut ditenggelami air dan tidak dapat dibawa keluar.

Sementara itu, di Jalan Ipoh, sekurang-kurangnya 20 kenderaan yang diletakkan di kawasan itu selain beberapa baris kedai ditenggelami air yang melimpah dari Sungai Batu, sehingga mencecah hampir dua meter.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (Bahagian Operasi), Azizan Ismail, berkata Balai Bomba Sentul turut dinaiki air namun semua kenderaan dan peralatan tidak terjejas.

Beliau berkata, pihaknya menumpukan operasi di PWTC untuk membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan mengepam air keluar dari tempat letak kenderaan bawah tanah.

Banjir kilat turut menyebabkan perkhidmatan semua rangkaian LRT Kelana Jaya terjejas berikutan bekalan elektrik terputus kira-kira jam 6.00 petang. Rangkaian Pengangkutan Integriti Deras Sdn Bhd (RapidKL) dilaporkan berkata, perkhidmatan LRT akan terus tergendala sehingga bekalan elektrik pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart), Mohd Fuad Kamal Ariffin, berkata Smart tiada kaitan dengan kejadian banjir kilat di Jalan Ipoh-Segambut memandangkan limpahan air adalah daripada Sungai Gombak.

Beliau berkata, sistem Smart yang beroperasi mengalirkan air banjir daripada Sungai Klang dan Ampang berfungsi seperti biasa semalam apabila lebihan air kedua-dua sungai itu dilencongkan ke kolam tadahan Taman Desa kira-kira jam 5 petang.

“Berikutan hujan lebat semalam, lebihan air Sungai Klang dialirkan melalui Terowong Smart kira-kira jam 5 petang namun ia masih dalam keadaan terkawal iaitu pada Mod 1, hanya di bawah 70 meter sesaat dan tidak memerlukan laluan kenderaan ditutup.

“Bagi kes banjir kilat yang mengakibatkan beberapa kawasan di ibu negara ditenggelami air, lebihan air dari Sungai Gombak itu adalah di luar bidang kuasa kami kerana ia sepatutnya dialirkan ke Kolam Takungan Baru,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url