Petani koma dipatuk tedung ketika tidur
Seorang petani koma selepas dipatuk seekor ular tedung ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbok dekat sini tengah malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika mangsa, Khamis Hanafiah, 56, sedang tidur di atas katil di bilik utama rumahnya.
Menantu mangsa, Mohd. Noor Mohd. Aji, 33, berkata, kejadian tersebut disedari ahli keluarga selepas bapa mertuanya itu tiba-tiba menjerit dan mengadu kesakitan.
"Pada mulanya, dia tunjukkan tangan yang berdarah dan memberitahu bahawa digigit tikus.
"Apabila ditanya berulang kali, bapa mertua saya tetap berkata tangannya digigit tikus dan bukannya ular.
"Bagaimanapun, setelah kami melihat keadaannya semakin berpeluh dan menggeletar, bapa saya tiba-tiba rebah dan pengsan," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Mohd. Noor berkata, ahli keluarganya kemudian menggeledah rumah itu dan terperanjat apabila ternampak seekor ular tedung.
"Ular tedung sepanjang kira-kira 1.5 meter itu bersembunyi di celah longgokan kain berhampiran tempat bapa mertua saya tidur," katanya.
Menurutnya, dia kemudian mengambil keputusan memukul ular berkenaan sebelum memasukkannya ke dalam bungkusan dan membawa ular itu ke hospital.
"Sebaik sahaja tiba di hospital, doktor memberikan ubat anti-venom kepada bapa mertua saya," katanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, keadaan bapa mertuanya lemah dan masih belum sedarkan diri sehingga kini.
"Doktor memberitahu, bapa saya turut mengalami masalah pernafasan dan jantung berikutan kejadian itu. Kami sekeluarga berdoa semoga dia segera pulih," katanya.
- UTUSAN