Pakar perundangan berbeza pendapat politik di Perak
Mereka dihubungi memberikan alasan dan hujah tersendiri bagi menyokong kenyataan masing-masing.
Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Shad Saleem Faruqi, berkata sidang tergempar itu tidak sah kerana gagal memenuhi Peraturan Mesyuarat 8(1) yang memerlukan notis bertulis kepada semua anggota DUN daripada Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri.
Beliau berkata, sidang DUN itu dianggap tidak sah sekiranya notis tidak dihantar Setiausaha DUN, walaupun setuju ia boleh diabaikan.
"Pengabaian itu mesti dibuat dalam DUN dengan mengisytihar Peraturan Mesyuarat berkenaan boleh diabaikan atau membelakangkan tarikh pengisytiharan bahawa peraturan mesyuarat itu tidak perlu dipatuhi.
"Mengenai kesahihan sidang di luar bangunan DUN, Speaker boleh menakrifkan mana-mana lokasi yang dipilih sebagai tempat persidangan yang sah," katanya.
Peguam Sivakumar, Tommy Thomas berkata persoalan mengenai kesahihan sidang DUN Perak di bawah pokok, kelmarin bergantung kepada faktor sama ada sidang terakhir DUN Perak pada November 2008, ditamatkan atau ditangguhkan.
"Jika ditamatkan, perkenan Sultan Perak diperlukan sebelum DUN dapat bersidang semula, tetapi sekiranya hanya ditangguhkan, Speaker boleh menyambung sidang DUN tanpa perkenan Sultan. Ini bermakna apa yang dilakukan Sivakumar, kelmarin adalah sah," katanya.
Beliau berkata, Perkara 36 Perlembagaan Perak berkaitan memanggil sidang, penamatan dan pembubaran DUN menetapkan Sultan Perak boleh menitahkan DUN bersidang dan tidak membenarkan tempoh lebih enam bulan berlalu daripada sidang terakhir.
Namun, katanya, Perkara 36 tidak menyentuh mengenai penangguhan DUN, sebaliknya Perkara 44 (1) menyebut bahawa DUN boleh menetapkan prosedurnya sendiri dan menggubal Peraturan Mesyuarat bagi memastikan sidang DUN tertib dan sopan.
Perkara 44(1) juga menerima pakai dasar perlembagaan yang membolehkan DUN menentukan prosedurnya sendiri dan kedaulatannya dalam menguruskan hal ehwal dalaman tidak boleh dipertikai atau dipersoalkan mana-mana pihak luar.
Peguam veteran, Karpal Singh, berkata Speaker DUN boleh mengisytiharkan sesuatu lokasi sebagai tempat yang sah.
"Ini lebih kurang sama seperti kes di mana seorang hakim mengisytiharkan wad hospital sebagai bilik mahkamah apabila terpaksa mengadili kes membabitkan satu pihak, sama ada plaintif atau defendan, tidak boleh di bawa ke mahkamah kerana menerima rawatan.
"Pada pendapat saya, Sivakumar bertindak mengikut bidang kuasanya seperti mana termaktub dalam perlembagaan negeri," katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenivasan pula berkata walaupun sepatutnya sidang DUN diadakan dalam bangunan yang ditetapkan, Sivakumar dan wakil rakyat yang hadir tiada pilihan lain kerana dihalang daripada memasuki dewan.
"Ramai mempersoalkan sama ada polis bertindak mengikut bidang kuasanya apabila menghalang Sivakumar dan 28 Adun Pakatan Rakyat memasuki bangunan untuk memulakan sidang tergempar itu kerana kuasa Sivakumar selaku Speaker tidak dipertikaikan.
"Ada kemungkinan polis bertindak terburu-buru berdasarkan nasihat Abdullah Antong, yang ternyata menentang arahan Sivakumar secara terbuka. Abdullah Antong sebenarnya tiada kuasa untuk putuskan atau mengisytihar sama ada sesuatu sidang itu sah atau tidak," katanya.
- BERITA HARIAN
