Remaja belajar memandu maut kereta terputus dua
Seorang remaja yang bakal menduduki ujian memandu pada Selasa ini, maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya terlanggar sebatang pokok lalu terputus dua di Persiaran Jubli Emas, Kubang Gajah di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Muhamad Zairi Minan, 21, dikatakan sedang berlatih memandu, terbunuh di tempat kejadian manakala rakannya, Asrul Sani Jaafar, 24, yang juga pemilik kenderaan itu cedera parah dalam kejadian pukul 3.30 pagi.
Mayat Muhamad Zairi ditemui dalam sebuah tali air berhampiran selepas tercampak keluar dari kereta, kira-kira pukul 5 pagi.
Rakannya yang berada di tempat duduk belakang patah tangan kanan dan mengalami luka di bahagian kepala, kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Ketua Polis Trafik Daerah Kangar, Cif Inspektor Roslan Mohamed berkata, polis tidak menolak kemungkinan kereta yang dipandu itu adalah kereta potong kerana keadaannya terputus dua selepas terlanggar pokok.
"Kemalangan itu menyebabkan bahagian belakang kereta terbabas di tepi jalan manakala bahagian depannya pula berada kira-kira 10 meter di tepi sawah padi.
"Mayat Muhamad Zairi ditemui hampir dua jam selepas kemalangan itu apabila dia tercampak ke dalam tali air berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Roslan berkata, mangsa maut apabila mengalami pendarahan pada bahagian kepala dan rahangnya patah.
"Polis akan mengambil keterangan rakan mangsa apabila selesai menerima rawatan di hospital.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1984," ujarnya.
Sementara itu, di bilik mayat HTF, bapa mangsa, Minan Dahaman, 60, berkata, anaknya sedang dalam proses menduduki ujian memandu minggu ini.
"Saya tidak tahu anak saya itu memandu kereta semalam kerana dia hanya memiliki motosikal," katanya.
Rakan sekerja mangsa, Mohd. Nasha Arman pula memberitahu, kira-kira pukul 2 pagi ini, Allahyarham ada meminjam wang daripadanya untuk mengisi minyak kereta dengan alasan untuk pergi sekolah memandu bersama seorang lagi rakan mereka.
"Pukul 4 pagi tadi saya terkejut menerima berita mereka kemalangan kerana selalunya mereka hanya keluar untuk sekejap sahaja.
"Sehari sebelum kejadian, arwah ada berkata dengan saya, 'jika tidak puas tentang sesuatu perkara lebih baik kita berjumpa di akhirat sahaja'," katanya yang tidak faham maksud rakannya itu sehingga mendapat berita mengenai kemalangan itu.
- UTUSAN