OIAM3 - Lagi peserta wanita tersingkir


Saban minggu peminat-peminat setia rancangan realiti One In A Million Musim 3 (OIAM 3) menyaksikan penyingkiran demi penyingkiran peserta berlaku.

Penyingkiran peserta dalam program realiti ini bukan merupakan satu perkara yang baru, kerana memang begitu format OIAM ia diperkenalkan lagi.

Berbeza dengan dua musim yang pertama, penyingkiran peserta di OIAM3 dilihat sedikit menarik apabila seorang demi seorang peserta wanita menjadi mangsa disingkirkan daripada program realiti yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta.

Bermula dengan penyingkiran Ayu, Han, Pija dan Anith, minggu lepas menyaksikan giliran Fifi mengikut jejak langkah kawan-kawannya yang lain apabila diumumkan sebagai peserta yang mendapat undian terendah sebelum persembahan minggu keenam berlangsung.

Penyingkiran Fifi, menjadikan hanya tinggal dua orang lagi peserta wanita berjuang untuk merebut hadiah lumayan yang disediakan iaitu Ester dan Amylea.

Bagi juri tetap OIAM, Paul Moss, tidak terkejut dengan keputusan tersebut, memandangkan persembahan Fifi dengan lagu Pria Terhebat pada minggu sebelumnya paling kurang menyerlah berbanding peserta-peserta lain.

Paul Moss juga tidak menafikan bakat yang ada pada Fifi, memandangkan Fifi pernah membuat persembahan yang boleh dibanggakan terutamanya pada minggu kedua dan ketiga.

"Cuma mungkin persembahan minggu kelima agak kurang memuaskan seterusnya menyebabkan Fifi mendapat undian terendah," ujarnya.

Syafinaz juga turut sependapat dengan rakannya, Paul Moss, dan percaya bakat Fifi mampu mewarnai lagi dunia hiburan kelak.

Ketika diminta mengulas sama ada penonton bias terhadap peserta lelaki berbanding wanita, Syafinaz berkata, banyak kemungkinan yang boleh dijadikan faktor penyingkiran peserta wanita.

"Secara logiknya, peserta wanita kurang menonjol berbanding peserta lelaki. Apatah lagi, peserta lelaki sendiri menunjukkan persembahan yang lebih memuaskan di samping masing-masing mempunyai gaya tersendiri.

"Hasilnya, pengundi-pengundi negara ini menterjemahkan keadaan tersebut dengan memberikan undian terendah kepada peserta wanita.

"Bukan tidak pernah kami ingatkan sebelum ini, namun ada lagi peserta yang tidak menunjukkan peningkatan daripada kualiti suara, gaya dan persembahan pentas serta terus selesa berada di zon selamat." kata wanita tinggi lampai itu.

Bagi Syafinaz, setakat minggu tersebut, hanya Tomok dan Ester yang telah keluar daripada zon selesa mereka dan berani mengambil risiko bermain dengan muzik.

"Persembahan kedua-duanya memang menunjukkan peningkatan dan mereka bijak dalam susun atur muzik yang bakal dinyanyikan.

"Cuma kelebihan Tomok pada malam ini berbanding Ester ialah lebih bertenaga dan berani mengubah lagu Ingin Bersamamu kepada satu genre muzik yang baru.

"Persembahan Ester juga tidak kurang hebatnya, dan saya lebih menggemari melodi yang didendangkan oleh Ester berbanding lagu asalnya," tambahnya.

Kenyataan Syafinaz disangkal oleh Paul Moss yang merasakan persembahan Ester kurang memberikan impak sehingga meninggalkan kesan mendalam untuk diingati penonton.

Bersandarkan itu, Syafinaz, Paul Moss dan pengkritik jemputan, Francesca Peter sebulat suara memilih Tomok sebagai pemegang imuniti.

Minggu lepas juga menyaksikan Tomok sekali lagi berjaya mencuri perhatian penonton dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Ingin Bersamamu dendangan pengkritik tetap OIAM, Syafinaz.

Gusar sedikit dengan pilihan Tomok, namun ia dapat ditepis Tomok seawal persembahan sehingga usai.

Nyata kelebihan penyanyi utama kumpulan New Boyz ini terserlah, bukan sahaja memiliki suara yang bagus, tetapi juga bijak berkarya mencorak persembahan.

"Formula saya ialah saya kena menjadikan lagu tersebut seolah-olah milik sendiri terutamanya apabila melibatkan susunan muzik serta persembahan.

"Pemilihan lagu juga penting. Kita perlu menanggung risiko dengan lagu yang dipilih, sama ada ia bakal disukai penonton atau tidak.

"Saya bersyukur kerana mendapat imuniti pada minggu ini dan ia juga berada di luar jangkaan saya," ujar Tomok sambil tersenyum kerana percaturannya berjaya.

Mengimbau kembali persembahan Tomok sepanjang enam minggu ini, Tomok kelihatan lebih selesa membawa lagu yang rancak dengan suntikan elemen rock.

Percubaannya membawakan lagu balada seperti minggu lepas nyata tidak berjaya menarik perhatian pengkritik.

Tomok yang bimbang dilabel sebagai penyanyi yang hanya boleh membawa satu genre lagu, berjanji akan terus cuba mempelbagaikan persembahan pada minggu-minggu akan datang.

Selain Tomok (mempersembahkan lagu Ingin Bersamamu) dan Ester (I Don't Love), lima peserta lain terus berjuang merebut gelaran jutawan baru OIAM 3 ialah Simon (Eternity), Rizu (Naluri Lelaki), Aweera (Enter Sandman), Amylea (Satu Dalam Sejuta) dan Nine (Nakal).

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url