Semangat Bukit Gantang
Pun begitu, ia tidak menghalang perang psikologi antara UMNO dan Pas yang bermula secara rasmi sebaik sahaja selesai hari penamaan calon kelmarin.
Bezanya, hujan menyebabkan kebanyakan pekerja parti memilih untuk berada di kedai-kedai makan atau restoran daripada berkumpul di bilik-bilik gerakan.
Selain UMNO yang mempertaruhkan Ismail Saffian, 49, dan Pas meletakkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, seorang lagi calon yang berani mengambil risiko bertanding ialah Kamarul Ramizu Idris, 42 (Bebas).
Agak menarik apabila Kamarul Ramizu muncul ketika kedua-dua parti musuh tradisi ini 'bertarung' untuk membuktikan siapa lebih diterima oleh pengundi.
Di sebalik apa yang berlaku, ada beberapa persoalan yang berkisar tentang kerjasama antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketiadaan bayangan pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidur Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengiringi calon mereka yang juga bekas Menteri Besar Perak itu menguatkan lagi andaian bahawa wujud pertikaian dalaman.
Mungkin ketidakhadiran Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan boleh dikaitkan dengan perasaan 'kurang senang' beliau terhadap pencalonan Mohammad Nizar seperti yang pernah disuarakannya sejak awal-awal lagi.
Dalam masa sama, keberanian Kamarul Ramizu menawarkan diri sebagai calon Bebas di tengah-tengah kemelut yang berlaku, agak menarik perhatian ramai.
Dengan slogan 'Memperjuangkan Politik Beriman' ahli perniagaan yang berasal dari Ipoh itu tetap yakin dirinya akan mendapat sokongan.
"Konsep politik beriman akan menyatupadukan rakyat. Setiap agama percaya kepada Tuhan maka perlu tolak sifat taksub kepada parti jika mahu membangunkan negara," katanya.
Kenyataan beliau yang memilih payung sebagai simbol perjuangannya itu, sekaligus menolak ideologi yang selama ini menjadi pegangan pengikut Pas.
Apa pun, di pihak UMNO yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN), semangat Perhimpunan Agung UMNO yang masih segar telah membawa ramai pemimpin tertinggi parti untuk turut sama menggerakkan jentera parti.
Paling dipuji, sikap ramai pemimpin yang tewas jawatan tertinggi pada pemilihan parti baru-baru ini sanggup melupakan nasib yang menimpa diri demi memastikan BN berjaya merampas kembali kerusi tersebut.
Mereka ini termasuk calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, calon Ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Tun Mahathir selain tiga Menteri Besar - Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Ahmad Said (Terengganu) dan Datuk Abdul Ghani Othman (Johor).
Malah bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz yang sebelum ini telah menggerakkan jentera wanitanya, turut hadir memberikan komitmen.
Pentas Bukit Gantang membuktikan faktor menang atau kalah tidak menjadi penghalang untuk mereka bersama-sama pemimpin yang ada menyumbang tenaga seiring dengan ikrar yang dilafazkan di hadapan para perwakilan UMNO.
Ini sesuai dengan perubahan yang diuar-uarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa perlunya pemimpin UMNO mengubah sikap dan mentaliti diri kerana itu yang diharap dan ditunggu-tunggu rakyat.
Hakikatnya, penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, mencipta sejarah tersendiri apabila berpuluh-puluh ribu penyokong berusaha menampakkan sokongan kepada parti masing-masing.
Walaupun berlaku sedikit kekecohan sepanjang proses penamaan calon berlangsung, terutama membabitkan penyokong pembangkang, itu tidak menganggu tumpuan para penyokong BN yang datang bukan untuk mencari pasal.
Kedatangan mereka semata-mata kerana ingin menunjukkan kesetiaan kepada parti yang sedang berubah demi kebaikan rakyat di negara ini.
Seperti diperkatakan oleh kebanyakan penganalisis politik, kemenangan kerusi Parlimen Bukit Gantang mempunyai signifikan kepada UMNO dan Pas. Justeru, amat penting bagi UMNO untuk membuktikan hakikat kehendak ini.
Faktor sokongan padu memberi kemenangan awal kepada UMNO. Mengulas keadaan ini, Muhyiddin yang diberi tanggungjawab selaku Pengarah bagi tiga pilihan raya kecil iaitu Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dengan perubahan yang berlaku.
"Saya yakin sokongan ini merupakan petanda baik kepada masa depan UMNO yang dibawa oleh kepimpinan Datuk Seri Najib selaku Presiden," katanya.
Bagi Ismail, beliau cukup terharu dengan kesudian para pemimpin dan penyokong BN yang menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi tersebut.
"Saya berharap sokongan ini akan diterjemahkan ketika hari pengundian nanti," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.
Ismail, calon yang dipilih atas tiket Barisan Nasional (BN) merupakan calon anak tempatan berbeza dengan Mohammad Nizar dan Kamarul Amizul yang merupakan orang luar.
Sebagai anak tempatan, bekas guru ini mempunyai kelebihan kerana beliau lebih mengetahui masalah dan keperluan masyarakat setempat.
Sikapnya yang sentiasa merendah diri dan bersedia menerima teguran, sewajarnya menjadi harapan kepada para pengundi Bukit Gantang.
Gendang sudah berbunyi. Tarikh keramat 7 April ini bakal menentukan segala-galanya. Kini terpulang kepada para pengundi untuk membuat pilihan.
- UTUSAN