RTM umum lima saluran baru
Empat saluran baru sedang dibangunkan ialah saluran kanak-kanak, CY; saluran sukan, Arena; saluran multi-etnik dan multi bahasa, Harmoni; dan saluran gaya hidup, Bestari.
Rancangan itu diumumkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam ucaptama pada perasmian Persidangan Industri Kreatif 2009 di sini hari ini.
"RTM sedang menjalani penstrukturan semula. Wajah baru TV1 dan TV2 dan Muzik Aktif bukan penjenamaan semula, ia bukan penghujung, ia sebahagian daripada proses berkenaan. Rancangan kami ialah untuk mengkhususkan semua saluran, dengan itu kami mewujudkan lima saluran baru.
"Walaupun platform pertama kami ialah Astro, kami akan pastikan setiap orang akan dapat menerima lima saluran baru kami. Mengenai ASO 2015, kami akan wujudkan enam zon pemancaran digital dalam negara, iaitu zon tengah, selatan, timur, utara, Sabah dan Sarawak," kata Shabery.
Beliau berkata, RTM bercadang menyiarkan Harmoni menjelang hujung tahun ini.
Shabery berkata, industri kreatif berpotensi menjadi penyumbang besar ekonomi untuk negara dari segi eksport kreatif dan hak harta intelektual. "Kita perlu mengenal pasti industri kreatif kita. Di Britain, satu daripada eksport utama ialah industri muzik. Di sana, industri kereta memerlukan bantuan kerajaan tetapi industri muzik tidak. "Semasa kelembapan ekonomi 1999, Korea telah dapat memajukan industri hiburan dan kreatif mereka hingga ia menjadi eksport utama.
"Ini peluang kita untuk memajukan industri kreatif dan mengenal pasti apa yang menjadi industri kreatif dalam segala bentuknya, sekalipun dari segi demografi dan apakah sempadannya," kata beliau.
- BERNAMA
www.bernama.com

