Saiful buat aduan polis blog siar artikel berunsur fitnah


Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis di sini, semalam terhadap satu blog yang didakwa mengeluarkan enam artikel berunsur memfitnah dan berniat jahat terhadapnya.

Blog itu berpusat di Pahang mendakwa Saiful menderita akibat kemaluannya bernanah dan sukar untuk membuang air kecil dan besar selepas melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Mohd Saiful Bukhari, 23, hadir di Balai Polis Damansara jam 11 pagi bersama bapanya, Azlan Mohd Lazim dan peguam, Zamry Idrus.

Katanya, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat penulis blog dan pengendali laman web berkenaan serta individu yang menghantar e-mel berangkai memfitnahnya.

"Mereka itu mendakwa kononnya saya sakit tenat kerana termakan sumpah laknat yang saya buat. Ini pembohongan besar dan fitnah jahat yang tidak benar sama sekali. Saya amat sihat dan tiada apa-apa," katanya.

Saiful yang berpakaian kemeja berlengan panjang berwarna putih dan bersongkok berkata ketika ini beliau tidak berkerja dan menyambung pelajaran secara persendirian.

Sementara itu Zamry berkata, pihaknya sedang dalam proses meneliti segala maklumat yang ada sebelum memfailkan saman terhadap blog yang dipercayai didalangi sebuah parti politik.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url